Bagaimana dengan cuti Aidiladha anda? Pasti seronok dapat berehat dan bertemu sanak saudara. Sama juga seperti saya. Inilah masanya untuk saya berehat kerana selepas ini saya tidak akan berpeluang untuk berehat lagi sekurang-kurangnya untuk 4 atau 4 bulan lagi. Cuti sekolah akan tiba beberapa hari lagi tapi bukan untuk saya. Saya akan berada di KL mulai minggu depan dan berharap dapat mendalami ilmu yang diperlukan.

Serikaya juga dikenali sebagai kastard yang dikukus dalam buah labu adalah hidangan manisan Thai yang sungguh menyelerakan. Selepas menikmati hidangan Thai yang pedas, nikmati pula Serikaya Labu Mahkota sama ada sejuk atau panas, memang menyegarkan. Hidangan seperti ini lebih eksklusif untuk restoran kerana persembahannya didalam buah labu mungkin memerlukan kos yang lebih.


Bahan-bahan untuk Serikaya Labu Mahkota
1 bj Labu lebih kurang 700g
40g Gula Melaka
40g Gula Castor
4 bj Telur A
200g Santan Pekat
Secubit Serbuk Vanilin


Cara Membuat Serikaya Labu Mahkota
  1. Potong bahagian atas labu. Korek keluar bijinya. Cuci luar dan dalam labu sehingga bersih.
  2. Racik gula melaka kecil-kecil. Kalau dapat kisar pun lagi baik.
  3. Campurkan semua gula melaka, gula castor, telur, santan dan vanilin.
  4. Kacau perlahan-lahan sehingga semua gula larut. Elakkan dari berbuih.
  5. Tapis adunan untuk mendapatkan adunan yang halus dan bersih.
  6. Masukkan dalam labu sehingga penuh. Buangkan buih sekiranya ada.
  7. Kukus selama ½ jam. Lebihkan masa sekiranya labu yang lebih besar digunakan.
  8. Hidangkan sejuk atau panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Oleh kerana kita menggunakan telur yang banyak, vanilin memang diperlukan untuk mengurangkan hanyir telur. Anda juga boleh menggunakan daun pandan. Hanya perlu ramas daun pandan bersama-sama bahan yang lain sewaktu ingin melarutkan gula.
  2. Jika bahagian bawah labu tidak rata atau bulat, agak sukar untuk meletakkan labu dalam keadaan berdiri. Jadi anda hanya perlu meletakkan labu diatas piring atau mangkuk. Jika masih sukar, sendal sahaja dengan kertas.
  3. Anda boleh menggunakan bahagian atas labu yang dipotong sebagai penutup untuk mencantikkan hidangan. Bagaimanapun, sewaktu mengukus, jangan gunakan penutup ini. Penutup ini sesuai untuk labu yang lebih kecil dan comel dengan sukatan untuk 1 hidangan. Saya menggunakan labu yang besar dan labu dipotong sebelum dihidang.