Shish kebab adalah satu lagi contoh masakan yang mudah disediakan. Saya katakan ia mudah kerana ia boleh disediakan dengan apa sahaja cara yang kita suka. Segala jenis rempah boleh digunakan. Segala jenis daging boleh digunakan dan segala jenis sayuran juga boleh digunakan. Oleh sebab itu, berbagai resepi terhasil dari seluruh dunia bergantung kepada rempah-rempah yang popular di negara  tersebut. Di India menggunakan rempah seperti jintan, ketumbar dan lain-lain menjadikan rasanya menyerupai kari, beriani, kurma dan sebagainya. Masakan barat pula menggunakan thyme, oregano, rosmary dan banyak lagi herba masakan barat menyerupai steak dan barbeku. Kalau di bahagian Mediterranean dan Timur Tengah pula kedua-duanya rempah India dan herba masakan barat digunakan bercampur aduk. 


Suka gadis cun? Pilih mana-mana yang anda suka utk menang RM100 produk Dove! Klik disini.

Cuma ada satu persamaan yang saya nampak iaitu, kebab perlu dicucuk pada skewer sama ada lidi, buluh, besi atau kayu. Jadi untuk resepi dibawah, saya gunakan sahaja herba-herba dan rempah-rempah yang saya ada dirumah terutamanya yang mempunyai bau yang sedap. Satu je pantang yang perlu dipatuhi iaitu, jangan gunakan terlalu banyak jenis rempah dan herba. Kalau anda jumpa resepi kebab yang menggunakan banyak sangat bahan, lupakan je la. Kenapa? Saya akan terangkan dalam tip masakan komersial dibawah.

Resepi Shish Kebab Ayam
300g Isi Ayam
1 btg Carrot
2 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
½ cmt Rosmary
1 cmt Lada Hitam
1 cmt Thyme
2 cmb Minyak Zaitun
Garam dan Gula



Cara membuat Shish Kebab Ayam
  1. Isi ayam dibersihkan dan dipotong dadu besar lebih kurang 1 inci.
  2. Carrot dan bawang besar juga dipotong lebih kurang saiz ayam tadi.
  3. Bawang putih ditumbuk dan dicampurkan dengan bahan-bahan perapan iaitu rosmary, lada hitam, thyme, minyak zaitun dan gula.
  4. Gaulkan ayam dan sayur-sayuran  bersama bahan-bahan perap selama 1 jam didalam peti ais.
  5. Cucukkan ayam dan sayur-sayuran pada lidi sate atau skewer berselang seli.
  6. Panggang menggunakan oven atau diatas bara api sehingga masak.
  7. Hidangkan panas bersama nasi berperisa seperti nasi beriani, nasi hujan panas dan sebagainya.



Tip Masakan Komersial
  1. Saya tak pasti apa ciri-ciri kebab yang utama. Tiada resepi standard yang saya jumpa. Setiap orang ada resepi mereka sendiri. Resepi saya pula bergantung kepada apa yang saya ada didapur sekarang. Jika anda mahu memasak kebab, anda hanya perlu tahu konsepnya sahaja. Kemudian ciptalah resepi kamu sendiri. Jangan pernah sekali-kali tertakluk kepada resepi yang anda baca.
  2. Anda boleh gunakan berbagai jenis daging yang anda suka. Kalau boleh gunakan daging yang lembut dan empuk. Saya menggunakan ayam memandangkan saya tak boleh makan daging. Kalau cuma ada daging yang keras dan lambat empuk, anda boleh gunakan kaedah dibawah ini.
  3. Ada juga kebab yang menggunakan daging cincang seperti sate lilit. Kaedah ini sesuai untuk daging yang lebih liat dan lambat empuk. Rasa rempah juga akan lebih terasa pada daging. Kelemahannya pula, agak sukar menambahkan sayur-sayuran kerana sayur tak sesuai dicincang. Jadi anda mungkin perlu mencucuk kebab dalam bentuk bebola daging atau bakar sayur-sayuran secara berasingan.
  4. Sayur amat penting dalam kebab. Biasanya mereka tak makan nasi sangat, jadi sayur lah yang menjadi pilihan mereka. Selagi sayur itu boleh dicucuk, ia adalah sesuai. Contohnya seperti timun, labu, terung, nenas, cendawan dan lada benggala. Untuk sayur yang lambat empuk, anda boleh rebus dahulu atau saute sebentar hingga empuk barulah diperap. Untuk sayur yang tak boleh dicucuk, usahakan juga agar dapat dicucuk. Steamboat kat Dataran Johor Bahru pun boleh cucuk kangkung kat lidi. Secucuk singgit!
  5. Setiap kali memasak, kita perlu mencapai bagaimana rasa masakan yang kita kehendaki. Diibaratkan seperti mewarna lukisan, kita inginkan warna-warna itu harmoni pada kedudukan dan kuantiti yang betul. Bayangkan jika semua warna yang kita ada itu dicampurkan. Sudah tentu warna yang paling kuat akan menguasai seluruh lukisan kita. Dalam hal ini, sudah tentulah kita akan dapat warna hitam walaupun kita tak menggunakan warna hitam dalam campuran tadi. Begitu juga dalam pemilihan rempah-rempah dan herba-herba masakan. Jika banyak sangat jenis rempah dan herba digunakan, kita akan dapati masakan kita mempunyai sejenis sahaja rasa dan bau iaitu ntahapapantah!