Hidangan yang seimbang perlu mengandungi karbohidrat, protin dan sayur-sayuran. Protin boleh didapati dari daging seperti ayam, lembu dan sebagainya termasuk ikan dan makanan laut. Makanan yang berprotin ini biasanya mahal sedikit. Kerana itu, sekali sekala saya akan beralih kepada tauhu kerana tauhu dibuat daripada kacang soya yang juga tinggi kandungan protinnya dan banyak khasiat yang lain. Harganya pula jauh lebih murah kerana ia berasaskan tumbuh-tumbuhan berbeza dengan makanan protin yang lain.

Pada mulanya agak sukar mengajar anak saya makan tauhu. Budak-budak memang kurang gemar makan makanan yang lembut dan lebih suka kepada makanan yang rangup dan garing. Sehinggalah suatu hari, saya memasak tauhu telur yang jauh lebih lembut dari tauhu dan saya katakan padanya ini adalah telur. Bila dia makan memang rasa telur. Sejak itu dia sangat menggemari tauhu tak kiralah tauhu apa termasuklah tauhu kering dalam kuah lodeh. Setiap apa yang saya masak semuanya dia suruh letak tauhu. Jemput-jemput dalam mi goreng mamak juga dia anggap tauhu. Sekarang ni kalau makan mi goreng mamak, terpaksa berebut dengan dia.


Bahan-bahan untuk  Sambal Tauhu
5 kpg Tauhu Keras
20 tangkai Cili Kering
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
½ btg Lobak Merah
1 cmt Jus Limau Nipis
½ L Minyak Masak
1 cmt Garam
3 cmb Gula


Cara Membuat Sambal Tauhu
  1. Cili kering dipotong dan direndam sehingga kembang kemudian kisarkan bersama sedikit air.
  2. Bawang besar dihiris nipis dan bawang putih dicincang.
  3. Tauhu dipotong dadu kepada 6 atau lapan bahagian setiap keping. Lobak merah di potong memanjang.
  4. Panaskan minyak masak dan gorengkan tauhu sehingga kekuningan. Angkat dan tuskan.
  5. Keluarkan minyak masak sehingga tinggal ¼ cawan sahaja.
  6. Tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
  7. Masukkan lobak merah dan masak sehingga empuk. Tambah air jika perlu.
  8. Perasakan dengan asam, garam dan gula.
  9. Akhir sekali masukkan tauhu, gaul rata sebentar sebelum dihidangkan.


Tip Masakan Komersial.
  1. Teknik membuat sambal ini tak jauh bezanya dengan menyira bezanya, ia lebih cair dan basah. Oleh itu pastikan bahan kisar digoreng garing supaya warnanya lebih merah.
  2. Gunakan bahan utama lain yang sesuai untuk sambal ini. Boleh mencuba dengan kentang, tempe atau semuanya.
  3. Sambal ini jika dimasak betul-betul kering, boleh bertahan lebih lama tanpa dimasukkan dalam peti ais. Bagaimanapun tauhu perlu dipotong lebih kecil dan digoreng sehingga rangup didalamnya. Jika menggunakan tempe, juga begitu. Bawang besar danbawang putih pula sebaik-baiknya dikisar halus. Tambahkan kacang goreng dan ikan bilis goreng untuk rasa yang lebih sedap. Sesuai dimakan ketika sahur untuk surirumah yang tak sempat nak masak kerana boleh disediakan dalam kuantiti banyak untuk stok beberapa hari.
  4. Selain dari memberikan rasa pada sambal, gula juga berfungsi untuk mencantikkan hidangan. Tanpa gula, sambal tidak berapa berkilat.