Semur ayam adalah hidangan yang berasal dari Indonesia. Ia adalah masakan berempah yang sangat terkenal di sana. Namun begitu, saya bukanlah mahir sangat dengan hidangan begini. Apa yang saya tahu, bahan utama untuk semur adalah kicap manis. Di Indonesia, semur popular untuk hidangan daging tetapi oleh kerana saya tak boleh makan daging, jadi kali ini saya akan menggunakan ayam. Semur mempunyai pelbagai rasa rempah yang kuat dengan rasa manis, masin dan masam yang seimbang.



Bahan-bahan untuk Resepi Semur Ayam
300g Isi Ayam
3 ulas Bawang Putih
1 bj Bawang Besar
1 inci Halia
2 bj Tomato Segar
1 cmt Serbuk Jintan Putih
1 cmt Serbuk Ketumbar
3 cmb Kicap Manis
½ cmt Serbuk Biji Buah Pala
½ cmt Serbuk Lada Hitam kasar
¼ cwn Minyak Masak
1 bj Kentang
2 cmt Garam
3 cmb Gula



Cara Membuat Semur Ayam
  1. Hiris separuh bawang besar dan separuh lagi dikisar bersama bawang putih dan halia. Ayam dipotong kecil jika suka.
  2. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan kisar sehingga harum.
  3. Masukkan serbuk ketumbar dan serbuk jintan putih.
  4. Buah tomato dibuang kulitnya dan dikisar halus. Masukkan dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan bahan-bahan lain iaitu, sebuk buah pala, kicap manis, lada hitam, bawang hiris, ayam dan kentang yang dibelah 4.
  6. Tutup kuali dan renihkan sehingga kentang empuk.
  7. Akhir sekali, perasakan dengan garam dan gula kemudian hidangkan panas-panas bersama nasi.


Tip Masakan Komersial
  1. Mungkin ramai yang tak menyedari hidangan ini sebenarnya banyak dijual di gerai nasi campur di negara kita. Tapi oleh kerana terlalu banyak variasi semur yang menyerupai hidangan-hidangan lain menjadikan agak sukar mengenalpasti sesuatu hidangan itu adalah semur. Dibawah nanti saya ceritakan serba sedikit semur yang boleh dipraktikkan.
  2. Resepi diatas adalah asas untuk semur. Ramai peniaga menambahkan berbagai lagi rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang. Ada juga yang menumis dengan rempah 4 sekawan agar lebih wangi. Umumnya, jika hidangan itu menggunakan kicap dan berempah, ia adalah sejenis semur.
  3. Semur adalah sejenis stew. Maksudnya ia mempunyai sedikit kuah yang pekat. Oleh itu, jika hidangan terlalu kering, tambahkan sedikit air. Saya rasa air yang digunakan untuk mengisar bawang dan tomato sudah mencukupi. Jika menggunakan daging, mungkin memerlukan lebih banyak air untuk menjadikan daging empuk.
  4. Saya menggunakan serbuk jintan dan ketumbar kerana rempah ini yang dijual dikedai lebih halus. Kalau makan pun tak terasa hampasnya. Memang mengisar sendiri lebih baik dan lebih wangi tetapi pengisar saya tak dapat mengisar rempah sebegitu halus. Boleh tersedak masa makan. Jika anda mengisar sendiri, adalah lebih baik jika anda sangai dahulu rempah-rempah tersebut..
  5. Bawang goreng bukan sahaja digunakan sebagai hiasan masakan. Ia juga mempunyai bau yang wangi dan rasa yang unik. Bawang goreng yang dimasukkan dalam semur juga sangat sesuai untuk rasanya. Masukkan 2 cmb bawang goreng sewaktu memperasakan semur. Kacau sebati. Taburkan sedikit lagi sewaktu menghidang.
  6. Saya tak boleh makan kentang sangat jadi saya gantikan dengan carrot sahaja. Sesuai menggunakan sayuran yang lambat empuk yang dipotong besar-besar.
  7. Ada juga tukang masak yang memasak daging atau ayam dalam ketulan besar. Apabila masak, barulah ia dikeluarkan dan dipotong nipis. Tujuannya supaya daging atau ayam ini tidak terlalu mengecut dan jusnya keluar dengan banyaknya. Daging dan ayam yang dimasak cara begini akan kelihatan lebih banyak dan potongannya lebih cantik.