Resepi Puri | Dosa
Posted by Norasikin Basri on Monday, February 7, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Orang barat mengenalinya dengan nama dosa. Keluarga saya menggelarnya dengan nama lempeng batak. Bezanya lempeng batak tak mengelembung sebegini dan digoreng tanpa minyak atau sedikit minyak sahaja seperti capati. Mari kita mempelajari hidangan india ini yang semakin lama semakin kurang popular walaupun saya perhatikan hidangan ini masih dijual di hampir semua kedai mamak tapi pembelinya semakin kurang. Mungkin kerana mereka mahukan makanan yang lebih berat seperti nasi beriani, dan lain-lain.
500g tepung gandum
1 cmt garam
1/2 cwn minyak masak
190g air
Minyak untuk menggoreng tenggelam
- Campurkan tepung gandum, garam dan minyak masak didalam mangkuk uli dan digaul ramas sehingga tiada ketulan minyak yang kasar.
- Tuangkan air sekaligus dan uli sehingga menjadi doh yang lembut tapi tak melekat di mangkuk dan tangan.
- Bahagikan adunan kepada bebola kecil yang sama besar lebih kurang 50g - 100g setiap satu.
- Canaikan menggunakan penggelek menjadi bulatan nipis setebal 2 atau 3 mm. Kalau terlalu lekat, taburkan sedikit tepung pada alas pencanai.
- Goreng didalam minyak yang panas sehingga mengelembung dan keperangan kedua-dua belah bahagian.
- Angkat dan tuskan. Puri sedia untuk dihidang bersama kari, dhal, ayam madu dan sebagainya.
Tip Masakan Berguna
- Asalnya masyarakat india menggunakan tepung atta untuk membuat puri. Mereka juga menggunakan minyak sapi dan susu segar berbanding minyak masak dan air. Jika difikirkan semula, harga tepung atta dah mahal, minyak sapi lagi mahal, nak tambah susu yang juga mahal, memang susah nak jual. Malah tepung atta juga lebih padat dan berat menyebabkan resepi perlu ditambah baking powder untuk membantu ia mengelembung dengan cantik. Bagaimanapun pilihan ditangan anda.
- Ada teknik untuk memastikan puri yang kita hasilkan mengelembung dengan cantik. Pertama sekali, minyak goreng jangan terlalu panas. Masukkan puri yang telah dicanai kemudian terus diterbalikkan perlahan-lahan. Gunakan sudip untuk mengangkat puri ke permukaan minyak selama 10 saat. Terbalikkan puri dan siram dengan minyak panas sehingga mengelembung. Jika belum mengelembung keseluruhannya, terbalikkan lagi dan siram lagi dengan minyak panas.
- Saya gemar membuat hidangan ini sekiranya terdapat lebihan kuah kari waktu pagi sebelum anak kesekolah. Ini adalah cara saya berjimat agar kuah yang berlebihan tidak dibazirkan. Kadang-kadang saya sengaja melebihkan kuah untuk digunakan esok pagi. Sekurang-kurangnya saya ada sarapan untuk anak saya kesekolah. Bagi dia, hidangan seperti ini semuanya roti canai dan dia akan menikmatinya dengan berselera.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi puri dosa hidangan masakan india kari dhal utama main course
blog comments powered by Disqus



