Orang Malaysia, pagi-pagi dah makan nasi. Extreme betul sarapan kita. Nasi lemak, mi goreng, roti canai. Bukan setakat tu je. Mesti ada telur pulak tu. Semua peniaga yang jual sarapan berhampiran tempat saya, setiap kali pelanggan order nasi lemak, mi goreng, secara automatik dia akan letak telur. Bila tiba giliran saya, saya katakan tak nak telur. Dah cakap macam tu pun dia tetap letak telur. Bila saya suruh keluarkan telur, dia buat muka pelik mata terkebil-kebil. Bila difikir-fikir kan semula, sarapan roti lebih baik untuk saya. Sarapan dengan Sandwich Tuna Mayonis lagi sedap. Senang pulak tu.
Sekarang ni memang dah ada jual tuna dalam tin beberapa jenis. Ada jenis yg pedas, ada juga yang bermayonis dan ada juga hanya tuna dalam minyak zaitun. Anda boleh gunakan mana-mana produk ini tapi bagi saya macam biasa la. Saya akan buat sendiri seluruhnya supaya saya tahu setiap benda yang masuk dalam perut keluarga saya. Jimat tu perkara kedua.



Bahan-bahan untuk Sandwich Tuna Mayonis Sedap dan Senang
200g kepingan Isi Ikan Tuna
3 cmb Mayonis
1 cmb Gula Pasir
Secubit Garam
1 cmt Jus Lemon
10 bj Lada Hitam
6 kpg Roti Sandwich
Salad Romaine/Lectuce
Timun
Tomato



Cara membuat Sandwich Tuna Mayonis Sedap dan Senang
  1. Masak ½ L air hingga mendidih kemudian masukkan kepingan isi tuna. Lebih kurang 2 minit, angkat dan tuskan airnya.
  2. Campurkan mayonis, gula pasir, garam, jus lemon dan gaul rata hingga gula dan garam larut.
  3. Masukkan isi ikan tuna dan pecah-pecahkan kasar sambil digaul rata bersama mayonis.
  4. Masukkan lada hitan yang ditumbuk kasar dan rasa. Seimbangkan garam dan gula jika perlu.
  5. Sapukan pada roti, lapiskan dengan salad, timun dan tomato yang dihiris nipis. Tutup dengan sekeping roti lagi.
  6. Sandwich Tuna lebih sedap jika dihidang sejuk.



Tip Masakan Komersial
  1. Ikan tuna memang mahal harganya. Tuna dalam tin lagi mahal. Gunakan ikan segar lebih baik. Sandwich seperti ini paling sesuai jika anda gunakan ikan yang mempunyai isi putih. Ikan yang paling mudah diperolehi seperti ikan tenggiri, ikan tongkol isi putih dan sebagainya. Nak lagi mahal, gunakanlah ikan salmon atau kod.
  2. Saya memulih untuk menggunakan ikan rebus berbanding goreng atau bakar. Kalau anda ada convection microwave oven, anda boleh gunakannya. Lebih cepat dan mudah. Tak perlu masak air.
  3. Anda sebaiknya menyediakan sandwich seperti ini pada waktu malam dan simpan dalam peti ais. Kalau nak simpan sandwich dalam peti ais, bungkus dulu dalam plastic sling wrap atau gunakan tupperware yang berkualiti. Sandwich sedia untuk menjadi sarapan atau bekalan anak kesekolah.
  4. Bagi yang tak menggemari mayonis, anda boleh membuat sandwich yang pedas menggunakan isi ikan tuna, cili hiris, bawang besar hiris, jus lemon, garam dan gula. Saya suka sandwich seperti ini. Terkenang zaman kecil-kecil ketika belum banyak produk dalam tin.
  5. Sayur-sayuran sangat penting dalam menghasilkan sandwich. Ia menjadikan hidangan menjadi lengkap iaitu karbohidrat dari roti, protin dari ikan dan sayur-sayuran yang kaya vitamin. Gunakan yang segar dan berwarna-warni untuk menarik selera anak-anak.
  6. Ikan seperti tuna, tenggiri dan tongkol, setelah masak, isinya akan mudah pecah berkeping-keping. Orang putih panggil flaky. Oleh itu, jika merebusnya sebaiknya dalam kepingan yang besar. Jangan dadu atau potong terlalu nipis. Hiris dalam ½ atau 1 inci lebih baik. Jika isi ikan dalam mayonis terlalu halus, tak terasa ikannya ketika memakan sandwich. Biarlah boleh nampak isi ikan berkeping-keping dengan jelas.