Sejak beberapa tahun kebelakangan ni, popia nestum dah jadi semakin popular. Teknik memasak yang mudah, resepi yang ringkas dan rasa yang enak memang menjadi pilihan ramai. Usahawan yang menjual popia nestum ini juga semakin bertambah. Mungkin kerana keuntungan yang besar berbanding modal yang perlu dikeluarkan. Bagaimanapun kuih raya ini memerlukan lebih masa untuk membentuk kulit popia menjadi bentuk yang diingini. Bagi saya, menggulung popia ini bukan suatu masalah. Popia nestum jauh lebih mudah dari popia mini. Untuk tahun ini saya menambah perisanya agar lebih bercoklat dan lebih lemak. Resepi kuih raya kalau mudah macam ni, memang suka-suka hati saya je nak ubahsuai. Anda pun, saya harap jangan takut, jangan tertakluk kepada resepi. Cuba hasilkan sesuatu yang anda gemari dari hati nurani anda sendiri.


Bahan-bahan untuk Popia Nestum Bercoklat
2 bungkus kulit popia yang besar.
100g Gula
50g Nestum Segera
20g Susu Tepung
10g Serbuk Koko
10g Serbuk Milo
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Popia Nestum Bercoklat
  1. Kopek kulit popia sekeping.
  2. Gunakan lidi sate yang panjang untuk menggulung kulit popia. Gamkan hujungnya menggunakan tepung gandum yang dibancuh dengan air.
  3. Gunting popia yang telah digulung menyerong atau menegak.
  4. Setelah semua kulit popia siap digulung dan digunting, biarkan didalam dulang sehingga kering.
  5. Setelah kering, gorengkan dalam minyak yang banyak dengan api sederhana sehingga keperangan dan garing.
  6. Tuskan dan biarkan sejuk sebentar.
  7. Sementara itu, kisar gula, susu, nestum, koko dan milo bersama sehingga halus.
  8. Gunakan ayak untuk menaburkan campuran bahan-bahan yang dikisar menyaluti popia yang telah di goreng tadi.
  9. Gaulkan popia perlahan-lahan sehingga keseluruhan popia disalut dengan rata.
  10. Asingkan lebihan serbuk dan simpan popia dalam bekas kedap udara.


Tip Masakan Komersial

  1. Kalau kita lihat, popia nestum ni dah banyak diusahakan dan dijual di merata tempat. Ini bermakna kuih ini memang mendapat permintaan tinggi dan menguntungkan usahawan. Tak teringin ke menceburkan diri dalam perniagaan kuih begini. Bukan memerlukan skill memasak yang tinggi pun. Hanya memerlukan kepantasan tangan je. Itu semua boleh dilatih. Bak kata pepatah, practice make perfect.
  2. Saya suka menjemur kulit popia yang telah digunting sehingga kering. Kalau buat popia mini pun sata akan jemur dahulu sebelum digoreng. Ada beberapa kelebihan yang menyebabkan saya berbuat demikian. Pertama kerana popia yang kering akan lebih rangup dan ringan apabila digoreng. Kedua, saya suka siapkan semua gulungan sehingga habis barulah digoreng. Dengan cara ini, kerja menjadi lebih cepat dan lebih menjimatkan. Tak perlu panaskan minyak berkali-kali.
  3. Saya rasa idea kuih ini, muncul melalui kuih-kuih tradisional lain seperti kuih batang buruk dan kuih tiram. Apa kata anda sirakan kuih batang buruk atau kuih tiram dengan nestum bercoklat seperti diatas?
  4. Selain dari koko dan coklat, apa lagi perasa yang anda boleh hasilkan? Cuba perhatikan perisa-perisa dalam bentuk serbuk yang anda disekeliling anda. Sangat banyak seperti kari, bbq, ayam. Kalau nak yang pelik sikit, boleh gunakan serbuk limau nipis atau minuman jus oren yang terdapat dalam bentuk serbuk. Mungkin juga anda boleh gunakan kekacang, rempah-rempah seperti kayu manis... Boleh bengkak kepala otak saya asyik berfikir pasal makan je. Cuba anda pulak fikir dan kongsikan di sini.