Resepi Sambal Balado Nasi Padang
Posted by Norasikin Basri on Friday, October 29, 2010
Under: Sembang-sembang dan tip masakan

Jadi biasanya jika saya nak makan ayam, saya akan ke restoran mamak. Boleh mintak nasi banyak-banyak tanpa tambahan harga. Tapi orang melayu macam saya ni mana larat nak makan kari je. Teringin la pulak makan masak lemak ke, sup je. Restoran melayu di tempat saya yang dikira berbaloi untuk dikunjungi, rasanya macam tak ada. Oleh itu saya akan memilih restoran nasi padang je. Dan hidangan kegemaran saya selain dari masak lemak cili padi adalah sambal balado yang biasanya digaulkan dengan tempe, tauhu, ikan, paru-paru, kentang dan lain-lain.

5 bj lada merah
2 ulas bawang putih
1 bj bawang besar
1/2 cawan minyak masak
1 cmt Garam
1 cmt Gula
Asam jawa atau cuka
Cara-cara membuatnya
- Tumbuk lada merah, bawang besar dan bawang putih menggunakan lesung batu atau food processor.
- Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk.
- Masukkan garam, gula dan asam jawa. Masak sehingga semuanya larut.
- Sedia untuk dituang keatas ikan, paru-paru atau digaul dengan tauhu, tempe atau kentang.

Tip masakan penting
- Lada merah tidak boleh digoreng terlalu lama kerana ia akan berubah warna. Jadi pastikan api tidak terlalu panas. Biasanya masakan perlu disiapkan dalam 30 saat sahaja. Bagaimanapun air asam jawa dapat membantu mengurangkan kepanasan dan mengelakkan lada merah bertukar warna dengan lebih cepat. Tidak perlu sehingga masak atau garing kerana semua bahan yang digunakan memang boleh dimakan segar.
- Jangan menggunakan pengisar atau blender kerana ia memerlukan air yang banyak untuk mengisar. Kita tak akan dapat mengeringkan airnya tanpa lada berubah warna. Guna lesung batu paling baik kerana hentakan lesung batu akan mengeluarkan seluruh rasa masakan berbanding food processor yang menggunakan teknik menghiris makanan dengan laju sehingga hancur.
- Sambal balado banyak membantu dalam perniagaan restoran nasi padang kerana ia cepat disediakan dan boleh memvariasikan hidangan. Hanya perlu menggoreng tauhu, kentang, tempe, ikan dan sebagainya untuk digaul dengan sambal balado ini sahaja. Saya paling menggemari ikan keli atau orang Indonesia memanggilnya dengan nama lele balado.
- Untuk perniagaan, biasanya sambal balado disediakan dalam kuantiti yang banyak tetapi tidak digaulkan semuanya. Contohnya, jika anda ingin membuat ikan keli balado, goreng ikan keli dengan garam dan kunyit kira-kira 10 ekor sahaja dan di tuangkan sedikit sambal balado diatasnya. Bila ikan habis dijual atau tinggal sedikit goreng lagi beberapa ekor untuk digaul dengan sambal balado lagi. Dengan cara ini, risiko ikan keli tak habis dijual sangat kecil. Begitu juga dengan tauhu, kentang, tempe dan sebagainya. Anda tidak akan sentiasa mendapat hidangan yang mencukupi, segar dan panas.
Gambar-gambar diatas adalah gambar restoran nasi padang yang sering saya kunjungi. Anda boleh perhatikan, hidangan ditingkat atas semuanya hidangan sambal balado. Rasa-rasanya hampir 10 hidangan sambal balado hinggakan bebola ikan dan sosej pun mereka baladokan. Teknik ini akan memeriahkan hidangan dan membuatkan restoran sentiasa nampak banyak jenis hidangan. Tengok saja mamat yang tengah pilih lauk tu. terpusing-pusing tak tau nak makan apa. Kenapa restoran masakan melayu tak buat macam ni ye? Orang melayu pun ada hidangan sambal juga macam ayam masak merah tu.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi "sambal balado" "nasi padang" ikan udang paru-paru tempe tauhu kentang sambal ikan keli
blog comments powered by Disqus


