Menyediakan hidangan dalam kuantiti sedikit memang jauh berbeza berbanding menyediakan hidangan dalam kuantiti yang banyak. Ramai surirumah yang sangat hebat didapur. Hidangan yang disediakan untuk anak-anak dan suami memang lazat dan menyelerakan. Tapi bila masak untuk kenduri-kendara, sering pula meminta orang lain menyediakannya sedangkan juadah yang perlu disediakan hanya hidangan harian biasa. Kalau difikir-fikirkan, apa sangat la bezanya. Hanya perlu digandakan sahaja setiap bahan yang digunakan. Tapi jika anda cuba, banyak masalah yang timbul. Memasak dalam kuantiti yang banyak, memerlukan masa yang lebih dari biasa. Api yang digunakan juga perlu lebih besar. Kebanyakkan punca datang dari sini. Orang kata besar periuk, besarlah keraknya.


Bahan-bahan untuk Siew Bok Choy dengan Cendawan dan Sos Tiram
½ kg Siew bok choy
½ inci Halia
½ L Stok Sayur-sayuran
4 cmb Kicap Cair
140ml Sos Tiram
2 cmt Gula
2 cmb Minyak Masak
2 cmt Minyak Bijan
120g Cendawan Shitake
1 cmb Tepung Jagung


Cara Membuat Siew Bok Choy dengan Cendawan dan Sos Tiram
  1. Siew Bok Choy dibelah dua memanjang. Halia dihiris nipis.
  2. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak.
  3. Masukkan halia dan stok sayur-sayuran. Biarkan hingga mendidih.
  4. Susunkan siew bok choy kuali dan biarkan sayur dimasak sehingga layu.
  5. Angkat siew bok choy dan susun dalam pinggan hidang. Buangkan halia dan lebihan stok tadi.
  6. Untuk membuat sosnya, bersihkan dan potong cendawan shitake kecil-kecil.
  7. Satukan stok sayur-sayuran, sos tiram, kicap cair,tepung jagung, gula dan minyak bijan.
  8. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak lagi.
  9. Gorengkan cendawan shitake sehingga layu.
  10. Masukkan bahan-bahan campuran sos tadi dankacau sehingga pekat dan mendidih.
  11. Curahkan keatas siew bok choy dan hiaskan sebelum dihidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Apabila menyediakan hidangan dalam kuantiti banyak, pengawalan api sangat penting. Biasanya peralatan seperti kuali dan periuk yang besar digunakan. Ini menyebabkan pemanasan yang tidak rata kerana api hanya berada dibahagian bawah sahaja. Untuk masakan sayuran seperti kaedah ini, minyak yang digunakan dalam step kedua dapat mengelakkan sayuran bahagian bawah menjadi hangus. Sapukan minyak rata2 tetapi pastikan air yang digunakan tidak kering.
  2. Kaedah memasak yang berasingan diantara bahan utama dan sos begini memang amat memudahkan untuk mengelakkan sayuran terlebih masak. Ia juga membolehkan kita hidangan dalam keadaan panas sewaktu dihidangkan. Hanya perlu memanaskan sos sebelum dihidangkan. Jika sayuran dan sos dimasak bersama, sudah tentu sayuran akan terlalu masak dan tidak lagi berwarna hijau sementara menunggu dihidangkan.
  3. Memang betul, teknik penggandaan resepi boleh digunakan untuk memasak dalam kuantiti banyak tetapi untuk beberapa bahan tetap memerlukan kemahiran dan latihan yang cukup. Takkan nak sukat kicap sesudu demi sesudu sampai cukup 100 sudu. Itu baru gandaan 25 sahaja. Bagaimana jika hendak menyediakan hidangan untuk 1000 orang pula?