Dah lama sebenarnya saya tak makan hidangan yang pedas-pedas. Sejak mempunyai anak, saya terpaksa mengurangkan kepedasan masakan saya. Kebanyakkannya tak pedas langsung. Kalau dulu, saya paling gemar masakan pedas. lagi pedas lagi bagus. Oleh kerana malas nak masak versi pedas untuk saya dan versi tak pedas untuk anak saya, jadi terpaksa la makan yang tak pedas je. Lama-kelamaan, akibat terlalu kurang makan makanan pedas, saya rasa seolah-olah saya ni dah tak tahan pedas lagi. Sekarang ni, bila anak pun dah besar, boleh la saya tingkatkan ketahanan lidah saya dengan makanan pedas. Bermula dengan sambal tumis yang paling saya gemari, yang suatu ketika dulu saya gelarkan Sambal Tumis Cili Api Pedas Membunuh. Lepas ni baru saya tambahkan dos kepedasan sedikit demi sedikit. hehehe

Bahan-bahan untuk Sambal Tumis Cili Api
30 bj cili api
1 bj bawang besar
2 ulas bawang putih
100g ikan bilis
1/4 cwn minyak masak
1 cmt garam
3 cmb gula
1/2 cwn air
1 cmt jus limau atau asam jawa

Cara membuat Sambal Tumis Cili Api
  1. Kisar cili api, bawang besar dan bawang putih bersama air.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis sehingga garing.
  3. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan bahan-bahan kisar.
  4. Apabila tumisan telah garing, perasakan dengan jus limau, garam dan gula.
  5. Akhir sekali masukkan ikan bilis dan hidangkan.


Tip Masakan Berguna

  1. Saya menggunakan cili padi merah dalam peket kerana rasanya lebih pedas dan cili lebih tahan lama dalam peti ais. Cili ini mempunyai saiz yang sekata tidak terlalu besar dan tidak terlalu panjang. Saya dapati cili ini lebih tahan kerana cili lain lebih cepat kecut atau layu. Selain itu cili ini tidak menyebabkan saya sakit perut sepertimana cili padi yang panjang tu.
  2. Menggoreng ikan bilis juga memerlukan teknik tertentu. Jika minyak kurang panas, ikan bilis tidak akan garing malah menjadi keras macam kayu. Jika api terlalu panas pula, ikan bilis akan kembang dengan cantik macam keropok tetapi cepat lemau dan bahagian dalamnya mungkin tidak masak. Kalau sehingga kuali berasap pula, sudah tentu la ikan bilis akan hangus sebaik sahaja digoreng sedangkan dibahagian dalamnya mentah. Jadi kesederhanaan amat penting. Ikan akan menjadi garing sehingga ke bahagian dalamnya, kegaringan akan tahan lebih lama namun ia bergantung kepada saiz dan ketebalan ikan bilis itu sendiri.
  3. Saya memang jarang menggunakan belacan, serbuk perasa dan sebagainya dalam masakan. Saya gemarkan rasa yang asli dimana kesedapannya bergantung kepada kaedah dan teknik memasak serta keseimbangan semua bahan-bahannya. Cabarlah keupayaan anda untuk menghasilkan masakan tanpa bahan-bahan tambahan atau produk-produk segera.