Agak lama saya tak memaparkan apa-apa resepi. Beberapa minggu kebelakangan ni memang sangat sibuk ditempat kerja. Majlis yang diadakan perlu diselenggarakan dengan betul. Tempahan kek dan makanan perlu disiapkan mengikut masa dan pelajar-pelajar saya perlu dibimbing tanpa ada ketinggalan mana-mana bahagian dan blog perlu didiketepikan dahulu kerana ia bukan suatu kemestian. Kini minggu peperiksaan bermula, perlu memberi perhatian yang lebih kepada pelajar-pelajar saya. Wajarlah saya memaparkan resepi yang mudah sahaja kali ini iaitu Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis. Bak kata doktor anak saya, ini bukan yang penting punya. Maksud saya resepi dan bahan-bahannya tidak begitu mustahak kerana sambal tumis perlu dibezakan untuk kegunaan. Bagaimanapun sambal tumis sangat penting dalam beberapa hidangan terutama nasi lemak. Dalam tip masakan komersial, saya cuba ringkaskan ciri-ciri sambal nasi lemak yang baik. Apa yang perlu sekarang, anda fahami bahan dan tekniknya dan bukannya resepi.


Bahan-bahan untuk Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis
200g Lada Kering
60g Bawang Besar
100g Ikan Bilis
150g Bawang Merah
50g Bawang Putih
20g Belacan
25g Garam
50g Gula
1 cmt Asam Jawa
100g Minyak Masak

Cara Membuat Sambal Tumis Ikan Bilis
  1. Lada kering dibersihkan, dan dibuang bijinya. Rendam setengah jam sebelum dikisar bersama sedikit air, bawang merah, bawang putih dan belacan.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan tuskan.
  3. Dengan minyak yang sama tumiskan bahan kisar sehingga garing dan berwarna merah gelap.
  4. Masukkan bawang besar yang dihiris dan asam jawa yang dicairkan. Tumis sehingga bawang layu.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Masukkan ikan bilis dan sedia dihidangkan bersama nasi lemak atau hidangan lain.


Tip Masakan Komersial
  1. Bawang besar mempunyai rasa yang manis tetapi bawang merah memberikan rasa dan bau yang wangi. Kombinasi ini sangat sesuai untuk sambal tumis ikan bilis. Bagaimanapun untuk kegunaan komersial, menggunakan bawang besar sudah memadai kerana ia jauh lebih murah.
  2. Bawang besar yang dihiris boleh memberikan kuantiti dalam masakan dimana apabila dihidang, ia akan kelihatan lebih banyak. Tetapi pastikan ada bawang besar yang dikisar untuk memberikan rasa.
  3. Begitu juga dengan ikan bilis. Setelah digoreng, ia akan menjadi lemau dan liat terutama apabila lama sambal tumis disimpan. Jika anda berniaga, sebaiknya sedikit ikan bilis dikisar untuk memberikan rasa dalam sambal tumis manakala selebihnya hanya dicampurkan dalams sambal tumis apabila hendak digunakan sahaja atau taburkan sahaja macam nasi lemak. Kaedah ini juga dapat menjimatkan penggunaan ikan bilis yang mempunyai harga yang paling mahal diantara bahan-bahan sambal tumis yang lain.
  4. Sambal tumis ikan bilis yang baik untuk kegunaan nasi lemak mestilah mempunyai warna merah gelap dan berkilat. Ia juga haruslah pekat dan saya gemarkan rasa yang sedikit manis. Pastikan cili ditumis sehingga garing kalau boleh sehingga bersin satu rumah.