Terdapat 2 sos asas putih iaitu sos bechamel dan sos veloute. Untuk entri ini, saya hanya bercerita mengenai sos bechamel sahaja. Ia dikatakan sos asas kerana daripada sos ini kita dapat menghasilkan berbagai sos yang lain seperti sos parsley dan sos krim dengan menambah sedikit bahan tertentu. Bahan asas sos ini adalah susu dan menggunakan roux sebagai pemekat. Dalam ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat, saya tidak menggunakan roux kerana terdapat cara yang lebih senang, cepat dan menjimatkan dalam menghasilkan sos black paper, mushroom dan lain-lain lagi.

Tujuan entri ini dibuat supaya dapat memudahkan saya dalam memaparkan entri-entri resepi yang akan datang yang menggunakan sos bechamel. Jadi bila bahan dalam sesuatu resepi menggunakan sos bechamel, anda boleh terus merujuk kepada entri ini. Sos bechamel banyak digunakan dalam hidangan ayam, ikan, sayuran dan pasta. Resepi sos ini pasti berguna untuk anda sekiranya anda terus mengikuti blog ini. Supaya anda tidak mahu terlepas resepi-resepi menarik yang akan saya paparkan dimasa akan datang, sila masukkan email anda didalam borang "Tak mahu terlepas resepi penting?" di bahagian atas kanan blog ini.

Bahan-bahan untuk Sos Bechamel
30g mentega
30g tepung gandum
500ml susu segar/UHT
1 unit onion pique
Sedikit Garam


Bahan-bahan untuk Onion Pique
1/2 biji bawang besar
1 helai daun bay
3-5 kuntum bunga cengkih


Cara membuat Sos Bechamel
  1. Sediakan onion pique dengan membelah 2 bawang besar tetapi tidak sampai putus. Selitkan daun bay dibahagian yang dibelah. Bunga cengkih dicucuk kepada bawang besar. Ketepikan dahulu.
  2. Panaskan mentega sehingga cair. Masukkan tepung gandum dan gaul sehingga berketul. Inilah yang dinamakan roux dan untuk resepi ini, roux yang digunakan adalah roux putih (white roux)
  3. Masukkan susu sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan pantas menggunakan whisk supaya sos tidak berketul-ketul.
  4. Masukkan onion pique. Kacau sehingga sos menjadi halus dan pekat lebih kurang setengah jam.
  5. Perasakan dengan garam (jika perlu).
  6. Keluarkan onion pique dan sedia untuk dihidangkan.

Tip Masakan Berguna

  1. Belum pernah rasanya saya mendapat sos yang berketul-ketul. Jika ini berlaku, anda boleh mengisar sos ini menggunakan blender sehingga halus. Anda juga boleh menapis sos ini menggunakan kain maslin tetapi cara ini sedikit leceh.
  2. Anda boleh menggunakan sos ini dalam berbagai hidangan. Cuba dulu dengan menambahkan jus lemon atau esen vanila dan nikmatinya dengan ikan salmon atau dada ayam. Hanya perlu memerap ikan atau ayam tersebut bersama garam dan lada hitam kemudian digoreng diatas kuali leper dengan sedikit minyak.