Masa belajar dulu selalu kirim kat kawan-kawan dari Terengganu bila dia balik kampung. Malangnya satar yang dibeli pada waktu malam selalunya basi menjelang pagi esoknya. Kalau dijaga dengan baik memang boleh tahan sampai tengah hari tapi tau je la kawan-kawan saya. Lepas beli, panas-panas terus sumbat dalam beg. Berpeluh berkuap la satar kiriman saya. Kemudian mula la saya berangan ingin ke Pantai Timur untuk menikmati sepuas hati satar dan keropok lekor yang sedap. Dapat la juga berkunjung ke sana dan menikmati satar yang pada masa tu hanya 30 sen. Lama selepas tu barulah dapat datang lagi. Kali ni harga dah naik sekali ganda. Dulu beli RM10 dah puas makan sekeluarga. Sekarang, makan seorang pun tak cukup. 



Bahan-bahan untuk Resepi Satar Pantai Timur Sedap Sekali
1 kg Ikan segar Selayang/kembung
1 bj Kelapa Parut
10 bj Bawang Merah
2 bj Cili Merah
1 inci Halia
2 helai Daun Kunyit
2 bj Limau Kasturi
Garam dan Gula
Daun pisang dan lidi sate secukupnya.



Cara membuat Satar Pantai Timur Sedap Sekali
  1. Bersihkan ikan. Kemudian asingkan isi dan tulang. Ambil Isinya sahaja.
  2. Kisar isi ikan dengan sedikit sahaja air supaya menjadi pes yang pekat.
  3. Bawang merah, cili merah, halia, daun kunyit dihiris dahulu kemudian dikisar kasar.
  4. Campurkan bahan kisar dalam satu bekas dan masukkan kelapa parut, jus limau, garam dan gula. Jika kelapa terlalu kasar, sebaiknya kisar dahulu.
  5. Pastikan anda mendapat pes yang lembik seperti adunan jemput-jemput.
  6. Bentukkan dan gulung daun pisang menjadi corong, masukkan satu sudu adunan kemudian lipat daun dan cucuk dari tengah lipat menembusi isinya hingga ke bucu kon.
  7. Habiskan membentuk satar hingga selesai.
  8. Panggang satar di atas bara api sehingga isinya menjadi pejal dan masak sepenuhnya.
  9. Hidangkan panas-panas bersama keluarga.



Tips Masakan Komersial
  1. Paling penting untuk mendapat satar yang sedap adalah kualiti ikannya. Pastikan ikan betul-betul segar. Gunakan ikan laut yang kurang hanyir. Hampir semua jenis ikan sesuai digunakan. Biasanya usahawan memilih ikan dari jenis trout sepert kembung, selar, tamban, selayang. Kalau dapat gunakan ikan yang berisi halus seperti tenggiri atau parang akan lebih sedap. Namun ikan seperti ini mahal harganya. Tambahan pula usahawan biasanya mudah mendapatkan isi ikan tamban sejuk beku tanpa tulang yang lebih memudahkan kerja.
  2. Saya mengisar langkah demi langkah kerana saya ingin tekstur yang berbeza untuk beberapa bahan. Contohnya ikan saya mahu ia betul-betul halus. Manakala perencahnya saya mahu lebih kasar. Cili dan daun kunyit pula saya hiris halus dahulu baru dikisar beberapa saat sahaja supaya warna merah cili dan hijau daun kunyit tak mengubah warna satar. kisaran kasar ini akan mencantikkan satar malah rasanya juga lebih terasa apabila dikunyah. (Padahal blender tak muat nak kisar sekaligus.)
  3. Berbanding blender, lebih baik jika anda menggunakan food processor kerana kisaran food processor lebih seragam dan lebih mudah untuk menghasilkan kisaran kasar. Ia juga tidak memerlukan air yang banyak dan mudah untuk anda mengawal kandungan air dalam adunan. Gunakan lebih air untuk ikan supaya ia lebih halus dan tak perlu air untuk bahan lain supaya anda mendapat adunan yang lebih pekat dan mudah diurus sewaktu membungkus dengan daun pisang.
  4. Ikan mengandungi protin yang apabila dimasak protin ini akan bergumpal dan menjadikan isi ikan kenyal. Sebab itulah ikan tak boleh direbus dahulu kerana protin ikan yang telah dimasak tidak akan bergumpal semula. Sebaiknya kisar bersama ais atau bekukan dahulu isi ikan sebelum dikisar. Ini akan menjaga protin ikan dengan baik. Untuk mendapatkan kisaran yang halus, kita perlu mengisar dengan lama. Kisaran akan menghasilkan haba yang boleh merosakkan protin ini menyebabkan satar yang terhasil tidak dapat bersatu. Ada juga usahawan yang menambahkan telur kedalam adunan. Telur dapat menghasilkan kekenyalan yang diperlukan malah ia menjadikan satar lebih sedap dan lemak.
  5. Kelapa parut memberikan rasa lemak, tekstur dan menambah kuantiti satar. Sebaiknya pilih kelapa yang sedikit muda dan hanya bahagian putihnya sahaja digunakan. Jika menggunakan kelapa yang terlalu tua, hampas kelapa yang keras menghasilkan rasa hampas. Boleh tersedak kalau makan gelojoh. Kalau parutan kelapa kasar dan panjang-panjang, eloklah dikisar juga. 
  6. Limau kasturi akan menyeimbangkan rasa satar dimana rasa masam memang sesuai dengan semua masakan berasaskan ikan. Jika saya masak ikan, mesti ada sesuatu yang masam. Saya juga menggunakan lebih gula hingga terasa kemanisan namun tidak melebihi rasa masin.
  7. Satar boleh disejukbekukan dan sebaiknya blast freezer digunakan untuk mengelakkan kehilangan air dalam satar. Daun pisang juga akan kekal warnanya. Satar beku boleh dipanggang seperti biasa tanpa perlu dinyahbekukan dengan api perlahan. Sejukbeku akan memudahkan anda memasarkan satar ke tempat yang lebih jauh dan luas. Satar yang belum dimasak juga akan tahan lebih lama supaya tempoh berniaga anda lebih panjang.
  8. Untuk lebih terasa perencahnya, anda boleh menambahkan hirisan cili padi dan bawang merah. Jadi bila makan tu ada la tergigit sekejap pedas, sekajap nikmat. Selain itu, jika anda sukakan rasa lada hitam, bolehlah ditambah sedikit. Biarlah lada hitam juga kasar. Bila tergigit baru terasa kelainannya.
  9. Ada juga usahawan yang menyapu sedikit santan pada corong daun pisang. Tujuan utamanya adalah supaya satar tidak melekat pada daun pisang setelah masak. Santan juga menambah rasa lemak pada satar. 
  10. Satu batang lidi sate biasa boleh cucuk sehingga 3 biji satar. Kira sesuai la untuk masakan dirumah. Usahawan satar mencucuk satar pada skewer logam. Satu batang boleh sampai 20 biji satar. Dari resepi diatas anda boleh dapat kira-kira 120 biji satar bersaiz biasa. Memang berbaloi sangat. 1 kilogram ikan kembung yang digunakan berharga RM10. Bahan-bahan lain semuanya di ambil dari keliling rumah. Itu sebabnya saya pilih untuk membuat satar apabila berada di kampung. Ikan pun lebih sesar dan murah disana. Kalau di bandar satu biji satar berharga RM1. Puas sungguh makan bersama keluarga.