Sambal belacan, budu , cencalok, papadom, kicap, sos atau ais kosong antara hidangan kecil atau penambah selera yang berkos kecil. Usahawan makanan tak perlu berkira sangat dengan hidangan seperti ini. Memang, walaupun kecil, ia masih lagi mempunyai kos tetapi kalau setakat secubit sambal belacan takkan nak ambil kira juga. Anggap sahaja ia sebagai hadiah kepada pelanggan. Banyak lagi hidangan lain yang memberikan anda keuntungan. Secubit sambal belacan mungkin mempunyai kos sebanyak 3 sen. Adakah anda akan kenakan bayaran sebanyak 5 sen? Tak mungkin. Mesti anda akan kata, leceh sangat nak kira. Jadi paling kurang pun anda kira bundarkan menjadi dua puluh sen. Ini bermakna anda mengambil keuntungan berlebihan dan mengambil keuntungan berlebihan adalah haram. Dalam perniagaan makanan, agak sukar menentukan kos sebenar dengan tepat. Jadi hidangan-hidangan kecil seperti ini dapat menampung kekurangan ini. Jika pelanggan membayar kurang, mungkin anda boleh halalkan tetapi jika pelanggan terlebih bayar, anda yang menyesal kerana perlu menanggungnya nanti. Jadi lebih baik terkurang jangan terlebih. Lagipun, pelanggan akan datang dan datang lagi.


Bahan-bahan untuk Sambal Belacan Kampung
4 bj Cili Merah Segar
5 bj Cili Padi
15g Belacan
2 bj Limau Kasturi
Garam dan Gula jika perlu


Cara membuat Sambal Belacan Kampung
  1. Bakar belacan sehingga naik baunya.
  2. Patahkan cili merah dan tumbuk bersama cili padi sehingga hancur.
  3. Perasakan dengan garam dan gula
  4. Hidangkan didalam piring dan perahkan jus limau kasturi. Sebaiknya dihidang bersama ulam-ulaman.


Tip Masakan Komersial
  1. Jika dilihat dari bahan-bahan yang digunakan, penentu kelazatan cambal belacan banyak terletak kepada rasa belacan itu sendiri. Jadi carilah belacan yang betul-betul berkualiti dan sedap.
  2. Tujuan membakar belacan adalah untuk menaikkan aroma belacan. Seperti yang kita tahu, aroma adalah faktor pertama yang membangkitkan selera kemudian barulah rupa dan rasa. Jika selsema, selalunya kita kurang berselera untuk makan.
  3. Sambal belacan ini adalah yang paling ringkas dan mudah seperti yang arwah ibu mertua saya sediakan. Biasanya dia tidak menambahkan garam dan gula lagi kerana belacan sudah sedia masin dan gula hanya mengurangkan kepedasan sahaja. Jadi dia lebih selesa dengan cili belacan dan asam sahaja. Boleh dikatakan ini adalah sambal belacan tradisional melayu.
  4. Menggunakan asam yang berlainan juga memberikan rasa yang unik. Saya menggunakan hampir apa sahaja asam yang saya ada. Antara yang terbaik adalah mangga, kemang, belimbing buluh. Untuk gambar diatas, saya menggunakan buah tomato kerana hanya itu yang saya ada.
  5. Restoran masakan thai pasti menyediakan sambal belacan tetapi sambal belacan untuk kegunaan komersial jauh lebih cair dan sangat menjimatkan. Jadi dengan bahan-bahan diatas, kita akan mendapat sambal belacan yang banyak dengan menambahkan air dan dikisar. Sudah pastilah kita perlu menambahkan garam dan gula. Lagi satu, mereka gemar mengisar limau kasturi bersama-kulit-kulitnya. Hanya kulit limau kasturi yang sesuai dan bukannya kulit limau nipis dan kulit limau-limau yang lain