Hari raya Aidiladha yang lalu, saya sekeluarga berpakat dengan semua adik-beradik di kampung untuk mengorbankan seekor lembu. Ditambah seekor lagi lembu tumpang, menjadikan 2 ekor lembu dikorbankan di belakang rumah saya pada hari raya pertama. Dikawasan rumah saya di bandar pula, mengorbankan 13 ekor lembu termasuk 2 ekor lembu yang ditumpangkan dari taman perumahan berhampiran dan seekor kambing. Tapi tak dapat la saya menyertai majlis korban di bandar kerana saya berada dikampung pada masa itu. Hari Raya, tentulah nak balik kampung..

Majlis korban di kampung memang berbeza dengan majlis di bandar. Di kampung, saya rasakan lebih meriah dengan kehadiran orang kampung yang bergotong-royong membantu. Yang paling saya senangi, anak-anak muda juga turut sama belajar cara-cara melakukan ibadah korban. Tentu banyak yang mereka belajar dari menyembelih sehinggalah melapah. Penuh halaman belakang rumah saya dengan orang-orang kampung yang rajin-rajin semuanya.

Sewaktu pulang ke kampung suami beberapa hari kemudian, saya membawa pulang sebungkus daging korban untuk kegunaan sendiri kerana saya tahu, keluarga suami memang kurang menggemari daging. Apabila sampai di sana, ada banyak lagi daging korban menunggu. Beruntungnya tinggal di Malaysia. Memang banyak makanan dan penduduknya memang pemurah. Maka mula la otak saya berfikir hidangan yang akan saya sajikan berasaskan daging. Kalau sebelum ini di kampung saya, saya dah hidangkan daging paprik. Masak sekuali besar, sekejap je habis dihidangkan waktu tengah hari. Tak sempat di bawa ke malam. Di kampung suami pula saya sajikan serunding daging yang boleh bertahan lama. Boleh la bapa mertua saya menikmatinya bila-bila masa dia suka.

Bahan-bahan serunding daging

1 kg daging
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
8 btg serai
3 cm halia
1/2 cm lengkuas
1/2 cmt kunyit serbuk
2 cmb cili boh
100g ketumbar
50 g jintan manis
25g jintan putih
sedikit air asam jawa
1/4 cwn minyak masak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa


Cara membuat serunding daging

  1. Daging dipotong dadu 1 atau 2 inci dan direbus sehingga empuk
  2. Setelah empuk, tuskan dan biarkan sejuk.
  3. Siat daging rebus sehalus yang mungkin.
  4. Semua bahan perencah dikisar sehingga halus.
  5. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan perencah sehingga wangi.
  6. Perasakan dengan garam dan gula
  7. Masukkan daging dan kacau sehingga kering. Bahagian ni la yang paling tak seronok. Kalau menyiat daging, boleh juga dibuat sambil duduk di hadapan tv.
  8. Setelah betul-betul kering baru dihidangkan.


Tip masakan komersial.

  1. Menyiat daging memang membosankan tapi kalau kena caranya tak ada la leceh sangat. Tumbuk daging rebus menggunakan lesung batu. Bila daging dah lembut, mudahlah menyiatnya.
  2. Dalam keadaan yang bersih, sepatutnya serunding dapat bertahan sangat lama. Masukkan dalam bekas kedap udara dan simpan ditempat yang sejuk dan kering.
  3. Masyarakat barat juga dah pandai menggunakan serunding terutama dalam produk roti mereka. Anda juga boleh membuat serunding yang dinamakan meat floss kebanggaan orang barat. Kisar sahaja serunding ini menggunakan pengisar kering/bijirin. Pastikan tekstur yang anda dapat seperti kapas. Kalau anda dapati, serunding anda menjadi serbuk, cuba lagi dengan menggunakan pengisar lain.
  4. Cuba juga membuat serunding ayam dan chicken floss.
  5. Dapatkan roti bun, sapukan mayonis diatasnya dan tampalkan meat floss untuk membuat meat floss bun.