Dah 5 hari saya tak update blog Resepi Masakan Barat Komersial dengan resepi-resepi yang sesuai anda gunakan untuk restoran dan gerai makanan anda. Maaflah kerana beberapa hari ni fikiran sedikit bercelaru dengan masalah kereta saya yang dah bertahun-tahun tak selesai. Saya memberikan kereta itu untuk seorang sahabat saya. Malangnya sehingga sekarang, kereta itu masih diatas nama saya. Saya cuma minta ditukarkan atas nama dia. Saya tak minta bayaran. Saya tak minta apa-apa. Tapi dia langsung tak mahu melayan permintaan saya. Telefon tidak diangkat. Nombor ditukar berkali-kali malah sekarang kereta itu telah dia jual berkali-kali dengan gerannya masih diatas nama saya. Saya tak tahu apa yang harus dibuat. Ibubapa dan guru saya mengajar saya membuat kebaikkan. Kawan-kawan yang susah mesti ditolong apa yang termampu. Tapi ini balasan yang saya terima. Saya tak mahupun keta import tu. Biarlah saya pakai kereta buatan Malaysia. Dia boleh ambil tapi keluarkan nama saya dari geran kereta tu. Sehingga sekarang dia buat tak tau. Isterinya pun bersekongkol dengannya. Lain yang saya minta, surat saman trafik yang tiba. Akhirnya saya membuat laporan polis. Saya tak mendakwa sesiapa. Saya tak mahu sesiapa mendapat susah. Saya cuma mahu tanggungjawab saya keatas kereta tu dilepaskan. Supaya saya dapat meneruskan kehidupan seperti asal. Memberikan resepi-resepi percuma supaya anda semua boleh berniaga.

Ramai pengusaha restoran memandang remeh soal sos cili di premis mereka. Yang mereka tahu, asalkan murah, mereka akan gunakan untuk masakan mereka. Bila pelanggan makan makan mi sepinggan dengan sos sebotol, mula la bising-bising. Agaknya, kalau sos cili boleh dicairkan dengan mudah, tentu mereka dah buat macam tu sebagaimana mereka mencairkan kicap. (Pernah makan kat kedai yang kicapnya dicairkan dengan air garam?) Kalau nak jadi usahawan kena la paham teknik yang betul. Apa kata buat sos cili sendiri. Bukan sahaja jimat, sos cili yang dibuat sendiri juga lebih selamat dan berkhasiat tanpa sebarang bahan perasa tiruan, pewarna tiruan, pengawet atau bahan kimia berbahaya. Jom...

Bahan-bahan untuk Sos Cili Mudah dan Ringkas
200g Cili Kering
4 ulas Bawang putih
1.5L Air
3 cmb Minyak Masak
1 cmt Garam
12 cmb Gula
1 cmb jus limau nipis
2 cmb Tepung Jagung dibancuh dengan 1/2 cwn air

Cara membuat Sos Cili Mudah dan Ringkas
  1. Bahagikan air kepada 3 bahagian supaya mudah saya menerangkannya.
  2. Potong dan rebus cili kering sehingga lembut atau rendam semalaman.
  3. Kisar cili kering, bawang putih dan minyak masak dengan sebahagian air sehingga betul-betul halus.
  4. Masukkan kedalam periuk dan masak sehingga mendidih bersama sebahagian lagi air. Biarkan merenih selama 10 minit.
  5. Setelah merenih, tutup api dan tapis untuk mendapatkan cili yang halus tanpa biji. Gunakan bahagian terakhir air untuk menapis sehingga tinggal hampasnya sahaja. Buang hampasnya.
  6. Masukkan semula kedalam periuk dan masak semula.
  7. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau nipis. Biarkan sampai mendidih.
  8. Bancuh tepung jagung dengan 1/2 cawan air sejuk. Masukkan semuanya kedalam sos cili sambil dikacau dengan pantas untuk memekatkannya.
  9. Biarkan merenih sehingga terbit minyaknya barulah api ditutup dan disejukkan.

Tip Masakan Komersial

  1. Penggunaan minyak masak untuk mengisar cili kering bertujuan untuk mendapatkan kisaran yang lebih halus. kadang-kadang saya tidak merebus atau merendam cili kering terlebih dahulu. Hanya dicuci dan terus dikisar bersama minyak dan hasilnya lada boh yang halus.
  2. Secara komersial, sos cili yang terdapat dipasaran dipekatkan menggunakan tepung jagung yang terubahsuai. Saya saja meletakkan tip penting membuat sos ini dibahagian bawah supaya orang yang membaca entri ini akan merasakan resepi yang saya sertakan hanyalah resepi biasa. jadi cuma orang yang betul-betul serius dan rajin sahaja yang akan terbaca teknik ini. Tepung jagung terubahsuai ada dijual di kedai-kedai menjual bahan kuih. Anda boleh tanyakan dengan nama modified starch. Jika anda perhatikan sos yang dijual dipasaran, kepekatannya sangat stabil tak kira dimana sos diletakkan. Jika menggunakan tepung jagung biasa, sos anda akan membeku seperti puding jika diletakkan didalam peti sejuk. Sos juga akan membeku apabila tepung jagung yang digunakan terlalu banyak. Apabila sos ini dimasak semula, ia akan menjadi cair seperti tidak meletakkan bahan pemekat dan sangat berbeza jika anda menggunakan modified starch. Harga modified starch sedikit mahal diantara RM7 - RM8 sekilogram tetapi berbaloi untuk menggunakannya.
  3. Kelazatan sos cili ini hanya bergantung kepada garam dan gula sahaja. Jadi ubahsuai kandungan garam dan gula mengikut selera. Ada orang yang lebih suka sos cili yang  manis seperti sos Lingam's. Ada yang rasa bawang putihnya lebih kuat seperti sos cili thai. Ada juga yang kurang manis seperti sos cili Jalen. Anda yang menentukannya.
  4. Cuba juga membuat sos tomato. Kurangkan kandungan cili menjadi 50g sahaja dan tambahkan buah tomato segar yang masak ranum dan merah menyala. Boleh juga menggunakan tomato puri atau campuran kedua-duanya.
  5. Saya paling suka sos cili yang telah dibiarkan diatas meja beberapa hari kerana sos itu mulai mengering dan lebih berkilat. Sesuai dimakan bersama nasi goreng, mi goreng, keropok lekor, nasi ayam, tauhu sumbat dan sebagai perencah dalam masakan. Cuba la sos ini dengan burger gergasi saya.
  6. Sos ini tahan sekurang-kurangnya 1 minggu pada suhu bilik dan sebulan didalam peti sejuk bergantung kepada kandungan gula. Sebagai pengawet anda boleh menggunakan... Tak payah la pengawet. Kalau nak sos dengan pengawet, baik beli sos dikedai.
  7. Ada sos keropok lekor yang menambah sedikit otak udang dalam resepinya untuk menguatkan rasa keropok mereka. Anda boleh cuba sendiri dan berikan kelainan dalam hidangan anda.