Macam yang saya katakan sebelum ini, saya memang amat menggemari masakan bersambal. Lagi pedas lagi bagus. Kalau masak masakan bersambal, pasti saya akan lebihkan sambalnya. Begitu juga dengan sambal kentang ini, Sambalnya lebih banyak dari kentang hingga tenggelam warna kentangnya. Kalau anda juga suka sambal, bolehlah cuba resepi ini tapi jika untuk berniaga, kentangnya biarlah ketara. Resepi ini sepatutnya kentang masak berlada jadi bahan utamanya adalah kentang. Bagaimanapun, selera masing-masing berlainan. Kalau pelanggan anda juga suka sambal, apa salahnya anda buat sambal tumis dengan kentang begini. Pelanggan didahulukan, keuntungan diutamakan.


Bahan-bahan untuk Resepi Sambal Tumis Kentang
300g Kentang
5 cmb Cili Boh
1/2 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
5 ekor Ikan Bilis
3 cmb Gula
2 cmt Garam
1 cwn Minyak Masak
1 cmb Jus Limau Nipis / Cuka


Cara Membuat Sambal Tumis Kentang
  1. Kentang dibuang kulit dan dibersihkan. Belah kentang kepada 4 kemudian hiris nipis setebal 0.5 - 1 cm.
  2. Panaskan 1 cwn minyak masak dan gorengkan kentang sehingga empuk dan kekuningan. Angkat dan tuskan.
  3. Kurangkan minyak dalam kuali sehiingga tinggal 3 cmb sahaja. Tumiskan bawang putih yang dihiris nipis hingga wangi.
  4. Masukkan cili boh bawang besar yang dihiris dan ikan bilis yang disiat. Gorengkan sehingga sedikit kering dan garing.
  5. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau.
  6. Masukkan kentang yang telah digoreng tadi. Gaul rata.
  7. Matikan api dan hidang bersama nasi.


Tip Masakan Komersial
  1. Kita tahu, kentang memerlukan masa untuk empuk. Jadi memasak kentang sehingga empuk secara berlainan adalah kaedah yang terbaik. Biasanyakaedah menggoreng dengan minyak yang banyak digunakan kerana ia lebih cepat empuk. Kaedah ini juga mengurangkan risiko kentang pecah sewaktu digaul bersama sambal kerana lapisan nipis dan garing pada permukaan kentang yang digoreng akan menguatkan struktur kentang.
  2. Selain berfungsi sebagai perasa, gula juga akan menjadikan warna sambal lebih cantik dan berkilat. Jadi kalau anda membuat sebarang sambal, tambahkan gula walaupun sedikit.