Dalam kesibukan berkursus, mengadap pelbagai peralatan dapur, memasak berbagai jenis hidangan sehari, terasa rindu pula kepada blog saya. Mana tahan memasak tanpa henti, pagi petang siang malam. Daripada semudah-mudah masakan sehinggalah kepada masakan-masakan yang lebih kompleks. Telur mata lembu dan telur rebus setengah masak pun nak uji juga. Alahai, sabo je la. Jadi ada masa terluang sikit, saya ingin kongsikan resepi sardin gulung ataupun omputeh panggil sardine roll. Niat sebenar entri ini bukan pada resepinya tetapi pada teknik memasaknya yang unik juga sebagai contoh hidangan yang boleh anda sediakan dengan mudah berdasarkan hidangan-hidangan yang lain. Jadi resepinya anda yang tentukan sendiri. Sardine roll ini digoreng dengan minyak yang banyak tetapi tidak disalut tepung atau telur. Bagaimanapun dengan sedikit teknik dan pengetahuan, minyak tidak akan meresap dalam roti. Ini menjasikan hidangan ini lebih menjimatkan.


Bahan-bahan untuk Sardine Roll Tanpa Salutan
4 kpg Roti Sandwich
4 cmb Sambal Sardin
4 cmb Tepung Gandum
4 cmb Air
Minyak untuk menggoreng tenggelam.


Cara Membuat Sardine Roll Tanpa Salutan
  1. Bancuhkan tepung gandum dan air menjadi adunan yang pekat seperti jemput-jemput.
  2. Bentangkan roti dan letakkan inti sardin memanjang dibahagian tepi.
  3. Gulungkan roti dengan padat dan gunakan bancuhan tepung sebagai gam untuk mengekalkan gulungan.
  4. Selesaikan semua gulungan sehingga roti dan sambal sardin habis.
  5. Letakkan bancuhan tepung yang lebih tadi di hujung gulungan roti untuk menutup lubang setiap gulungan. Ini untuk mengelakkan minyak meresap kedalam roti melalui intinya.
  6. Permukaan gulungan roti pula perlu digosok lembut dengan jari untuk menutup rongga-rongga roti. Mesti digosok dalam gerakan sehala.
  7. Panaskan minyak masak dengan api sederhana besar. Gorengkan gulungan roti apabila minyak sangat panas.
  8. Goreng sebentar sahaja sehingga permukaan roti kekuningan. Angkat dan tuskan dalam keadaan berdiri.
  9. Hidangkan panas-panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Anda boleh mencanai roti menggunakan rolling pin tetapi cara ini menyebabkan roti menjadi padat luar dan dalamnya sedangkan jika kaedah diatas digunakan, hanya bahagian luar sahaja yang licin sedangkan bahagian dalam masih lagi gebu.
  2. Tidak semua jenis roti sesuai digunakan. Saya tak mahu sebutkan jenama tetapi anda boleh cari roti yang mempunyai rongga yang kecil dimana apabila anda sapukan jari anda pada permukaan roti anda akan dapati rongganya tertutup. Ini menjadikan permukaannya licin. Roti yang digunakan juga tidak boleh terlalu keras dimana apabila permukaannya ditekan, roti akan naik semula hampir kebentuk asal. Jika roti terlalu lembut dan lembab pula dimana, apabila ajri ditekan, roti hampir tidak naik semula, akan menyebabkan roti yang digulung menjadi padat. Kalau nak guna roti jenis ini, lebih baik gulung dengan lempeng je..
  3. Seperti yang pernah saya ceritakan dahulu, pelanggan gemar membeli di gerai yang mempunyai pelbagai pilihan jadi terlanjur ada inti sardin untuk karipap atau pau, apa kata anda tambah satu lagi produk seperti ini. Tak berpeluh pun kalau setakat tambah produk seperti ini.
  4. Jika kita perhatikan di gerai dan restoran, kita akan dapati mereka menggabungkan, mengubahsuai atau memberi nafas baru beberapa hidangan menjadi satu hidangan baru. Contohnya nasi goreng pataya iaitu gabungan telur dadar dan nasi goreng. Hanya perlu teknik sahaja. Begitu juga dengan nasi goreng USA. Antara hidangan yang digabungkan ialah nasi goreng, daging merah, telur goreng dsb. Ada juga roti yang diisikan dengan daging kebab kemudian dibungkus dengan kulit popia serta digoreng garing. Mereka namakannya roti baghdad. Idea-idea seperti ini pernah diketawakan dan dilihat pelik tetapi sedikit demi sedikit dapat diterima orang ramai malah ramai pula yang menirunya. Saya pun dulu pelik juga bila kebab dimakan dengan roti pita sedangkan dulu ia dimakan dengan roti panjang. Nama-nama makanan tu pun ntah dari mana diaorg dapat idea. Tak tau la kalau memang ada roti bungkus kulit popia kat Baghdad atau nasi goreng dimakan dengan daging merah semuanya bercirikan Thai di USA. Apa kata anda cari mi bandung kat Indonesia tu. Adakah sama dengan mi bandung Muar? Atau mungkin ada mi muar kat daerah Bandung? hehehhe Jangan peningkan kepala. Mulalah memberikan sentuhan kreatif dalam hidangan anda. Berkenaan namanya, akan hadir dengan sendirinya macam mi racun di Batu Pahat. Sardin gulung macam ni boleh bagi nama Sardin Gulung Togel kot..