Saya pun tak tahu tempura ni makanan jepun atau masakan barat atau negara manapun. Itu memang saya tak ambil berat sangat. Rasanya banyak negara ada hidangan bersalut tepung. Masakan thai popular dengan udang dan sotong goreng tepung, masakan barat dengan ayam gorengnya. Tempura tu pun saya tak tahu maknanya. Mungkin rempah, mungkin nama tempat atau apa saja. Apa yang penting, kerjaaaaasama, bagaimana hendak menghasilkan adunan tepung tempura yang rangup, garing, lazat dan yang pastinya bukan menggunakan tepung campuran segera. Saya juga tak tahu sangat beza tempura dengan salutan tepung yang lain. Pada saya semuanya sama kerana konsep utamanya untuk menghasilkan hidangan yang lazat dan rangup. Selalunya masalah yang saya dengan bila membuat salutan tempura, masalah utamanya adalah seperti tepung salutan kurang rangup atau kerangupan tidak tahan lama. Ada juga yang berkata tepung salutan tertanggal dan tidak melekat. Jadi dibawah ini ada resepi asas tanpa perasa dan rempah kerana anda yang akan tentukan bagaimana rasa yang anda inginkan. Yang penting hasilkan dulu salutan yang rangup dan garing ini.


Bahan-bahan Asas Resepi Seafood Tempura
1 cwn Tepung Beras
3 cmb Tepung Jagung
1/2 cmt Soda Bikarbonat
1/2 cmt Garam
500ml Air Sejuk
Seafood dan Sayur-sayuran secukupnya
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Batter Seafood Tempura
  1. Campurkan tepung beras, tepung jagung, soda bikarbonat dan garam dalam mangkuk adunan.
  2. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga mendapat batter yang pekat seperti adunan pisang goreng.
  3. Rehatkan adunan seketika. Sambil tu bersihkan seafood dan sayur-sayuran dan potong kepada saiz yang sesuai.
  4. Panaskan minyak masak dengan suhu sederhana panas lebih kurang 200C. Celup seafood atau sayur-sayuran dan gorengkan sehingga hampir kekuningan.
  5. Angkat dan tuskan sebelum dihidang bersama sos cili atau sos yang sesuai.

Tip Masakan Komersial
  1. Banyak hidangan yang boleh dihasilkan dengan adunan tepung tempura ini. Anda boleh goreng hampir semua benda yang mempunyai bentuk. Seafood seperti sotong, udang, ketam, ikan, juga sayur-sayuran seperti carrot, bunga kobis, kacang buncis, asparagus atau makanan siap diproses seperti tauhu, fishball, sosej atau lain-lain seperti ayam dan daging.
  2. Resepi kat atas tu memang kosong sangat. Tambah la perasa sikit sekurang-kurangnya lada sulah. Idea semuanya tertakluk kepada anda. Cuba tambahkan stok ayam, sos tiram, serbuk cili, serbuk kari, jintan, minyak bijan, daun kari atau herba masakan barat dan lain-lain. Terpulang kepada anda sama ada nak masukkan dalam batter atau dijadikan bahan perapan. Bahan-bahan ini akan menentukan sama ada anda menghasilkan masakan melayu, india, barat, thai atau cina dan sebagainya.
  3. Kawalan api sebenarnya bergantung kepada bahan apa yang anda goreng. Untuk bahan yang tak boleh dimasak lama seperti udang dan sotong, anda perlu menggunakan api yang lebih besar. Jika bahan seperti ini dimasak terlalu lama, ia akan mengecut. Walaupun tepung ini dapat menyalut dengan baik dan mengekalkan jus bahan yang digoreng tetapi ia belum memadai. Bagi bahan yang lambat empuk seperti carrot atau kentang, anda perlu goreng lebih lama dengan api yang lebih kecil.
  4. Masyarakat barat mengadun batter tempura menggunakan alkohol seperti beer atau rum supaya cecairnya lebih cepat tersejat. Jika anda dapat perhatikan kedua-dua kaedah ini, anda akan dapati adunan yang mengandungi alkohol, apabila digoreng, tiada wap yang keluar kerana alkohol sangat cepat tersejat. Ini menyebabkan salutan mereka lebih garing dari biasa. Jika anda terjumpa hidangan yang garing semacam je, maka berhati-hatilah.
  5. Adunan tempura ni memang rangup dan kerangupannya tahan lama tetapi untuk hidangan seperti sotong atau udang yang banyak memerangkap lembapan didalamnya akan menyebabkan ia kembang. Jadi, perlu makan panas-panas.
  6. Saya hanya menggunakan isi ikan sahaja untuk hidangan tempura ini. Mana la saya mampu nak beli udang atau sotong yang mahal tu. Padahal tak boleh makan sebab alergik. Teringin sungguh nak makan ketam lembut tempura tapi tak jumpa pulak. Lazatnya dapat makan dengan kulit-kulitnya sekali.

Minta maaf la kalau konsep tempura saya silap. Kalau anda ada sesuatu yang lebih baik, sila kongsikan dalam kotak komen dibawah.