Puding jagung pernah menjadi popular di Malaysia sekitar tahun 80an. Oleh kerana puding jagung boleh dibentuk dengan mudah menggunakan acuan, jadi ia sering dibentuk menjadi berbagai rupa yang menarik untuk dijadikan hantaran perkahwinan atau pertunangan. Ketika itu, puding jagung yang paling popular adalah puding jagung berbentuk jagung. Sehingga sekarang masih ada lagi acuan berbentuk jagung yang dijual namun ia mungkin telah dianggap ketinggalan zaman dengan kemunculan berbagai acuan yang lebih unik dan menarik. Bagaimanapun puding jagung masih tetap menjadi pilihan ramai sebagai hidangan pencuci mulut walaupun kebanyakkannya dah berubah mengikut peredaran zaman. Dibawah ini adalah resepi puding jagung yang masih lagi dikekalkan keasliannya tetapi menggunakan bahan yang lebih mudah didapati pada zaman sekarang.


Bahan-bahan untuk Puding Jagung
50g Tepung Kastard
100g Jagung dalam tin (Cream Style)
70gg Gula Pasir
300g Air
150g Susu Sejat/Cair
½ cmt Garam


Cara membuat Puding Jagung
  1. Campurkan semua bahan didalam kuali.
  2. Kacau menggunakan sudip sehingga semuanya sebati dan gula larut tanpa api.
  3. Setelah semuanya larut barulah dinyalakan api dapur dan teruskan mengacau perlahan-lahan tanpa henti.
  4. Apabila adunan mulai pekat, kacau lebih pantas lagi supaya tiada puding yang berketul.
  5. Tutup api setelah adunan menjadi berkilat. Masa yang diperlukan lebih kurang 1 minit dari ia mula pekat kerana porsi hidangan sedikit sahaja.
  6. Masukkan kedalam acuan dan biarkan ia mengeras sehingga suam.
  7. Masukkan kedalam peti ais untuk puding jagung mengeras sepenuhnya.
  8. Keluarkan dari acuan dan hidangkan.

Tip Masakan Komersial
  1. Memang senang membuat puding jagung menggunakan tepung kastard. Semuanya dapat disempurnakan dalam satu step. Tak banyak pantang larang dan petua yang perlu diketahui kerana tepung kastard bertujuan untuk memudahkan.
  2. Fungsi tepung kastard serta komposisinya lebih kurang sama dengan tepung jagung cuma tepung jagung lebih wangi. Jadi tak ada salahnya jika anda mahu menggunakan tepung jagung. Bagaimanapun, saya memilih tepung kastard kerana ia lebih wangi serta mempunyai warna kuning yang cantik.
  3. Membuat kastard dari kuning telur lebih leceh. Bukan sahaja memerlukan belanja yang lebih besar malah, kaedah membuatnya perlu lebih teliti. Konsistensinya sukar dicapai dan kemungkinan puding yang terhasil akan benyek. Rasanya juga tentulah rasa telur.
  4. Lebih mudah jika menggunakan sedikit serbuk agar-agar jika menggunakan tepung jagung. Ia akan menguatkan sedikit struktur puding dan lebih mudah dipotong. Jika anda mengunakan acuan seperti saya, tak perlulah menggunakan kaedah ini. 
  5. Satu lagi bahan yang saya gunakan untuk kuih-muih seperti ini adalah tepung hon kwe. Inilah yang paling mudah, cepat dan sedap. Tepung hon kwe lebih mudah diwarnakan, lebih berkilat, lebih kental, dan lebih wangi. Rasanya juga lebih sedap dan sesuai jika anda mahukan perisa puding yang lain. Cuma harganya lebih mahal. Oleh itu, biasanya saya akan mencampurkan dengan serbuk agar-agar.
  6. Acuan puding perlu dibasahkan dahulu dengan air untuk memudahkan puding dikeluarkan dari acuan. Jangan gunakan minyak atau lemak kerana ia akan mencemarkan rasa puding. Gunakan acuan yang licin sama ada plastik atau aluminium.
  7. Adunan puding ini sedikit pekat dan kemungkinan akan terdapat gelembung udara apabila dimasukkan kedalam acuan. Hentakkan acuan untuk memastikan tiada gelembung udara terperangkap dibahagian bucu dan terpencil pada acuan. Jika menggunakan kaedah serbuk agar-agar, adunan lebih cair kerana sewaktu panas agar-agar adalah cair. Jadi, bentuk puding lebih cantik dan mengikut bentuk acuan dengan sempurna.