Selamat berpuasa kepada semua yang beragama Islam. Perkara kedua yang menyeronokkan berpuasa di Malaysia adalah kerana makanannya. Pada bulan Ramadhan inilah berbagai jenis makanan yang sukar ditemui dihari biasa, dapat kita beli di bazaar-bazaar. Kalau saya ke bazaar, saya gemar mencuba makanan-makanan baru. Memang kreatif orang Malaysia. Kalau ada cina muslim yang berniaga,lagi saya suka. Dapatlah merasa juadah bangsa mereka. Namun makanan ringkas dan mudah amat diperlukan dibulan puasa terutama untuk dimakan sewaktu sahur. Salah satu pilihan yang ada adalah makanan segera seperti makanan dalam tin. Waktu sahur, tekak memang cerewet sikit. Semuanya macam ada je yang tek kena. Bagi penggemar sambal macam saya, bila-bila masa memang menyelerakan. Sebab tu dibulan puasa mesti menyediakan sardin dalam tin sebagai persediaan untuk Resepi Sambal Sardin Sahur (3S).




Bahan-bahan untuk Resepi Sambal Sardin Sahur.
1 tin Sardin/Mackerel (Besar)
20 tangkai Cili Kering
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia (Sebesar ibu jari)
3 cmb Minyak Masak.
1 cmt Garam
2 cmb Gula
1 kpg Asam Gelugur / Cuka / Asam Jawa



Cara Membuat Sambal Sardin Sahur
  1. Gunting cili kering dan buang bijinya. Rendam hingga kembang dan kisar halus dengan sedikit air.
  2. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis. Halia di mayang halus.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang, bawang putih dan halia hingga layu.
  4. Masukkan pula cili kisar dan tumis sehingga cili garing.
  5. Masukkan ikan sardin bersama sosnya sekali. Kacau rata.
  6. Perasakan dengan garam, gula dan asam.
  7. Biarkan sambal pekat sedikit dan bolehlah dihidang.



Tip Masakan Komersial.
  1. Sambal sardin yang sedap banyak bergantung kepada jenama sardin dalam tin yang anda gunakan. Saya rasa, paling sedap dan paling mahal adalah cap Ayam. Kemudian adalah jenama Botan yang murah sedikit. Jenama-jenama seperti ini mempunyai sos tomato yang pekat dengan rasa ikan sardin yang kuat. Jenama lain yang lebih murah selalunya mempunyai sos yang cair. Ada juga yang mengandungi minyak yang banyak.
  2. Setelah ikan sardin dimasukkan, kita tak boleh kacau sambal terlalu kuat kerana ikan sardin sangat rapuh dan mudah pecah. Terdapat jenama ikan didalam tin yang terlalu rapuh isinya.
  3. Sebelum membuat sambal, ada baiknya kita perhatikan dahulu sos ikan sardin dalam tin. Jika sosnya cair, ada baiknya dilebihkan cili dan bawang agar sambal yang kita masak lebih pekat. Jika sosnya cair, kita perlu masak lebih lama.
  4. Ada juga orang yang gemar menggoreng dahulu ikan sardin dalam minyak sedikit. Ini untuk menjadikan ikan sardin lebih garing dan tak mudah pecah. Saya kurang menggemari cara ini kerana selalunya ikan sardin akan menjadi keras dan warna ikan juga tak begitu cantik kerana sos tomato yang menyelaputi ikan sardin akan hangus.
  5. Sambal sardin juga sering digunakan sebagai inti untuk beberapa kuih dan roti seperti karipap, pau goreng, roti bun dan sebagainya. Untuk inti, sambal sardin perlu dimasak lebih lama dan ikannya perlu dihancurkan. Inti perlu kering bergantung kepada penggunaan.
  6. Selalunya kita dapati inti sardin dalam karipap langsung tak nampak sardinnya. Hanya dipenuhi bawang sahaja. Maklumlah harga sardin sekarang dah mahal. Sebenarnya kita tak perlu menggunakan banyak sardin untuk inti. Cukup dengan menggunakan 1 tin sardin yang kuat rasanya. Selebihnya hanya bawang dan cili kering. Saya kongsikan dibawah ini.
  7. Untuk inti sardin, saya hanya menggunakan 1 tin sardin, 1L cili boh, 2kg bawang besar, 1 labu bawang putih, sedikit halia, garam, gula dan asam sahaja. Bagaimanapun, bawang perlu dihiris nipis dan ditumis sehingga betul-betul layu. Sambal sardin juga dimasak sangat lama untuk mengeringkannya. Ini mencukupi untuk menjadikan bawang tadi hancur tanpa rupa bawang lagi. Dengan demikian, pelanggan tak dapat membezakan yang mana bawang, yang mana ikan sardin. Pelanggan pasti gembira kerana mendapati inti anda banyak ikannya dan tak nampak bawang.