Jarang saya jumpa orang yang rajin membuat sambal kacang kecuali untuk perayaan. Tak tahu la apa masalahnya. Bila wujud orang begini, sudah tentu ada orang yang bijak pandai akan menjadikannya suatu sumber pendapatan. Lihatlah sekarang, berbagai jenis sambal kacang segera yang ada di pasaran dan salah satunya Sambal Kacang keluaran ADABI yang di gandingkan dengan ayam untuk menjadikan ia lebih unik. 

Kalau saya pulak, bila buat sambal kacang, saya akan buat lebih sikit supaya boleh saya sejukbekukan dalam bekas-bekas kecil. Bila-bila masa kalau nak makan sate atau rojak mamak atau teringin ketupat, saya akan panaskan satu bekas yang cukup untuk saya sekeluarga. Selalunya kita dapat bezakan yang mana kuah sate, yang mana kuah rojak hanya dengan merasa sambal kacangnya sahaja. Apa perbezaannya? Nanti kita cerita..



Bahan-bahan untuk Sambal Kacang Asas
2 cwn Kacang Tanah
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
20 tangkai Cili Kering
½ cwn Minyak Masak
1 btg Serai
1 kpg Asam Gelugur
Garam dan Gula
Air



Cara membuat Sambal Kacang Asas
  1. Kacang tanah digoreng salam minyak yang banyak dengan api perlahan. Tuskan dan ketepikan.
  2. Kisar cili kering yang telah direndam, bawang besar dan bawang putih sehingga halus dengan sedikit air.
  3. Panaskan minyak masak untuk menumis.
  4. Ketuk serai dan tumiskan. Tumiskan sekali bahan yang dikisar sehingga pecah minyak.
  5. Kisar kacang tanah goreng dengan 4 cawan air sehingga sedikit hancur. Masukkan dalam tumisan.
  6. Perasakan dengan garam dan gula serta masukkan asam gelugur.
  7. Masak dengan api perlahan sehingga sambal kacang menjadi sedikit pekat dan minyak mula timbul dipermukaannya. Jangan lupa untuk kacau sekali sekala untuk mengelakkan hangus. Tambahkan air jika terlalu pekat.
  8. Perasakan sekali lagi dengan garam dan gula sebelum dihidangkan. 



Tip Masakan Komersial
  1. Sambal kacang boleh dikatakan masakan tradisi yang penting bagi orang Melayu. Selalunya orang melayu masak mana ada sukatan yang tepat. Semuanya main agak-agak. Namun, perbezaan kuantiti bahan ini tidak mengganggu resepi sambal kacang ni. Cubalah supaya tidak terlalu bergantung kepada resepi. Selagi anda pernah merasa bagaimana sambal kacang yang sedap, anda boleh ubahsuai sendiri kuantiti bahan.
  2. Bahan-bahan untuk sambal kacang sebenarnya sama je dengan sambal tumis. Bezanya cuma kacang. Jadi sepatutnya tiada masalah untuk menghidangkan sambal kacang bila-bila masa dirumah. Bahan-bahan tambahan lain memang akan menyedapkan sambal kacang seperti lengkuas dan lain-lain herba. Yang penting, bahan asas mesti ada.
  3. Kacang perlu digoreng dengan api perlahan dengan suhu minyak yang sederhana supaya ia tidak hangus dan masak dan rangup sehingga kedalamnya. Boleh juga disangai didalam kuali tanpa minyak atau di bakar dalam oven namun, goreng paling mudah dan cepat.
  4. Kacang mengandungi minyak. Oleh itu apabila diangkat dari kuali, minyaknya akan terus memasak kacang sehingga hangus. Dalam ayat mudahnya, kacang ni lambat sejuk. Paling baik adalah, angkat kacang sebelum ia berubah warna menjadi sedikit gelap. Sementara menyejuk, kacang akan terus memasak. Jika anda angkat kacang setelah warnanya sedikit gelap, lebih baik di siramkan dengan air supaya ia berhenti memasak serta merta. 
  5. Jangan gunakan penapis plastik untuk tuskan kacang goreng kerana kacang yang mengandungi minyak, lambat turun suhunya. Ia akan mencairkan plastik.
  6. Sambal kacang akan menjadi pekat jika menggunakan lebih banyak kacang tanah. Ramai peniaga gemar menjimatkan kos dengan mengurangkan penggunaan kacang tanah. Hasilnya sambal kacang akan cair. Kemudian mereka menambah biskut marrie kisar untuk mendapatkan sambal yang pekat semula. Tepulanglah kepada anda. Bagi saya tak ada beza sangat harga kacang tanah dengan biskut marrie sekarang ni. Baik tambah kacang je. Kalau takut sangat rugi, gunakan je tepung jagung. Rasa sambal kacang pun tak berubah.
  7. Sambal kacang mamak selalunya sedikit manis. Warnanya juga lebih merah. Mungkin kerana mereka menggunakan serbuk cili. Atau mungkin juga perwarna merah sebab sambal mereka tak pedas pun.
  8. Peniaga sate pula akan menambahkan air lebihan perapan sate kedalam sambal kacang mereka. Air perapan ini mengandungi gula, rempah-rempah dan jus-jus ayam atau daging. Jadi kuah sate mereka lebih istimewa kerana ada rasa rempah dan ada rasa ayam dan danging. Bagi peniaga pula, yang penting mereka dapat menjimatkan pembaziran gula dan garam. Mahal betul gula sekarang ni!!!
  9. Entah kali keberapa ingin saya katakan, keseimbangan garam dan gula sangat penting untuk masakan seperti sambal kacang ni. Saya sukakan sambal yang sedikit manis dan pedas. Kalau boleh, lebihkan cili boh dua kali ganda dan tumiskan cili boh sahaja dengan minyak sehingga garing untuk dihidangkan dengan sambal kacang. Jadi kalau sesiapa nak pedas lagi, boleh tambahkan sendiri cili kedalam sambal kacang.