Saya memang penggemar cendawan terutama cendawan tekukur dan cendawan busut tetapi sekarang ni mana la nak cari cendawan macam tu. Dulu boleh juga cari cendawan tekukur kat batang getah mati dalam kebun. Bila batang getah pun dah dikomersialkan menjadi perabot dan harganya pun semakin tinggi, dah tak jumpa lagi batang getah untuk cendawan tekukur membiak. Yang ada cuma cendawan yang ditanam diladang dan di Malaysia yang paling banyak dan murah hanyalah cendawan tiram. Ayah saya kata, cendawan tak begitu baik untuk tubuh badan kerana ia memakan batang kayu yang mereput. Bagaimanapun, setahu saya, cendawan memang mempunyai vitamin yang diperlukan oleh badan.

Bahan-bahan untuk Sup Cendawan Tiram
400g Cendawan Tiram
½ bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
2 bj Cili Padi
1 L Stok Ayam
1 Helai Daun Kunyit
1 cmb Minyak Masak
Garam dan Gula

Cara Membuat Sup Cendawan Tiram
  1. Cendawan disiat jika terlalu besar. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis. Cili padi diketuk atau dibelah dua. Daun kunyit diikat, siat dahulu untuk bau dan rasa yang lebih kuat.
  2. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga wangi.
  3. Masukkan stok ayam, cili padi dan daun kunyit. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan cendawan tiram dan perasakan dengan garam dan gula.
  5. Biarkan merenih sehingga cendawan layu sedikit. Angkat dan hidangkan panas-panas.

Tip Masakan Berguna
  1. Resepi sup diatas adalah resepi ringkas masakan kampung yang diajar oleh ibu saya. Bahan perasa utamanya adalah daun kunyit. Daun ini memberikan bau dan rasa yang dapat menutup bau dan rasa hapak cendawan. Hasilnya rasa cendawan yang manis dan lazat.
  2. Semua cendawan yang mempunyai rasa yang kurang kuat sesuai dijadikan sup seperti ini. Selain itu, sesuai juga untuk karangan laut seperti kerang, kepah dan lala.
  3. Rasa daun kunyit yang unik ini tidak seharusnya di campur dengan rempah-rempah lain. Jadi jangan sesekali mencampurkan dengan rempah sup atau rempah tumis. Stok ayam yang digunakan juga hanya stok yang cair sahaja. Tanpa stok ayam juga sangat elok.
  4. Tanpa daun kunyit, jadilah sup ni sama seperti sup masakan cina. Jadi jika tiada tiada daun kunyit, anda boleh tambahkan lada hitam dan sos tiram. Boleh juga gunakan sos ikan untuk rasa seperti sup thai. Jika menggunakan rempah sup, gunakan sedikit sahaja kerana rasa cendawan akan hilang ditutupi rasa rempah kita yang kuat.