Seperti yang pernah saya ceritakan dalam entri Resepi Sambal Belacan Kampung, belimbing buluh juga boleh digunakan dalam apa sahaja masakan yang memerlukan rasa masam. Jadi dalam apa sahaja masakan, saya akan gunakan apa sahaja asam yang ada sama ada asam jawa, asam gelugur, jus limau, lemon, tomato, kemang , cuka dan sebagainya asalkan dapat seimbangkan rasa masam, masin dan manisnya. Bagaimanapun saya akan mengutamakan bahan yang asli berbanding bahan kimia dan mengutamakan bahan yang mudah rosak berbanding bahan yang tahan lama. Namun begitu, kita juga perlu mengambilkira tahap kemasaman dan kemanisan sesuatu bahan itu. Ini penting untuk mencapai keseimbangan dalam masakan. Contohnya jika belimbing tidak begitu masam takkan nak gunakan dalam tomyam. Sudah pasti kita perlu menambah bahan lain yang lebih masam. Pernah makan ke tomyam rasa belimbing? heheheh


Bahan-bahan untuk Resepi Sambal Tumis Belimbing Buluh
1 cwn Cili Boh
1/4 cwn Ikan Bilis
1 ulas Bawang Putih
1 bj Bawang Besar
5 bj Belimbing Buluh
1 cmt Garam
3 cmb Gula
1/4 cwn Minyak Masak


Cara membuat Sambal Tumis Belimbing Buluh
Panaskan minyak masak
kan bilis dibelah dua dan dibersihkan kemudian goreng sehingga garing. Angkat dan tuskan.
Bawang putih dan bawang besar dihiris nipis. Dengan minyak yang sama, tumiskan sehingga layu.
Masukkan cili boh dan masak sehingga garing.
Belimbing buluh dihiris bulat setebal 3-5mm. Masukkan kedalam sambal. Masak sehingga layu.
Perasakan dengan garam dan gula.
Akhir sekali, masukkan ikan bilis goreng. Kacau rata dan bolehlah dihidang.


Tip Masakan Komersial
Menggunakan bahan yang lain dari kelaziman adalah suatu cara yang baik dalam memberikan keunikan dalam masakan anda. Walaupun dengan sedikit perbezaan, ia tetap memberikan sedikit rasa dan ini menjadikan hidangan restoran anda tak sama dengan restoran yang lain. Bagaimanapun jangan la gunakan bahan yang sukar dicari atau terlalu mahal.
Saya pernah berbual dengan seorang usahawan masakan thai suatu ketika dahulu. Menurutnya, tomyam dari restorannya berbeza sedikit kerana dia menggunakan bawang merah kecil berbanding bawang besar. Memang rasanya sedikit berbeza tetapi jika anda bukan penggemar tomyam, besar kemungkinan anda tidak akan menyedari kelainan ini. Kini, setelah lebih 10 tahun, saya dapati merata-rata restoran masakan thai yang saya kunjungi menggunakan bawang merah dalam masakan tomyam mereka.
Belimbing mempunyai beberapa jenis. Ada yang bewarna hijau, ada juga yang kekuningan. Begitu juga dengan rasanya. Ada yang sangat masam dan ada yang lebih manis. Jadi anda kena tahu bagaimana masakan yang ingin anda hasilkan. Jika belimbing anda terlalu masam, takkan nak letak belimbing dalam kuantiti yang banyak dalam masakan. Bagaimanapun, untuk saya yang suka kepada rasa belimbing buluh tetapi tidak mahu masakan saya terlalu masam, biasanya saya akan merebus dahulu belimbing untuk mengurangkan rasa masamnya.
Belimbing boleh dijeruk untuk menjadikan ia tahan lebih lama. Jeruk belimbing juga sesuai untuk resepi ini. Setakat ini, saya belum bernah jumpa jeruk belimbing dijual secara komersial dipasar.