Kalau saya makan nasi kerabu, rasa tak lengkap kalau tak ada solok lada. Walaupun solok lada tak semestinya dimakan bersama nasi kerabu, saya dapati rasanya sangat sesuai bersama nasi kerabu. 3 perkara yang mesti ada bila saya makan nasi kerabu. Pertama tentulah solok lada. Kedua daging salai dan ketiga ulam-ulaman mestilah banyak. Kalau teringin nak makan nasi kerabu sepuas hati, boleh rujuk resepi nasi kerabu dalam artikel saya sebelumnya.

Bahan-bahan untuk Solok Lada
4 bj Lada Hijau
75g Kelapa Parut
1 ekor Ikan Kembung.
8 bj Lada Hitam
2 ulas Bawang Merah
½ bj Telur
1 hiris Halia
25 ml Santan Pekat
Garam dan Gula



Cara-cara membuat Solok Lada
  1. Belah lada hijau membentuk poket. Buang bijinya. Rendam dalam air sejuk supaya belahan tersebut meregang.
  2. Ikan kembung dibersihkan, direbus dan diambil isinya.
  3. Tumbuk isi ikan, kelapa parut, bawang merah, halia, lada hitam, garam dan gula sehingga hancur.
  4. Gaulkan telur kedalam bahan tumbuk sedikit demi sedikit sehingga bahan tersebut boleh dikepal.
  5. Masukkan bahan tumbuk tadi kedalam lada hijau hingga padat. Susun dalam loyang.
  6. Kukuskan lebih kurang 2 minit kemudian curahkan santan pekat dibahagian belahannya.
  7. Kukus lagi 5 minit dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Untuk solok lada, paling sesuai menggunakan ikan dari jenis trout. Kalau di Malaysia, paling senang memperolehi ikan kembung, selayang, kembung batu, mata besar, selar hijau, dan sebagainya. Kalau berduit, boleh lah gunakan tenggiri.
  2. Kalau anda suka, anda boleh terus menggunakan isi ikan tanpa direbus terlebih dahulu. Cara ini membolehkan solok lada lebih padat kerana protin ikan akan terikat semula sewaktu dikukus. Dengan cara ini anda tak perlu menggunakan telur lagi. Tanpa telur, isi solok lada akan mudah pecah.
  3. Saya lebih suka menggunakan isi ikan yang telah direbus kerana beberapa sebab. Pertama, lebih mudah mengasingkan isi ikan yang telah direbus berbanding yang belum direbus. Kedua, memproses isi ikan mentah sangat mudah mengundang lalat. Jadi ia perlu dibuat dengan pantas sebelum isi ikan mula berbau. 
  4. Telur berfungsi untuk mengikat bahan tumbuk agar tidak pecah. Jika terlalu berderai, anda mungkin perlu mengurangkan kelapa parut atau cuba tumbuk lebih halus. Sebaik-baiknya menggunakan lesung batu.
  5. Resepi asalnya, solok lada perlu direbus bersama santan sehingga kering. Bagaimanapun, cara ini tidak praktikal kerana lada akan menjadi terlalu layu dan warnanya terlalu pudar. Menggunakan santan terlalu banyak juga tidak begitu baik untuk kesihatan selain dari perlu mengeluarkan modal yang lebih banyak.