Kalau dalam kategori masakan barat, sandwich dah termasuk dalam hidangan utama kerana hidangan ini sudah lengkap semuanya termasuk karbohidrat, protin, sayur-sayuran dan sebagainya. Bagi masyarakat Malaysia yang hanya akan berasa kenyang apabila memakan nasi, akan menganggap sandwich hanya sebagai makanan ringan yang berkhasiat. Bagi para usahawan pula, setiap apa yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, sudah tentu boleh ditukarkan menjadi wang. Sandwich double decker banyak di hidangkan di kebanyakan hotel di Malaysia dan harganya melebihi RM2.50. Jika digerai-gerai biasa, sandwich ini berharga lebih kurang RM2.00. Dulu saya biasa menerima tempahan sandwich ini untuk RM1 setiap set.

Untuk paparan kali ini, saya hanya akan menunjukkan cara membuat lapisan putih sandwich sahaja. Untuk lapisan merah, anda boleh menggunakan sambal sardin terhebat anda. Insya Allah, bila saya dah mahir membuat sardin dalam tin, baru saya akan ajarkan cara membuat sambal sardin. Sardin seperti ini, sesuai dijual di sekolah-sekolah, gerai-gerai makanan san mana-mana tempat yang menjual kuih-muih. Cubalah buat sandwich double decker ini dan consignment kepada penjual kuih-muih disekitar tempat anda. Keuntungannya memang berbaloi dengan kerjanya yang cepat dan mudah. Dengan resepi ini produk anda lebih menjimatkan tetapi saya harap anda jangan tamak. Gunakan roti yang lebih berkualiti, inti yang lebih banyak, Insya Allah akan diberkati. Saya pernah mengadakan jamuan dirumah dan menyediakan berbagai hidangan. Oleh kerana tetamu yang hadir diluar jangkaan, jadi saya menyediakan sandwich double decker ini dalam beberapa minit untuk stanby kalau-kalau hidangan tidak mencukupi. Malangnya, sandwich ini yang habis dahulu. Tak tau nak cakap apa. Mungkinkah mereka dah bertahun-tahun tak makan sandwich?

Bahan-bahan untuk Sandwich Double Decker
Beberapa keping roti sandwich
2 cwn sambal sardin
2 bj telur
1 cmb mayones
1/4 cmt garam
1/2 cmt gula
Secubit lada hitam/sulah
1 bj tomato
1/2 bj timun
1 cmb majerin/mentega

Cara-cara membuat Sandwich Double Decker
  1. Timun dan tomato dihiris nipis
  2. Rebus telur sehingga masak sepenuhnya. Sejukkan
  3. Kupas telur dan lecek menggunakan sudu atau garfu. Kasar-kasar lebih sedap.
  4. Tambahkan mayones, lada hitam, garam dan gula. Gaul sebati.
  5. Sapukan satu lapisan nipis majerin pada roti.
  6. Kemudian sapukan sambal sardin sehingga rata.
  7. Lapiskan dengan hirisan timun sebelum ditutup dengan roti yang juga telah disapu majerin.
  8. Sapukan pula adunan telur.
  9. Lapiskan lagi dengan hirisan tomato dan roti yang telah disapu majerin.
  10. Potong kerak roti supaya kelihatan lebih cantik.
  11. Potong kecil sebelum dihidangkan.

Tip Masakan Komersial

  1. Lapisan majerin yang disapu pada roti bertujuan supaya roti tidak menjadi lembik dan kembang apabila diresapi cecair dari sambil sardin dan telur. Dengan ini, roti akan tahan lebih lama pada suhu bilik.
  2. Gunakan sayur-sayuran dengan pelbagai warna untuk mencantikkan lagi hidangan ini. Tomato yang bewarna merah lebih sesuai dilapiskan dengan telur yang putih manakala warna timun yang putih sesuai dilapiskan dengan sambal sardin yang berwarna merah. Contra warna seperti ini menjadikan warna sandwich lebih ketara dan cantik apabila dipotong.
  3. Untuk menjadikan produk jualan yang lebih mudah diuruskan, sandwich double decker ini sebaiknya dipotong dua menjadi bentuk tigasegi. Bungkuskan menggunakan plastic sling sebelum dimasukkan kedalam kotak plastik jernih khusus untuk sandwich. Teknik ini pembungkkusan ini membolehkan sandwich yang anda jual setimpal dengan harganya malah roti sandwich tidak mudah kering dan kekal lembut.
  4. Roti amat mudah berkulat jika tidak dikendalikan dengan baik. Gunakan sarung tangan yang bersih dan sentiasa menggunakan peralatan yang bersih. Ini menjamin keselamatan pelanggan dan imej hidanga anda.