Banyak pulak saya dengar ungkapan “memasak dengan penuh kasih sayang.” Suatu ketika dulu bila saya sebutkan ungkapan seperti itu, semua orang senyum-senyum. Ramai jugak yang tergelak. Kini ramai pulak yang memanjangkan ungkapan ini agar lebih ramai yang memahaminya.


Popia mini memang menguji kejujuran anda memasak. Jika anak anda teringin untuk makan makanan yang leceh seperti ini adakah anda akan beli yang siap dimakan atau beli yang segera, cuma perlu digoreng? Mungkinkah anda sanggup untuk membuat sendiri, istimewa untuk anak anda? Atau mungkin juga anda hanya buat sedikit semata-mata untuk anda anda sahaja tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain? Jika menjelang raya begini mungkin ramai yang sanggup, kalau bukan musim perayaan, adakah anda sanggup? Anda tentukan sendiri tahap kejujuran anda bila memasak. Mungkin penuh kasih sayang, separuh atau tanpa kasih sayang langsung. Dengan kata lain, mungkin anda terpaksa!

Jika tahap memasak dengan kasih sayang yang melimpah-ruah, anda akan sanggup mengkaji, meneliti, memperbaiki segala-galanya mengenai hidangan itu seperti cara menjadikan ia lebih sedap, lebih berkhasiat, lebih cepat dan lebih menguntungkan. Meh belajar cara buat popia mini lebih jimat, cepat dan menguntungkan dibawah ini.


Bahan-bahan untuk Popia Mini Udang Kering
1 paket Kulit Popia
100g Udang Kering
2 cmb Lada Boh
1 cmb minyak masak untuk menumis
Minyak masak untukmenggoreng tenggelam
Sedikit tepung gandum dan air dibancuh sebagai gam.


Cara Membuat Popia Mini Udang Kering
  1. Kisar udang kering menggunakan pengisar kering atau pengisar bijirin.
  2. Panaskan minyak masak dan tumiskan lada boh.
  3. Masukkan udang kering kisar dan gaul rata. Masak sehingga kering.
  4. Sejukkan inti udang kering tadi kemudian kisar lagi menggunakan pengisar yang sama sehingga lebih hancur.
  5. Ambil kulit popia yang siap dipotong, letakkan inti dan gulung seperti biasa.
  6. Gulung sehingga habis semua kulit popia.
  7. Jemurkan popia mini yang siap digulung sehingga benar-benar kering.
  8. Setelah kering, gorengkan dalam minyak yang banyak dengan api sederhana sehingga kekuningan dan garing.
  9. Sejukkan sebelum disimpan didalam balang kedap udara.


Cara menggulung Popia Mini Udang Kering
  1. Kopekkan kulit popia setebal 5 – 10 lapisan. Simpankan kulit popia yang lain supaya tidak kering.
  2. Gunting kulit popia yang tebal tadi menjadi segitiga. Boleh rujuk rajah 1 untuk popia yang kasar atau rajah 2 untuk popia yang lebih kecil.
  3. Setelah digunting, ambil satu potongan dan simpan potongan yang lain supaya tidak kering.
  4. Kopek setiap lapisan popia dan susun seperti rajah 3.
  5. Letakkan inti dibahagian yang berwarna merah.
  6. Tarik keluar lapisan yang paling bawah, dan intinya akan mengikut bersama seperti Langkah 1.
  7. Lipatkan bucu kiri dan kanan seperti langkah 2
  8. Lipatkan bahagian bawah supaya inti tidak lagi keluar seperti langkah 3
  9. Akhir sekali barulah digulungkan menjadi seperti langkah 4.
  10. Gamkan bucunya menggunakan air atau air yang dicampur tepung gandum seperti gam.

Tip Masakan Komersial
  1. Saya cuma menggunakan lada boh sahaja untuk menjadikan ia sedikit pedas. Tak perlu apa-apa rempah, bawang dan sebagainya. Inti yang secubit tak perlu dibuat serumit itu. Kita cuma perlukan rasa udang yang kuat dan sedikit pedas sahaja. Selain itu kerangupan popia mini akan menutupi semuanya.
  2. Memang udang pepai atau geragau kering lebih murah dari udang kering tetapi rasa udang geragau kurang kuat. Anda memerlukan inti yang banyak untuk memberikan rasa yang cukup pada popia mini. Bila menggunakan inti yang banyak, sudah tentu sukar hendak menggulungnya.
  3. Ada juga yang menggunakan kelapa menjadi serunding sebagai inti. Ini semua hanya untuk menunjuk-nunjuk bahawa popianya mempunyai banyak inti. Popia begini tak setanding dengan popia mini udang kering ini. Inti kelapa yang banyak menjadikan popia lebih berat sedangkan kuantiti popianya hanya sedikit. Perbuatan mengaut keuntungan cara ini adalah tidak baik.
  4. Saya lebih gemar membuat popia mini yang kasar mengikut rajah 1 berbanding yang halus seperti rajah 1. Tak ada maknanya buat popia comel-comel jika anda makan lima enam batang sekaligus.