Apa yang saya faham, risotto bolehlah disamakan dengan nasi berperisa terlebih air. Pendek kata, nasi lembik yang mempunyai rasa masakan barat yang tertentu. Sama seperti nasi berperisa kita yang berbagai jenis, risotto juga boleh dipelbagaikan dengan menambah berbagai bahan berasaskan karbohidrat seperti kentang, labu dan sebagainya. Ada juga yang menambahkan berbagai bijirin dan kekacang.


Senang cerita, risotto sesuai untuk segala jenis bahan termasuk sayur-sayuran, protin juga cendawan. Bezanya cuma sedap dengan tidak je. Cubalah berbagai kombinasi untuk menghasilkan rasa risotto yang meletup dan sesuai untuk konsep restoran anda.



Bahan-bahan untuk Resepi Risotto Ayam
200g Isi Ayam
200g Beras
½ bj Bawang Besar
3 bj Tomato
2 cmb Minyak Zaitun
1 cmt Mentega
Secubit Mix Herbs
Secubit Serbuk Lada Hitam
50g Keju Parmesan
3 cwn Stok (Ayam @ Daging @ Sayuran)



Cara membuat Risotto Ayam
  1. Potong isi ayam sebesar ibu jari. Beras dibersihkan dan ditus.
  2. Panaskan minyak zaitun dan goreng isi ayam dengan api besar sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
  3. Dadu bawang besar dan tumiskan dengan minyak gorengan ayam tadi sehingga layu. Tambah lagi minyak zaitun jika tak mencukupi.
  4. Masukkan beras dan gorengkan beras sebentar hingga air kering.
  5. Masukkan tomato yang didadu kecil. Masak hingga tomato mulai hancur.
  6. Masukkan stok dan ayam. Biarkan mendidih. Apabila mendidih, kecilkan api, tutup periuk dan biarkan merenih. Sekali-sekala kacau supaya dasarnya tidak berkerak. Tambahkan air jika perlu.
  7. Perasakan dengan lada hitam dan mix herbs. Kacau sebati.
  8. Apabila telah menjadi pekat, masukkan keju parmesan dan mentega yang diparut. Kacau lagi hingga keju cair.
  9. Hidangkan sewaktu panas. Hiaskan dengan sedikit keju parmesan parut dan letakkan sedikit mentega diatasnya dan biarkan cair.



Tip Masakan Komersial
  1. Bahan yang paling penting untuk risotto adalah beras. Masyarakat barat biasanya menggunakan beras yang melekit dan berkanji seperti beras jepun. Sebab itulah risotto mereka mempunyai tekstur seperti beras pulut yang lembik. Saya menggunakan beras kurang karbohidrat jadi hasilnya tidaklah melekit seperti risotto sebenar. Bagaimanapun keju yang dimasukkan membantu untuk mendapatkan tekstur hampir serupa.
  2. Satu lagi yang sering digunakan untuk risotto dalam masakan barat adalah wine. Lebih kurang separuh cecair untuk memasak risotto adalah wine. Saya tak pernah merasa wine, jadi saya andaikan risotto mereka mempunyai rasa manis dan masam seperti tapai. Kalau anda inginkan rasa seperti ini, anda boleh tambahkan distilled white vinegar dan sedikit gula. Saya tak mahu nasi saya rasa manis, jadi saya tidak tambahkan gula.
  3. Saya juga menggunakan mix vege dalam risotto saya. Mix vege mengandungi lobak merah, kacang peas dan jagung. Ini dapat menambahkan vitamin dan serat dalam diet saya.  Gunakanlah berbagai jenis bahan dari mana-mana kategori dari protin, karbohidrat dan serat dalam risotto.
  4. Saya menggoreng ayam terlebih dahulu untuk mengelakkan jus ayam keluar dengan banyaknya sewaktu merenih. Jika tidak digoreng dahulu, isi ayam ini akan tawar rasanya. Alang-alang isi ayam ini hilang rasanya, biasanya kalau saya malas, saya akan cincang sahaja isi ayam.
  5. Keju parmesan mempunyai rasa yang sedikit masin. Sebab itulah saya tak menggunakan garam. Lagipun dalam masakan barat, garam diletakkan diatas meja dan individu itu sendiri yang akan menaburkan garam mengikut selera. Inilah yang saya maksudkan, selera setiap orang adalah berbeza. Ada orang suka yang masin. Bagi saya, masin dari keju dan manis dari sayuran dan stok dah mencukupi.
  6. Herba masakan barat yang digunakan dalam risotto juga berbagai jenis untuk menghasilkan rasa yang berbeza. Seperti yang saya katakan sebelum ini, herba barat lembut sahaja rasanya. Jadi kalau tekak melayu susah sikit nak membezakannya. Antara herba yang digunakan adalah oregano, thyme, bay leaf dan rosmary. Kalau ada yang segar memang sangat bagus. Kalau tak ada, yang kering pun boleh. Kalau malas, gunakan mix herbs seperti saya. Tak payah fikir panjang.