Nampak tak hitam-hitam kat serunding kelapa saya tu? Haa.. ni la yang nak mengadu ni. Kamera saya dah mula meragam. Mode semua dah tak boleh ubah. Barang elektronik sekarang ni, cukup dua tahun je mesti jahanam. Dua tahun sekali mesti nak duit. Serunding kelapa saya yang jadi mangsa. Sebenarnya serunding kelapa saya ni hangit. Bukan la sebab kamera pun tapi saya tetap nak salahkan kamera jugak. Terkial-kial  nak setting kamera, hinggakan hangit serunding saya. Ingatkan nak keringkan sikit lagi, rupa-rupanya terus hangit. Rasanya kamera saya tu dah tak dapat diselamatkan lagi. Nak kena kumpul duit untuk kamera pulak. Bantu-bantulah saya kumpul duit dengan membeli ebook Masakan Barat Komersial saya. Sekarang ni ada diskaun 20% sehingga 7 Ogos 2012. Maklumat lanjut boleh klik Diskaun 20% Ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial.

Bahan-bahan untuk Serunding Kelapa
1 bj Kelapa Parut (Bhgn putih sahaja)
5 tangkai Lada Kering (direndam)
½ bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
½ inci Halia
½ inci Lengkuas
1 btg Serai
1 cmt Serbuk Kunyit
2 cmb Udang Kering (direndam)
1 cmb Jus Limau Nipis
1 cmt Garam
2 cmb Gula


Cara membuat Serunding Kelapa
  1. Bersihkan semua bahan dan potong kecil supaya mudah dikisar.
  2. Kisarkan dengan air yang paling minimum.
  3. Didalam kuali, gaulkan kelapa dengan bahan kisar sehingga sebati.
  4. Nyalakan api sederhana, terus mengacau serunding sehingga kering.
  5. Setelah serunding kering, bolehlah dihidangkan.

Tip Masakan Komersial
  1. Membuat serunding memang mudah. Campurkan sahaja semuanya tetapi masa memasaknya terlalu lama. Mungkin ini yang menyebabkan harga serunding lebih tinggi.
  2. Jangan berhenti mengacau. Memang tak boleh leka sikitpun. Jika anda boleh mengacau dengan pantas, bolehlah besarkan sedikit apinya. Kalau nak kacau secara sentimental, lebih baik gunakan api yang kecil. Kalau ada urusan walaupun sekejap, lebih baik tutup api dulu. Bukan lama pun saya membelek kamera tu, hangit jugak!
  3. Tahap kekeringan serunding, bergantung kepada kegunaan. Jika serunding itu untuk dimakan bersama pulut seperti pulut panggang, pulut serunding atau ketupat palas, eloklah lembab sedikit. Begitu juga untuk lontong kering atau nasi ambeng. Kalau untuk makanan yang memerlukan tahan lama seperti karipap serunding mini atau popia mini, lebih baik kering sedikit.
  4. Untuk nasi kerabu, serunding ini kurang sesuai. Biasanya serunding untuk nasi kerabu atau nasi ulam, lebih ringkas. Mungkin hanya menggunakan lengkuas sahaja sebagai perencahnya dan lebih sesuai dipanggil kelapa goreng.
  5. Anda boleh menambahkan sedikit rempah seperti jintan atau ketumbar untuk serunding kelapa tetapi saya lebih gemar resepi yang begini. Bau kelapa yang digoreng sahaja sudah cukup wangi. Ditambah pula dengan serai.