Suatu ketika dahulu, tiada rempah sup dijual dikedai. Kalau ibu saya tak rajin, masak sup hanya menggunakan rempah penumis je. Seperti sup yang saya gunakan untuk entri mi telur sup. Kalau rajin, ibu akan membuat rempah sup bunjut sendiri. Dulu, rempah-rempah ni murah je jadi kadang-kadang rempah sup bunjut ibu sampai sebesar penumbuk. Untuk berniaga, lebih baik kisar sahaja semua rempah supaya rasanya lebih kuat tanpa menggunakan rempah yang banyak. Lebih kurang anda bergantung kepada rempah-rempah segera yang dijual di pasaran, lebih menguntungkan perniagaan anda. Boleh juga rujuk resepi sup saya yang lain iaitu Sup Ekor Diperkaya Lemak Tepu Diperkuat Kolesterol, Sup Cendawan Tiram, Wantan Udang Dengan Sup Cara Cina, dan Sup Tanpa Rempah dan Minyak.


Bahan-bahan untuk Sup Ayam Tradisi
1 ekor Ayam
1 inci Kulit Kayu Manis
5 Kuntum Bunga Cengkih
3 Kuntum Bunga Lawang
5 bj Buah Pelaga
1 cmt Lada Hitam
2 bj Bawang Besar
4 Ulas Bawang Putih
2 Inci Halia
1 Inci Lengkuas
3 Batang Serai
2 cmb Ketumbar
1 cmb Jintan Manis
1 cmb Jintan Putih
4 Bj Kentang
1 Btg Lobak Merah
3 Tangkai Daun Saderi
3 Tangkai Daun Bawang
2 L Air
Garam Secukupnya
¼ cwn Minyak Masak


Cara Membuat Sup Ayam Tradisi
  1. Ayam dipotong kecil dan dibersihkan. Lobak merah dan kentang dibelah 4 memanjang dan dipotong setebal 1 cm. Daun saderi dan daun bawang dicincang kasar.
  2. Bawang besar, bawang putih, serai, halia, lengkuas, lada hitam. Ketumbar, jintan manis dan jintan putih dikisar dengan sedikit air menjadi pes yang cair.
  3. Panaskan minyak masak dalam periuk dan tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga sehingga wangi.
  4. Masukkan bahan kisar dan kacau sehingga wangi dan pecah minyak.
  5. Masukkan ayam dan kacau selama 10 minit sehingga isi ayam menjadi putih.
  6. Tuangkan air semua sekali. Masukkan kentang dan lobak merah. Biarkan mendidih.
  7. Setelah mendidih, kecilkan api dan biarkan merenih sehingga ayam empuk. Sebaik-baiknya sehingga 1 jam.
  8. Perasakan dengan garam. Taburkan daun saderi dan daun bawang sebelum menghidang. Taburkan bawang goreng juga jika ada.


Tip Masakan Komersial
  1. Anda boleh menggunakan bahan yang sama untuk sup-sup lain seperti tulang lembu, daging, kambing dan sebagainya. Untuk ayam, memang memerlukan bahan yang sedikit sahaja untuk mendapatkan sup yang jernih. Bagi sup tulang, kambing dan sebagainya mungkin memerlukan perencah yang lebih banyak untuk seimbangkan dengan bahan yang kuat rasanya.
  2. Untuk mendapatkan sup yang lebih jernih, anda boleh menapis bahan kisar atau sebaik-baiknya membungkus dengan kain maslin. Bagaimanapun hanya ketumbar, jintan manis dan jintan putih yang sangat perlu dibungkus.
  3. Bagi kegunaan perniagaan, menyediakan rempah lebih awal sangat perlu. Saya nasihatkan anda kisar dahulu ketumbar, jintan manis dan jintan putih.
  4. Anda boleh menghasilkan rempah sup anda sendiri dengan mengisar ketumbar dan jintan mengikut sukatan yang diberikan. Untuk halia dan lengkuas, anda perlu hiris nipis dahulu, keringkan dengan menjemur dibawah terik matahari dan dikisar bersama rempah-rempah tadi.