Menjelang bulan Ramadhan yang akan menjelma beberapa hari lagi ini, saya masih tak pasti berapa banyak masa yang saya ada untuk blogging. Banyak benda yang perlu saya utamakan terutama yang melibatkan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan lama. Kalau terlepas, belum tentu bertemu bulan Ramadhan tahun hadapan. Jadi kali ini saya kongsikan resepi sahur yang paling popular dikalangan penduduk Malaysia iaitu Sambal Telur Sahur cara pantas.


Sambal telur menjadi popular ketika sahur kerana ia mudah dan cepat disediakan. Rasanya juga sedap dan sesuai sangat dihidangkan dengan nasi panas. Mata yang mengantuk boleh jadi terbeliak dengan aromanya. Mata kita akan bertukar daripada kuyu mengantuk bertukar menjadi tangisan kepedasan. Sementara itu, cara membuatnya perlu ringkas. Mata mengantuk ketika bangun sahur, memang tak kuasa nak masak yang leceh.



Bahan-bahan untuk Sambal Telur
3 bj Telur
6 bj Cili Kering
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
½ inci Halia
1 cmt Jus Limau
2 cmt Garam
1 cmb Gula
¼ cwn Minyak Masak
Sedikit air untuk mengisar.



Cara membuat Sambal Telur
  1. Panaskan secukupnya minyak masak dan goreng telur sebiji demi sebiji sehingga masak sepenuhnya.
  2. Kisar cili kering, ½ bj bawang besar, ½ inci halia, 1 ulas bawang putih bersama sedikit air.
  3. Panaskan minyak masak lebihan goreng telur tadi dan tumiskan ½ bj bawang besar dan 1 ulas bawang putih yang dihiris nipis. 
  4. Setelah tumisan berbau harum, masukkan bahan kisar. Goreng hingga pecah minyak.
  5. Masukkan garam, gula dan jus limau secukup rasa.
  6. Akhir sekali masukkan telur goreng dan gaul dengan perlahan supaya sambalnya rata tanpa menghancurkan telur.
  7. Sambal telur sedia dihidangkan bersama nasi panas ketika sahur.



Tip Masakan Komersial
  1. Adalah lebih baik jika cili kering dibuang bijinya dan direbus terlebih dahulu sebelum dikisar. Biasanya kalau saya nak cepat atau terlalu penat, saya akan terus kisar sahaja. Bagaimanapun saya akan pastikan cili kering dicuci bersih terlebih dahulu. Kemudian saya akan mengisar cili sebentar sahaja dan biarkan ia kembang didalam blender selama ½ jam. Selepas itu barulah saya kisar semula hingga halus. 
  2. Sebahagian bawang besar dan bawang putih digunakan untuk menumis dan sebahagian lagi dikisar bersama cili. Bahan yang ditumis memberikan aroma yang menyelerakan manakala bahan tumis memberikan rasa sambal yang sedap. Kombinasi aroma dan rasa menjadikan sambal telur ini lebih menyelerakan.
  3. Semenjak dua menjak ni saya hanya menggunakan sedikit sahaja cili kering dalam masakan saya. Biasanya terdapat dua jenis cili kering yang dijual di pasaran. Yang pertama mempunyai saiz yang besar dan panjang, permukaannya berkedut. Jenis yang kedua adalah lebih kecil dan pendek serta mempunyai permukaan yang licin dan berkilat. Jenis yang kedua adalah lebih murah dan lebih pedas dari yang pertama. Dulu saya menggunakan jenis yang pertama jadi saya boleh menggunakan lebih banyak cili kering dan lebih banyak sambal dalam sambal telur saya. Bila harga dan semakin tinggi, kebanyakkan kedai hanya menjual yang murah sahaja. Terpaksalah gunakan sikit sahaja supaya anak saya tak kepedasan.
  4. Orang melayu zaman dulu memang bijak dalam menjadikan hidangannya lebih sedap. Mereka tidak  bergantung kepada produk segera seperti sos cili, sos tiram, serbuk perasa, kiub pati dan sebagainya. Ini menjadikan masakan mereka lebih asli dan yang penting lebih selamat untuk dinikmati.
  5. Sambal telur tidak menggunakan bahan seperti ikan bilis atau udang kering seperti sambal tumis. Penggunaan ikan bilis akan menjadikan sambal telur rasa seperti sambal tumis. Saya suka membezakan hidangan saya misalnya jika saya rasa sambalnya saya dah tahu ini sambal telur atau sambal ikan, sambal tumis dan sebagainya. 
  6. Sambal telur juga menggunakan halia dalam sambalnya sama seperti sambal ikan. Rasa halia ini memang sesuai untuk jenis-jenis sambal seperti ini. Biasanya saya gunakan halia hiris untuk sambal ikan dan halia kisar untuk sambal telur. Bagaimanapun sekali sekala saya tukarkan juga ikut kesesuaian kerana kedua-duanya memang sesuai.
  7. Resepi sahur memang kena ringkas dan cepat kerana kita mengejar masa. Timing kena betul supaya kita dapat makan diwaktu yang paling afdhal untuk bersahur. Namun sebenarnya sambal telur sesuai jika dimasukkan rempah 4 sekawan iaitu kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Baunya akan lebih memikat. Begitu juga sengan serai. Boleh dimasukkan serai yang di ketuk atau kisar sahaja bersama cili kering. Kenikmatannya kita yang tentukan.