Cuba anda belek-belek makanan ringan di pasaran sekarang. Saya dapati trend makanan ringan kini telah berubah daripada makanan yang tidak berkhasiat kepada makanan yang lebih berkhasiat. Kini banyak syarikat yang mengeluarkan makanan yang banyak memberi tenaga malah mengenyangkan. Maklumlah, penjaga gol pun boleh jadi wanita kalau perut lapar. Bagaimanapun, snek begini pastinya dijual dengan harga yang mahal. Bijirin-bijirin, buah-buahan dan pelbagai sumber makanan berkhasiat sememangnya sudah tinggi harganya. Jika dijual sebagai Snek Bar Bijirin dan Buah-buahan Berkhasiat sudah tentu harganya lebih tinggi lagi. Apatah lagi jika ditambah madu. Apa kata jika kita buat sendiri Snek Bar Bijirin dan Buah-buahan Berkhasiat dengan Madu yang pastinya akan lebih berkhasiat tanpa pengawet, perwarna dan perasa tiruan. Mudah sahaja tanpa perlu dibakar.


Resepi Bar Bijirin dan Buah-buahan Berkhasiat dengan Madu
¼ cwn Gula
¼ cwn Mentega
1/3 cwn Madu Asli
½ cmt Serbuk Kulit Kayu Manis
1 cwn Buah-buahan campuran kering
1 ½ cwn Bijirin Sarapan
1 cwn Oat
½ cwn Kekacang


Cara membuat Bar Bijirin dan Buah-buahan Berkhasiat dengan Madu
  1. Campurkan gula, mentega, madu dan serbuk kulit kayu manis didalam kuali dan panaskan dengan api yang kecil.
  2. Sentiasa dikacau perlahan sehingga ia berbuih. Matikan api setelah berbuih sekurang-kurangnya 1 minit.
  3. Masukkan buah-buahan campuran dan kacau rata. Kemudian barulah kekacang.
  4. Akhir sekali baru masukkan oat dan bijirin sarapan. Kacau sehingga semuanya sebati.
  5. Tuangkan kedalam acuan 9x9 inci dan padat dan ratakan.
  6. Biarkan ia menjadi betul-betul sejuk barulah dipotong menjadi empat persegi kecil dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. 4 bahan yang paling atas adalah bahan utama yang memberi rasa dan berfungsi sebagai pelekat kepada bahan-bahan yang lain. Oleh itu, bahan-bahan saya senaraikan secara umum sahaja. Bagaimanapun pemilihan bahan-bahan lain ada saya ceritakan dibawah ini.
  2. Bijirin sarapan yang paling sesuai adalah bijirin yang rangup dan kerangupannya tahan lama. Itulah sebabnya ia dimasukkan akhir sekali ketika bahan cecair tidak berapa panas lagi. Ini dapat mengelakkan bijirin ini menjadi lemau. Jika bahan cecair sudah sejuk pula, dia menjadi lebih pekat dan sukar digaul. Saya menggunakan corn flake dan koko krunch. Paling baik jika menggunakan bijirin yang tak manis ataupun tanpa gula.
  3. Kekacang perlu dimasak sehingga rangup dahulu. Anda boleh menggoreng tanpa minyak atau dibakar sahaja didalam ketuhar bergantung kepada jenis kekacang. Masukkan apa sahaja kekacang yang anda suka seperti badam, kacang tanah, gajus, pecan dan sebagainya.
  4. Bagi buah-buahan pula, hanya sesuai untuk buah-buahan kering kerana ia tahan lama. Boleh menggunakan mixfruit yang sedia dijual di pasaran atau tambahkan kismis, kurma, buah tin, beri dan sebagainya. Ia dimasukkan awal supaya buah-buahan ini kembang sedikit tak tidak terlalu kering.
  5. Saya menggunakan oat segera sahaja kerana itu yang paling murah. Oat yang paling baik adalah whole roll oat atau sekurang-kurangnya quick cooking oat kerana ia tidak hancur apabila terkena cecair panas seperti ini.
  6. Untuk memudahkan kerja-kerja merata dan memadatkan bar bijirin ini, anda boleh menggunakan kertas minyak atau plastik tahan panas. Letakkan adunan diatasnya, lipat plastik dan tekankan dengan tangan sampai leper. Ketebalan dan saiz bar, terpulang kepada anda. Rujuklah saiz wafer coklat di kedai supaya snek anda lebih menyerupai seperti yang dijual.
  7. Snek begini memang manis dan menjadi kegemaran kanak-kanak. Daripada memakan makanan ringan, lebih baik makan snek yang berkhasiat begini. Jika anda rasakan snek ini terlalu manis, anda boleh mengurangkan gula. Anda juga boleh menambahkan bijirin yang lebih banyak selagi cecair itu mampu melekatkan semua bahan.
  8. Kanak-kanak selalunya tertarik pada persembahan yang comel dan nampak menyelerakan. Saya mencadangkan anda menggunakan pembungkus plastik berwarna warni seperti gula-gula. Anda juga boleh melapiskan permukaan atas dan bawah bar ini dengan wafer atau biskut yang rangup. Lepas lapiskan dengan wafer, salut pulak dengan coklat. Mesti bebudak tak berhenti makan.