Setiap kali hujung tahun, isu banjir sentiasa memenuhi ruang berita di mana-mana media. Dari dulu sampai sekarang memang tak habis-habis. Semoga mangsa banjir seluruh negara, tabah menghadapi ujianNya. Mari kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan negara kita. Teringat pulak pengalaman saya terperangkap dalam banjir pada tahun 2011. 3 hari tanpa elektrik, air dan telefon. Bekalan makanan dan petrol juga meruncing.

Untuk penerima resepi ini melalui email : Dah tengok iklan Maybank oleh saya? Lawati blog saya sekarang.

Di musim hujan ni pula, anak saya tiba-tiba ketagih dengan roti banjir atau roti mandi. Memang saya yang memperkenalkan pada dia awal disember lalu. Sejak tu, kalau makan roti canai, mesti nak banjir. Satu lagi kegemaran dia dI restoran mamak adalah rojak mamak. Dan kalau boleh, rojak mamak pun mesti banjir. Baru nikmat. Dalam rojak mamak, cuma 2 benda yang penting. Pertama adalah kuah rojak atau sambal kacang. Anda boleh rujuk Resepi Sambal Kacang apabila anda klik di sini. Dan kedua adalah, jemput-jemput rojak atau tepung rojak. Ini yang paling saya suka dan saya akan terangkan resepi dan cara membuatnya dibawah. Rojak mamak juga menggunakan mi kuning. Mi kuning boleh dibeli dengan mudah di seluruh negara. Namun jika anda ingin membuat mi kuning anda sendiri, bolehlah rujuk Resepi Mi Kuning Komersial dengan cara mengklik di sini.



Bahan-bahan untuk Resepi Rojak Mamak
150g Tepung Gandum
1 cmt Baking Powder
20g Bawang Besar
1 cmt Serbuk Kunyit
1 cmt Garam
200g Air
Minyak masak untuk menggoreng
Bahan-bahan lain
Sambal Kacang
Mi Kuning (dicelur)
Telur (direbus masak sepenuhnya)
Tauhu keras, digoreng
Cili hijau segar
Timun
Salad



Cara membuat Rojak Mamak
  1. Campurkan tepung gandum, baking powder, serbuk kunyit dan garam serta kacau sebati.
  2. Kisar bawang besar bersama 200g air tadi sehingga halus.
  3. Gaulkan bahan kisar dan campuran tepung sehingga sebati untuk mendapat batter yang pekat.
  4. Panaskan minyak masak yang banyak dengan api sederhana sehingga 220°C.
  5. Sudukan adunan sejemput-demi sejemput dan gorengkan sehingga garing. Jangan masukkan banyak sekaligus untuk memberi ruang jemput-jemput mengembang.
  6. Setelah masak, angkat dan tuskan.
  7. Untuk menghidang, masukkan mi yang dicelur kedalam pinggan, taburkan tauhu goreng dan jemput-jemput yang dipotong, timun dipotong kasar memanjang, cili hijau dipotong bulat tebal, dan daun salad hiris. Akhir sekali susun telur rebus yang telah dikupas dan dibelah sebelum dituangkan sambal kacang.



Tip Masakan Komersial.
  1. Resepi jemput-jemput rojak diatas adalah asas sahaja. Saya akan terangkan jemput-jemput lain yang boleh anda hasilkan dari resepi asas tadi. Seperti yang kita lihat di kedai mamak, banyak jenis jemput-jemput berbagai warna dan rasa. Resepi komersial membolehkan kita menggunakan satu resepi asas untuk menghasilkan banyak jenis hidangan dan untuk kali ini, ia merujuk kepada berbagai jenis jemput-jemput.
  2. Ada dua jenis jemput-jemput atau tepung rojak yang saya ketahui. Yang pertama adalah jenis keras dan yang kedua adalah jenis lembut. Jenis keras menggunakan sedikit air untuk adunannya manakala jenis lembut, air dilebihkan menyebabkan adunannya lebih keras. Resepi diatas adalah umum iaitu tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.
  3. Saya lebih menggemari jemput-jemput keras kerana ia lebih liat dan terasa apabila dikunyah. Jemput-jemput yang lembut pula, ia mengembang lebih besar dan akan menyerap lebih banyak minyak. Ia juga akan menyerap kuah kacang dengan banyaknya.
  4. Dalam resepi diatas, hanya bawang sahaja digunakan sebagai perasa dalam jemput-jemput dan tiada jemput-jemput seringkas itu di kedai mamak. Mereka sekurang-kurangnya menambah sedikit ikan bilis, udang pepai atau udang kering kedalam jemput-jemput. Bahan-bahan ini menjadikan jemput-jemput lebih sedap. Anda hanya perlu rendam kisarkan sahaja bahan-bahan ini bersama bawang besar tadi.
  5. Jemput-jemput lain yang boleh anda hasilkan adalah dengan menambahkan sedikit bahan lain yang menjadi kegemaran mamak seperti serbuk kari, serbuk cili, daun kari dan sebagainya. Ini akan menghasilkan jemput-jemput yang berwarna merah.
  6. Ada juga jemput-jemput yang berwarna hijau. Untuk jemput-jemput ini, mereka menggunakan cili hijau sebagai perasa didalam jemput-jemput. Cili hijau ini dikisar bersama bawang. Untuk menjadikan warna hijau lebih dramatic, sedikit pewarna digunakan.
  7. Kadang-kadang, ada juga restoran mamak yang menggunakan kentang rebus dalam rojak mamak. Tak banyak restoran mamak yang menyediakan kentang ini sekarang. Mungkin kerana kos yang semakin meningkat. Namun jika anda membuat rojak mamak dirumah, sila hidangkan kentang ini. Caranya mudah saja. Rebus kentang yang kecil sehingga empuk. Kupaskan kulitnya. Kemudian gaulkan dengan adunan jemput-jemput yang cair dan gorengkan sehingga garing. Apabila menghidang, barulah dipotong seperti jemput-jemput tadi.
  8. Sebenarnya, segala ulam-ulaman sesuai untuk rojak tetapi tak mungkin la menjadi rojak mamak lagi. Cubalah tambahkan lebih sayur-sayuran seperti kangkung rebus, sengkuang, tomato dan sebagainya. Sebab ia bercampur-aduk seperti itulah baru dinamakan rojak. Harap-harap tak mabuk bila makan.
  9. Suatu ketika dahulu, mamak menggunakan yis untuk membuat jemput-jemput. Kini, menggunakan serbuk penaik lebih mudah. Kelebihannya pula, jemput-jemput boleh terus digoreng setelah dibancuh dan kulitnya lebih rangup..Bagaimanapun, jika menggunakan serbuk penaik, jemput-jemput lebih banyak menyerap minyak.