Jika muffin boleh dikatakan cupcake yang mudah dan ringkas, begitu juga dengan skon dimana skon boleh dikategorikan sebagai quickbread yang kecil. Bagaimanapun saya lebih gemar mengaitkannya dengan biskut yang ringkas. Skon popular sebagai snek masyarakat barat terutama yang berasal dari Scotland. Kalau orang yang kurang berilmu, pasti menganggap skon adalah biskut yang tak menjadi, lemau atau tak cukup syarat. Apa yang penting, skon sebenarnya makanan yang mudah dan cepat disediakan, tidak cerewet tetapi sedap.


Bahan-bahan untuk Resepi Asas Buttermilk Scone
260g  Tepung Gandum
50g Gula Pasir
1 ¼ cmt Baking Powder
¼ cmt Soda Bikarbonat
125g Mentega
150ml Susu Cair
1 cmb Vinegar
1 cmt Esen Vanila


Cara membuat Skon
  1. Campurkan susu cair dengan vinegar untuk membuat buttermilk. Biarkan 15 minit untuk susu mendadih.
  2. Dalam mangkuk adunan yang besar, campurkan tepung gandum, gula pasir, baking powder, soda bikarbonat dan gaulkan sebati.
  3. Masukkan mentega dan gaul ramas menjadi tekstur serbuk roti.
  4. Tambahkan buttermilk sedikit demi sedikit sambil dikacau perlahan hingga menjadi doh yang lembut. Berhenti menambah buttermilk jika terlalu cair.
  5. Jemputkan keatas dulang pembakar dan bakar dengan suhu 180°C selama 15 – 20 minit.
  6. Sebaiknya dihidangkan panas-panas bersama topping seperti jem, madu dan sebagainya


Tip Masakan Komersial
  1. Skon biasanya dibuat menggunakan tepung gandum, barley atau oatmeal dan lebih banyak bijirin digunakan, skon lebih berkhasiat.
  2. Anda boleh menghasilkan segala jenis skon anda sendiri berdasarkan resepi-resepi biskut yang anda tahu cuma anda perlu tahu tekstur skon yang betul. Skon sepatutnya tebal dan lembut didalamnya tetapi bukan gebu. Pendek kata, skon adalah muffin yang tidak dibakar dalam cawan kek.
  3. Untuk kepelbagaian rasa skon, anda boleh menambah apa sahaja bahan yang sesuai untuk biskut seperti coklat, kekacang, buah-buahan dan sebagainya. tambahkan sewaktu mencampurkan bahan kering. Untuk kekacang, pastikan ia telah dibakar terlebih dahulu.
  4. Jangan sekali-kali menguli skon kerana ia boleh menjadikan ia liat dan kenyal. Skon sepatutnya mudah dibuat kerana memang itu tujuan skon. Jadi tak perlu la bersungguh-sungguh sangat bila membuat skon. Ala kadar je la.
  5. Skon biasanya dihidangkan bersama topping yang manis kerana skon hanya menggunakan sedikit gula. Bagaimanapun, untuk saya ia tetap manis. Cubalah skon bersama aiskrim vanila.