Saya tahu. Hari ni ramai rakyat Malaysia yang kecewa. Harap bersabar semua. Kalau tak dapat menanggung kekecewaan, saya cadangkan buka puasa nanti anda beli aiskrim. Kemudian order atau masak nasi goreng cina. Bayangkan muka Lin Dan yang anda kunyah tu. Hehehhe Sambil-sambil tu, mari kita cuba resepi sate saya ni. Khusus untuk sesiapa yang cuba berjinak-jinak dengan perniagaan sate. Tak perlu meniru-niru sate Hj Samuri atau mana-mana sate Kajang yang dah popular tu. Kalau boleh, tampilkan keaslian dan kelainan dari anda sendiri tanpa meningkatkan kos. Dalam tip komersial dibawah sangat banyak penerangan untuk anda berjimat sekaligus memperoleh keuntungan maksimum untuk produk sate. Begitulah gambaran bagaimana sesuatu resepi itu boleh dikategorikan bersifat komersial sama seperti ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial tulisan saya.


Saya bakar sate ni dalam oven je. Itu sebab rupanya tak senonoh sikit. Asalkan boleh makan sudahlah. Apabila anda makan sate, jangan lupa makan timunnya sekali kerana bahagian sate yang hangus dan berwarna hitam telah teroksida. Ia boleh menyebabkan risiko kanser manakala timun pula bersifat anti oksida. Oleh itu gandingan sate dan timun memang mantap. Makanan lain yang banyak mengandungi anti oksida adalah snake grass, ulam raja, asparagus dan banyak lagi.


Bahan-bahan untuk Sate Ayam dan Daging
2 kg Isi Ayam / Daging
2 btg Serai
2 cmt Jintan Manis
2 cmt Jintan Putih
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1 Inci Lengkuas
5 bj Buah Keras
1 cmb Serbuk Kunyit
400g Gula
2 cmb Garam
Sedikit Minyak Masak


Cara membuat Sate Ayam dan Daging

  1. Ayam atau daging dibersihkan dan didadu.
  2. Kisar serai, bawang putih, jintan manis, jintan putih, halia dan lengkuas dengan air yang minimum sehingga betul2 halus. Kalau kalau boleh gunakan lesung batu untuk mengelakkan penggunaan air.
  3. Campurkan bahan kisar, serbuk kunyit, gula dan garam kedalam ayam atau daging tadi.
  4. Perapkan sekurang-kurangnya 2 jam.
  5. Cucukkan ayam atau daging dengan lidi sate.
  6. Bakar dengan bara sambil direnjiskan minyak masak sehingga masak.
  7. Hidangkan bersama ketupat atau nasi impit, kuah kacang, timun dan bawang hiris.


Tip Masakan Komersial

  1. Rasa ayam dan daging sate tak seharusnya tertutup dengan kahadiran rempah yang banyak. Cukup sekadar rasa yang lembut sahaja. Kalau hanya menggunakan jintan manis sahaja pun sudah memadai. Ada usahawan yang langsung tak menggunakan rempah. Bawang putih, Halia dan lengkuas pun tiada. Tetap juga sedap dan popular.
  2. Bahan-bahan perlu dikisar betul-betul halus. Saya pernah makan sate dengan rempahnya kasar-kasar. Dah la rempahnya terlalu banyak. Siap ada ketumbar lagi. Rasa macam nak tersedak bila makan sate begini. Rempah bersepah tapi rasa tak ada.
  3. Saya lebih suka memotong isi ayam dan daging nipis-nipis memanjang berbanding didadu kerana saya saya rasa lebih mudah mencucuk menjadi sate. Rempah-rempah juga lebih mudah menyerap. Bagaimanapun cara ini menyebabkan jusnya keluar dengan mudah sewaktu diperap dan dibakar dan boleh menjadikan sate lebih kering.
  4. Kebanyakkan rahsia usahawan sate terletak pada buah keras.Ia memberikan rasa lemak pada sate tanpa anda dapat menjangka bahan apa yang mereka gunakan. Jika tiada buah keras, boleh menggantikan dengan kacang tanah. Goreng dahulu tanpa minyak sebelum dikisar halus.
  5. Sewaktu diperap, ayam dan daging akan mengeluarkan air yang banyak. Jus ini bercampur dengan bahan-bahan perapan menyebabkan rasa manis dari gula berkurangan dengan banyaknya. Itu lah sebabnya sate menggunakan gula yang banyak. Bagaimanapun, jus ini jangan dibuang. Gunakan semula untuk membuat sambal kacang. Tak perlu ditapis. Anda akan banyak berjimat untuk gula selain dapat memberikan rasa kepada sambal kacang. Inilah sebabnya sambal kacang sate mempunyai rasa yang istimewa berbanding sambal kacang ketupat sewaktu hari raya yang anda buat.
  6. Gunakan daging batang pinang untuk sate yang lembut. Walaupun mahal tapi hasilnya sangat lumayan. Atau sekurang-kurangnya menggunakan daging lembut. Daging jenis ini perlu dipotong dengan cara yang betul. Ramai usahawan sate menggunakan daging import sejuk beku. Daging ini lebih murah dan hasilnya tidak mengecewakan. Pilihlah daging import No. 31 tetapi jangan jual mahal-mahal.
  7. Kebanyakkan usahawan sate meletakkan lemak di tengah-tengah tak kira sama ada ayam atau daging. Ada yang menggunakan kulit ayam. Bahagian ini memang tak menyihatkan, bagaimanapun ada juga pelanggan yang menggemari bahagian ini sehinggakan apabila tiada lemak, mereka merasakan kekurangan pada sate.
  8. Resepi yang sama boleh digunakan untuk sate lain seperti perut, hati, kambing, rusa, arnab dan lain-lain. Dengan rempah yang lembut, perbezaan daging-daging ini dapat dirasai.
  9. Lebihan jus perapan ini juga sesuai dicampurkan dengan minyak masak untuk renjisan. Campur satu bahagian jus dengan satu bahagian minyak. Campuran air dalam minyak apabila direnjis pada bara akan menghasilkan asap yang banyak. Ini memberikan smokey flavor pada sate. Bau asap ini akan semerbak dan menyebabkan pelanggan tanpa disedari akan memesan sate anda.
  10. Sate perlu disejukbekukan supaya anda dapat menyimpan stok yang banyak. Defrost dahulu 6 jam sebelum dibakar. Anda boleh bungkus sate dalam plastik dalam jumlah tertentu contohnya 50 batang sebungkus. Defrost cukup-cukup sahaja untuk kegunaan jualan pada satu sesi sahaja. Sate yang tidak habis dijual perlu di bekukan semula. Ada masanya terdapat sate yang telah melalui proses sejukbeku dan defrost dua atau tiga kali. Taburkan gula pada sate ini, kalau boleh sebelum ia menjadi masam untuk mengelakkan ia terbuang.