Mana-mana bazaar Ramadhan di negara kita,mesti ada roti john. Bukan satu gerai, bukan 2 gerai. Roti john memang mudah disediakan. Memang patut ramai yang mengusahakannya. Bahan utamanya roti dan telur je. Namun harga jualannya memang tinggi. Kat tempat saya, kalau rotinya panjang melebihi 6 inci, harganya mencecah RM5. Dulu ada juga yang menyelitkan salad dan timun dicelahnya. Sekarang,kebanyakkannya dah tak de. Ayam atau daging pun hampir tak kelihatan. Hanya dipenuhi telur yang nipis. Sos dan mayonisnya juga menggunakan yang paling tak sedap. Jadi, dengan bermodalkan wang bernilai sama dengan sebuku roti john, saya usahakan sendiri untuk berbuka puasa sepuasnya hari ini dengan roti john mudah dan sedap ni.





Bahan-bahan untuk Roti John Bazaar
1 buku Roti Sandwich
200g Daging Cincang
4 bj Telur A
½ bj Bawang Besar
1 tangkai Daun Saderi
2 cmb Sos Ikan
½  cmt Lada Hitam
½ cmt Garam
Sedikit minyak masak untuk menggoreng
Sedikit Timun, Tomato dan Daun Salad jika suka.
Sos cili dan mayonis




Cara membuat Roti John Bazaar
  1. Cincang halus bawang besar dan daun saderi.
  2. Campurkan telur, daging cincang, bawang dan daun saderi dalam mangkuk dan kacau sebati.
  3. Perasakan dengan sos ikan, garam dan lada hitam.
  4. Panaskan kuali leper yang disapukan dengan sedikit minyak masak.
  5. Sapukan sesudu atau dua adunan telur keatas roti sandwich hingga rata keseluruhannya.
  6. Gorengkan permukaan roti yang disapu adunan telur sehingga keperangan.
  7. Angkat dan hidangkan bersama sos cili dan mayonis serta sayur-sayuran jika suka.



Tip Masakan Komersial
  1. Memang mudah bahan-bahan untuk roti john. Biasanya orang gemar membeli roti john di gerai kerana rasanya tak sama seperti yang dibuat di rumah. Sebenarnya rasa itu hanyalah seasoning yang mereka gunakan. Saya hanya menggunakan sos ikan dan lada hitam sahaja. Anda boleh gunakan segala seasoning yang anda suka seperti maggi seasoning, serbuk pati ayam, Tumix, Maggi Secukup Rasa, worchestershire sauce dan sebagainya. Boleh juga menggunakan sos tiram, minyak bijan dan lain-lain. Gabungan bahan inilah yang membuatkan roti john di gerai lebih unik.
  2. Selain dari daun saderi,anda boleh menambah berbagai bahan lagi dalam adunan telur mengikut citarasa anda. Kalau ada budget lebih, boleh tambahkan cili merah, bawang putih, carrot dan banyak lagi yang mungkin terlintas difikiran anda. Dengan bahan yang lebih banyak, anda cuma perlu menambahkan lebih banyak telur untuk seimbangkan kepekatan adunan.
  3. Di bazaar ramadhan, peniaga biasanya mencurahkan adunan telur diatas kuali leper kemudian barulah ditekapkan dengan roti. Cara ini digunakan kerana adunan telur mereka sangat cair. Bahan lain terutamanya daging lembu atau ayam terpaksa dikurangkan hingga hampir tidak kelihatan untuk mengurangkan kos. Jadi hanya telur dan seasoning sahaja yang mereka utamakan. Namun harganya tetap tinggi.
  4. Bahan di atas cukup untuk disapukan ke atas 1 buku roti sandwich dan hasilnya seperti gambar dalam artikel ini. Ketara sungguh isinya. Kalau dibandingkan dengan yang dijual digerai, saya rasa mereka langsung tak menambahkan ayam atau daging dalam roti john mereka.
  5. Jika suka, anda boleh menggorengkan bahagian bawah permukaan roti. Saya suka cara ini kerana bahagian bawahnya akan garing. 
  6. Kaedah roti john ini sebenarnya sangat sesuai untuk burger. Tak payah susah-susah nak bentuk daging. Tak perlu risau jika daging pecah apabila digoreng. Tepek je atas permukaan roti burger. Anak anda tetap akan panggil ia burger. Paling menjimatkan berbanding membeli daging burger di pasaran.