Sebelum ini saya pernah memaparkan Resepi Rendang Ayam Kampung Ringkas yang menggunakan serai sebagai perencah utama yang memberikan rasa rendang dalam masakan. Kerisik juga mempunyai fungsi yang sama namun dengan rasa rendang yang berbeza. Inilah diantara rasa rendang yang saya suka. Jika sebelum ini, anda menggunakan bahan yang berbagai jenis untuk rendang. Jika tak ada satu bahan, berat hati rasanya nak masak. Sekarang ni, saya harap anda boleh memasak berbagai jenis rendang bergantung kepada bahan apa yang ada didapur.


Untuk resepi Rendang Ayam Kerisik ni, saya tak menggunakan santan lagi kerana segala rasa yang saya perlukan dah terdapat dalam kerisik. Ini menjadikan resepi ini lebih senang, cepat dimasak dan lebih menjimatkan. Kerisik juga lebih senang disimpan dan tahan lama berbanding santan. Nanti dalam tip masakan komersial dibawah, saya akan ceritakan cara membuat kerisik dan bagaimana cara menyimpannya agar lebih mudah untuk anda gunakan bila-bila masa diperlukan.



Bahan-bahan Resepi Rendang Ayam Kerisik
½ ekor Ayam
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
10 tangkai Cili Kering
1 cmb Kerisik
1cmb Serbuk Jintan Manis
1 cmb Serbuk Ketumbar
1 cmt Serbuk Kunyit
¼ cwn Minyak Masak
1 btg Kulit Kayu Manis
2 kuntum Bunga Cengkih
2 bj Buah Pelaga
1 kuntum Bunga Lawang
2 cmt Garam
2 cmb Gula Pasir
1 keping Asam Gelugur



Cara memasak Resepi Rendang Ayam Kerisik
  1. Potong dan bersihkan ayam. Sebaiknya dipotong kecil supaya lebih cepat masak.
  2. Bawang putih, bawang besar, halia dan cili kering dikisar halus bersama sedikit air hingga menjadi pes yang cair. Gaulkan serbuk kunyit, serbuk ketumbar dan serbuk jintan bersama.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan rempah 4 sekawan hingga naik bau.
  4. Masukkan bahan kisar dan masak lagi sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan ayam, dan gaul rata hingga isi ayam berubah warna menjadi sedikit putih .
  6. Masukkan kerisik dan perasakan dengan garam, gula dan asam.
  7. Kecilkan api dan tutup kuali untuk ayam menjadi empuk 10 hingga 15 minit.
  8. Setelah merenih secukupnya, gaul rendang, rasa dan hidangkan.



Tip Masakan Komersial
  1. Banyak hidangan yang saya anggap termasuk dalam kategori rendang. Hidangan ini mempunyai ciri-ciri yang serupa seperti menggunakan rempah dan herba yang mempunyai rasa dan bau yang kuat serta rupanya yang kering atau mempunyai kuah yang pekat. 
  2. Apabila ayam dimasak, ia akan mengeluarkan air yang banyak. Air ini akan memberikan rasa kepada kuah masakannya. Namun ia akan menjadikan isi ayam kering dan tawar. Oleh itu apabila ayam dimasukkan, besarkan api agar bahagian luar ayam masak dengan cepat dan dapat mengelakkan lebih banyak air keluar. Bagaimanapun jangan berhenti mengacaunya supaya rempahnya tidak hangus.
  3. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana yang dikatakan pecah minyak. Sebenarnya apabila kita menumis bahan yang berair, seperti pes rempah tadi, bahan ini akan bergaul rata dengan minyak. Lebih lama dia dimasak, air ini akan menjadi kering dan yang tinggal hanyalah minyak. Minyak ini akan menggaringkan bahan rempah menjadikan rupanya seperti bergentel-gentel. Jadi, apabila anda dah nampak minyak mula terbit dari tumisan, ia adalah masa yang baik untuk anda menambahkan ayam.
  4. Kerisik dibuat hanya dengan menggunakan kelapa yang diparut. Kelapa ini disangai atau digoreng tanpa minyak dengan api perlahan sehingga ia berubah warna menjadi coklat. Kemudian ia di tumbuk sehingga keluar minyaknya. Sekarang kerisik telah dikeluarkan secara besar-besaran oleh usahawan kita. Mereka menggoreng kelapa parut sambil mengacau menggunakan motor tanpa henti sehinggalah kelapa menjadi hancur dan keluar minyaknya. Namun, tanpa lesung batu, kerisik ini kasar dan terasa hampas apabila dimasak.
  5. Memang penat membuat kerisik. Dah la kena kacau lama dalam kuali kemudian kena berpeluh pula menumbuk. Satu biji kelapa cuma dapat tiga empat sudu kerisik je. Beli yang segera lebih senang. Cuma perlu penjagaan yang betul untuk mengelakkan minyak menjadi tengik. Kerisik memang tahan lama tanpa peti ais tapi kemungkinan menjadi tengik tak dapat dielakkan. Saya biasanya menyimpan dalam peti ais namun minyak apabila disejukkan, ia akan menjadi beku dan keras. Menyukarkan apabila ingin digunakan. Oleh itu, saya akan letakkan kerisik diatas bekas yang lebar seperti dulang supaya ia menjadi nipis. Kemudian barulah saya sejukkan. Setelah sejuk, potong kerisik atau patahkan sahaja seperti mematahkan coklat. Kemudian barulah disimpan dalam bekas kedap udara yang sesuai. Sebelum ia cair semula, sejukkan kembali dalam peti ais. Apabila ingin digunakan, hanya perlu ambil sepotong terus dimasukkan dalam kuali.
  6. Resepi Rendang Ayam Kerisik sebaiknya mempunyai kuah yang sedikit dan pekat. Setelah direnih, air ayam akan keluar menyebabkan ia menjadikan kuahnya lebih banyak. Anda boleh memasak dengan api besar supaya kuahnya cepat menyejat. Kalau anda memang inginkan berkuah, biarkan sahaja. Kalau nak kuah banyak lagi, tambah air je la.