Resepi Rendang Ayam Kampung Ringkas
Posted by Norasikin Basri on Thursday, April 21, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Ada orang kata, tak berbaloi untuk memasak jika hanya 2 orang sahaja tukang makannya. Ada juga yang kata, tak larat nak masak terlalu banyak kerana tukang makannya terlalu ramai. Dan yang paling ramai yang kata tak sempat nak masak kerana sibuk dan penat bekerja. Kalau masakpun sekadar goreng ayam dengan kunyit atau goreng ikan. Nak masak menu lain terasa sangat lecehnya. Nak kena perah kelapa la, nak tumbuk kerisik la, nak kena ada segala macam herba macam daun kunyit, daun limau purut, serai dan macam-macam lagi. Di bawah ni ada resepi rendang ayam kampung yang sangat ringkas dan mudah. Jangan ada alasan lagi masakan melayu rumit dan leceh. Lagi sedikit bahan yang kita gunakan lagi jimat la perbelanjaan dapur kita. Usah risau la kalau masak tak sedap. Bukan orang lain yang nak makan, keluarga kita jugak!
1 ekor ayam kampung dipotong dan dibersihkan
1 inci halia
2 ulas bawang putih
1 bj bawang besar
10 batang serai
10 tangkai lada kering
1 kotak santan (200ml)
1/4 cwn minyak masak
1 cmt jus limau/cuka/asam jawa xtra
2 cmt garam
8 cmb gula
Air untuk merebus.
- Rebus ayam kampung dengan air yang banyak. Biasanya ambil masa melebihi 2 jam untuk empuk. Tambahkan 1/4 cmt soda bikarbonat supaya ayam jadi lebih cepat empuk dalam masa 1 jam. Ketepikan.
- Kisar cili kering dengan 1/2 cwn air sehingga halus. Kalau nak cepat, tak perlu la rebus dulu. Buang sahaja bijinya dan kisar bersama 1 cmb minyak masak.
- Potong serai menjadi kecil supaya mudah dikisar. Kisarkan bawang, halia, bawang putih termasuk serai bersama-sama cili tadi sampai hancur. Kalau perlu, tambah la air supaya panjang umur blender tu.
- Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga wangi dan garing.
- Masukkan ayam yang direbus bersama-sama airnya sekali.
- Tuangkan santan. Jika anda dah mahir dengan garam dan gula bolehlah perasakan sekarang. Kalau tidak, perasakan setelah kering nanti. Jus limau jangan dilupa.
- Biarkan merenih dengan api besar sehingga kering. Pastikan jangan hangus.
- Setelah kering dan minyaknya keluar, bolehlah diangkat dan dihidang.
- Kalau inginkan rendang yang berkuah pekat, setelah rendang kering dan minyaknya keluar, baru ditambahkan 1 cwn air lagi. Biarkan mendidih baru diangkat dan dihidang.
Tip Masakan Berguna
- Kalau dilihat pada bahan-bahannya, tak ada langsung rempah yang saya gunakan. Cuma ada serai sahaja. Tiada rempah tumis, tiada rempah kari, tiada daun limau purut dan lain-lain. Namun begitu rasanya tetap mengancam. Saya dah pastikan, bahan terpenting pada rendang hanyalah serai. Dengan garam, gula dan asam yang seimbang, serta lemak dari santan menjadikan hidangan ini seperti rendang yang hebat. Tapi tak de la bau wangi dari daun-daun herba tu semua..
- Saya telah cuba mengurangkan masa memasak menjadi 1/4 sahaja dari biasa. Petua melembutkan daging, menghaluskan kisaran cili kering tanpa merebus memang sangat berguna. Selain itu, teknik merebus dahulu sebelum memasak memang menjadikan masakan lebih cepat disediakan kerana merebus menggunakan air yang banyak akan cepat empuk. Sama teknik yang digunakan untuk resepi karipap komersial. Kalau guna ayam muda bandar tu tak payah la rebus dulu. Tak sampai 10 minit dah masak dah.
- Di tempat saya ada dijual ayam tua tapi ingin saya jelaskan, ayam tua bukanlah bermakna ayam kampung. Ayam tua biasanya dipanggil ayam pencen adalah ayam telur yang dah tak mengeluarkan hasil atau hasilnya tak cukup banyak. Daripada menanggung untuk memberi makanan kepada ayam tua, lebih baik disembellih sahaja. Dari pemerhatian saya, ayam tua lebih keras daripada ayam kampung. Tapi ayam kampung tua lebih keras dari ayam tua. ahh... pening la kepala nak fikir..
- Walaupun saya menggunakan ayam kampung, selepas direbus, banyak jugak lemaknya yang keluar. Lemak macam ni eloklah dibuang. Penat2 balik kerja, terus la rebus ayam tu. Tinggalkan je macam tu. Bila sejuk, masukkan dalam peti ais. Esok balik kerja, baru buang lemak yang membeku tu. Terus buat rendang. Baru la tak rasa sangat beban memasak.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi rendang ayam kampung ringkas mudah cepat jimat sedap lazat berkhasiat
blog comments powered by Disqus



