Ada simpan lagi air gula semalam? Kan saya dah pesan. Simpan sikit air gula dalam peti ais. Bila-bila masa nak guna, beberapa minit je boleh sediakan dessert. Mana la tau tiba-tiba datang tetamu, mak mertua ke. Sekurang-kurangnya ringan kerja yang perlu dibuat. Mana nak masak lagi. Nak cuci toilet lagi. Nanti tak pasal-pasal, tetamu tak dilayan. Dengan air gula dalam peti ais, dapat la buat dessert yang menyamankan. Puteri mandi ke, puding ke, Bubur Cha-cha ke, karamel ke ataupun paling mudah dan cepat, sagu gula melaka macam resepi dibawah ni. Kalau tak ada air gula, kena la buat dulu. Kalau air gula dan nak tamat tempoh, gunakan untuk buat air. Kalau air gula merah boleh guna untuk buat air mata kucing atau kelapa laut. Kalau rajin buatlah cendol.


Bahan-bahan untuk Sagu Gula Melaka
100g Sagu Biji
1L Air
1 btg Gula Melaka
200g Santan Pekat


Cara membuat Sagu Gula Melaka
  1. Rendam sagu sebentar dalam air. Cuci bersih, tuskan dan rebus menggunakan air yang banyak.
  2. Setelah semua sagu menjadi jernih, tuskan dan masukkan dalam mangkuk dessert. Sejukkan dalam peti ais.
  3. Gula melaka dipotong kecil dan dimasak dengan setengah liter air sehingga larut semuanya. Tapis dan sejukkan.
  4. Untuk menghidang, tuangkan air gula dan santan pekat diatas sagu. Makan sewaktu masih dingin.


Tip Masakan Berguna
  1. Jika mengikut aturan memasak sebenar yang saya pelajari, sagu perlu dimasak sampai jernih dimana tiada bintik-bintik putih lagi yang tertinggal. Jika masih ada, ia dianggap gagal. Memang leceh. Tapi kalau anda guna untuk makan sendiri, tak de salahnya jika masih ada bintik putih tu asalkan sagunya sudah lembut.
  2. Jika anda bilas sagu dengan air sejuk setelah masak dan dituskan, anda akan dapat sagu yang kurang melekit dan mudah dipotong menggunakan sudu. Lebih mudah dimakan. Tak de la sagunya terlalu liat sehinggakan nak sudu pun tak boleh. Kalau biarkan ia terus berendam dalam air sejuk, anda akan mendapat sagu yang berderai sebiji-sebiji. Kalau anda gemarkan begitu pun boleh juga cuma tak berapa cantik untuk dihidangkan.
  3. Gula melaka tu kalau terlalu gelap, anda boleh campurkan dengan gula pasir. Usah risaukan sukatannya kerana anda boleh hadkan kuantiti yang akan dituang keatas sagu. Terpulang kepada berapa manis yang anda mahu. Kalau buat pekat labih baik. Boleh dicairkan sewaktu menghidang nanti.
  4. Santan pekat akan kelihatan lebih cantik untuk dihidang jika dipekatkan dengan tepung beras. Hanya tambahkan 1 cmb tepung beras dan masak dengan api perlahan sehingga pekat. Kalau santan cair, apabila dituang keatas sagu, semuanya akan mengalir kebawah. Kalau pekat, anda akan dapat santan yang meleleh sekeliling sagu. Bagaimanapun ia bergantung kepada bentuk sagu yang akan anda hidang. Kalau setakat sagu yang rata sahaja didalam mangkuk, tak perlu la susah payah memekatkan santan. Anda boleh menambahkan garam dalam santan jika suka.