Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, masyarakat barat gemar masakan yang mempunyai rasa yang asli bersesuaian dengan penggunaan rempah dan herba masakan barat yang mempunyai rasa dan bau yang lembut. Begitu juga dengan sup labu, tentu mereka inginkan sup mereka betul-betul rasa labu. Jadi, biasanya mereka tak menggunakan bahan yang banyak kerana ia akan mengurangkan rasa labu itu sendiri.



Labu termasuk dalam kategori sayur-sayuran yang mengandungi karbohidrat. Jadi memang sesuai sangat lah dengan saya yang sedang berusaha mengawal berat badan. Ia juga sesuai dengan inividu yang mengamalkan makanan vegetarian. Jadi, untuk resepi ini, saya seboleh-bolehnya cuba mengurangkan kalori dan tidak menambahkan sebarang bahan berasaskan haiwan.



Bahan-bahan untuk Resepi Sup Labu – Resepi Nak Kurus Terpimpin
250g Labu bersih.
½ bj Bawang Besar
½ cmb Minyak Zaitun
1 cmt Mentega
1 cwn Stok Sayur-sayuran
Garam dan Serbuk Lada Hitam
Secubit Thyme



Cara membuat Sup Labu – Resepi Nak Kurus Terpimpin
  1. Labu dan bawang besar di dadu kecil.
  2. Panaskan minyak zaitun dan mentega dalam periuk.
  3. Sebaik sahaja mentega cair, tumiskan bawang besar hingga layu.
  4. Masukkan labu dan masak sehingga labu menjadi empuk.
  5. Setelah empuk, masukkan semua bahan yang dimasak tadi ke dalam pengisar dan kisar bersama stok sayur-sayuran hingga halus.
  6. Tuangkan semula bahan kisaran kedalam periuk dan renihkan sebentar.
  7. Masukkan thyme dan perasakan dengan garam dan lada hitam.
  8. Hidangkan dalam mangkuk sup ketika masih panas. Hiaskan atasnya dengan sedikit krim dan serbuk lada hitam.



Tip Masakan Komersial
  1. Tak banyak restoran yang menyajikan sup labu dari masakan barat yang saya ketahui. Sebenarnya, sup labu sangat berpotensi di Malaysia sama seperti sup-sup barat yang lain kerana rasanya yang sedap dan unik. Tambahan pula, rakyat Malaysia kini dah pandai menilai makanan yang baik untuk mereka. Penyediaannya juga sangat mudah dan boleh disediakan dalam beberapa minit sahaja bergantung kepada jenis labu yang digunakan.
  2. Untuk sup labu, saya lebih suka menggunakan  labu yang mempunyai rasa yang manis. Labu seperti ini lebih halus apabila dikisar dan rasanya yang manis lebih sedap. Terdapat juga labu yang mempunyai isi yang keras dimana ia memerlukan masa yang lebih lama untuk empuk. Jadi, pilihlah labu yang manis, kuning terang dan mudah dipotong untuk sup labu yang sedap dengan tekstur yang halus dan warna yang cantik.
  3. Saya suka memotong labu menjadi dadu yang kecil lebih kurang 2-3 cm. Lagi kecil ia dipotong, lebih cepat labu menjadi empuk. Jangan sekali-kali mengisar labu sebelum ia menjadi empuk. Ia akan mengakibatkan sup labu menjadi kasar dan terasa bergentel didalam mulut.
  4. Dalam masakan barat, mereka menumis bawang besar hanya sekadar sehingga ia menjadi layu. Jarang sekali bawang ditumis hingga menjadi perang kecuali mereka ingin menjadikan bawang itu manis berkaramel. Jika bawang ditumis terlalu lama sehingga perang, warna sup labu akan menjadi gelap. Begitu juga jika sup dimasak terlalu lama. Sup labu dari masakan barat sepatutnya mempunyai warna yang terang bersinar.
  5. Saya menggunakan sedikit mentega semata-mata untuk menjadikan rasanya lebih sedap. Tak mengapa jika hanya menggunakan minyak zaitun. Anda tentukan bahan apa yang baik untuk anda. Jika anda rasa, sedikit minyak pun tak perlu dalam sup labu, jadi tak perlu letak. Bagaimanapun saya cadangkan anda labu lebih kasar dan bawang hanya dipotong 2 atau 4 sahaja kemudian dibakar dalam oven hingga empuk. Kalau rebus sahaja, tak cukup sedap.
  6. Air rebusan sayur-sayuran juga untuk memberikan rasa istimewa dalam sup labu. Anda boleh gunakan stok ayam atau daging kalau suka. Gunakan kiub pati ayam lebih senang tapi pastikan jangan menenggelamkan rasa labu. Stok sayur-sayuran lebih sesuai sebagai Resepi Nak Kurus Terpimpin. Kalau ada lebihan sayur-sayuran seperti pangkal timun, lobak merah, sawi dan lain-lain, anda kumpulkan dan cuci bersih-bersih. Rebus dan kemudian tapis. Simpan dalam peti ais sejukbeku setelah sejuk dan boleh digunakan bila-bila masa perlu. Apabila berniaga, bahan-bahan terbuang seperti ini dapat mengurangkan pembaziran.
  7. Saya nasihatkan supaya anda memasukkan stok sedikit demi sedikit supaya anda dapat mengawal kepekatan sup labu. Masukkan separuh stok untuk menjadikan labu empuk dan separuh stok lagi untuk mengisar. Jadi sup labu anda tak terlalu panas ketika mengisar untuk keselamatan anda juga.
  8. Herba masakan barat pula paling baik jika menggunakan yang segar kerana baunya lebih menyelerakan. Kalau tak ada, bolehlah gunakan herba kering. Saya tak gemar bau thyme kering jadi saya akan gunakan herba campuran sahaja. Sikit sahaja untuk memastikan rasa labu terpelihara.
  9. Sup labu sedap dimakan bersama roti. Paling saya suka, roti bawang putih saya yang harum dan sedap. Sesuai juga dihidang dalam bekas yang dibuat dari roti seperti yang saya buat dalam gambar diatas. Roti itu adalah roti perancis yang saya buat sendiri khusus untuk dimakan bersama sup labu ini.