Sup orang Malaysia memang istimewa. Kalau dibandingkan antara sup ayam, sup lembu dan sup kambing, saya rasa, sup kambing lebih berperisa. Mungkin kerana daging kambing lebih halus dan berlemak. Tapi memang tak boleh lawan dengan sup tulang atau sup ekor lembu. Bahagian lembu ini memang paling baik untuk dibuat sup. Bahagian-bahagian ini menjadikan sup lebih pekat dan berperisa. Bagaimanapun, demi kesihatan, kurangkanlah memakan lemak. Memang sedap tapi seksa dalam jangka masa panjang. Dalam bahagian tip masakan komersial dibawah saya terangkan secara ringkas cara mengurangkan lemak dalam sup. Bercerita mengenai kambing ni, baru saya perasan. Harga seekor kambing untuk tempahan qurban dan aqiqah dah jadi RM550? Hmmm.. Tapi harga lembu masih kekal RM230 satu bahagian. Harga termurah yang saya pernah tahu. Klik disini untuk cara-cara memesan ibadah korban dan aqiqah secara online lebih terperinci.


Bahan-bahan untuk Sup Kambing Berempah.
½ kg Daging Kambing
1L Air
2 bj Tomato
1 btg Kulit Kayu Manis (2 inci)
3 Kuntum Bunga Cengkih
2 Kuntum Bunga Lawang
4 bj Buah Pelaga
1 inci Halia
2 tangkai Leek
1 cmt Lada Hitam
2 bj Bawang Besar
1 helai Daun Bay
½ cmt Buah Pala
1 cmt Garam
1 cmt Gula
1 cmb Minyak Masak
6 bj Bawang Merah dijadikan bawang gorang


Cara membuat Sup Kambing Berempah
  1. Daging kambing didadu kasar. Tomato dibelah 4. Leek dihiris kasar. Bawang besar didadu.
  2. Kisar kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga, buah pala lada hitam halia dan bawang besar dengan sedikit air sehingga menjadi pes.
  3. Panaskan minyak masak dan tumis pes rempah sup tadi sehingga naik bau.
  4. Masukkan kambing, daun bay dan air. Biar merenih selama 1 ½ jam. Tambah air jika perlu.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Masukkan leek dan tomato dan hidangkan segera dengan taburan bawang goreng.


Tip Masakan Komersial
  1. Bahagian kambing yang paling sesuai adalah bahagian yang banyak tulang seperti shank dan rib. Tanpa tulang, sup kurang berperisa.
  2. Untuk sup kambing, sengaja saya menggunakan lebih rempah malah semua rempah itu dikisar halus supaya bau dan rasa rempah menjadi lebih kuat. Ini akan menutup bau yang terdapat pada daging kambing.
  3. Kini masakan di Malaysia banyak menggunakan daun bay. Nampaknya bau dan rasa daun ini memang sesuai dengan masakan Malaysia. Saya rasa anda patut cuba membuat masakan biasa tetapi menggunakan daun bay. Anda akan dapat satu kelainan dalam masakan harian anda.
  4. Buah pala yang dimaksudkan adalah biji buah pala yang diparut. Buah pala mempunyai bau dan rasa yang unik. Kadang-kadang saya rasa ia sesuai dengan mana-mana hidangan yang menggunakan kulit kayu manis. Bagaimanapun terdapat satu rasa yang kurang enak jika digunakan berlebihan. Sebaik-baiknya anda gunakan sikit demi sedikit dan teliti dahulu rasanya.
  5. Tulang kambing mungkin tak mempunyai lemak yang sebanyak tulang lembu tetapi kandungan lemak ini tetap mengandungi kolesterol yang tinggi. Saya nasihatkan anda sejukkan sup ini pada step 4 agar lemak-lemak yang timbul membeku. Masukkan dalam peti ais lebih baik. Asingkan lemak yang beku ini dan panaskan semula sup.
  6. Kali ini saya tak menggunakan bawang putih. Saya rasa sudah cukup bau sup ini tanpa bawang putih. Rasa juga tidak berbeza kerana kita menggunakan rempah yang banyak. Kadang-kadang kita perlu mengurangkan penggunaan bahan yang kurang memberi kesan dalam masakan. Tanpa rempah yang kuat seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga, barulah bawang putih digunakan. Kalau anda nak gunakannya, anda boleh jadikan bawang putih goreng.
  7. Amat perlu sedikit masam untuk sup kambing. Untuk ini saya menggunakan tomato sahaja. Anda boleh tambahkan jus limau kasturi atau limau nipis untuk lebih masam. Boleh juga menggunakan cuka.

Cuba juga sup ayam tradisi atau sup ekor yang pekat. Kalau suka masakan barat, boleh cuba cream of mushroom soup.