Dalam seminggu ni, saya rasa sibuk sangat hinggakan nak update blog pun susah. Aktiviti ditempat kerja semakin bertambah berikutan majlis yang akan diadakan hujung minggu ni. Tempahan kek yang saya terima juga lebih banyak dari biasa. Mungkin kerana cuti hari buruh jadi masing-masing ingin membawa pulang kek untuk keluarga. Sekarang ni saya sedang membuat kek tiramisu kecil sebanyak 75 biji. Penuh peti ais saya dengan keju 4 kg yang akan saya gunakan nanti. Harap entri Pocket Chapati kali ini dapat memberi inspirasi untuk anda dalam menghasilkan produk baru yang jauh lebih tinggi harganya dari harga asal. Suatu cara meningkatkan tambah nilai produk dengan cara yang mudah tetapi berkesan meningkatkan jualan dan pendapatan.

Sebelum itu, ada baiknya jika anda belajar dulu cara buat chapati yang lembut walaupun sejuk. Kalau chapati tak lembut, macam mana nak gulung nanti.. Klik disini Resepi Chapati Komersial.


Bahan-bahan untuk Pocket Chapati
2 kpg Chapati
2 btg Sosej
2 helai Daun Salad
½ bj Tomato
3 cmb Mayonis
1 cmt Serbuk Kari


Cara membuat Pocket Chapati
  1. Goreng atau rebus sosej beberapa minit. Potong ikut kegemaran. Sebaiknya biarlah potongan yang memudahkan kita menggulung atau melipat dan mudah untuk dimakan.
  2. Tomato juga dihiris nipis atau dipotong dadu sahaja.
  3. Campurkan mayonis dan serbuk kari. Gaul sebati.
  4. Panaskan sekeping chapati, susunkan sosej, daun salad dan tomato seterusnya paipkan sos mayonis.
  5. Gulung atau lipat chapati mengikut kreativiti anda. Sedia dihidang panas-panas bersama hidangan iringan masakan barat yang lain.


Tip Masakan Komersial
  1. Mereka hidangan baru mungkin mengambil banyak masa dan belanja malah belum tentu akan menjadi kegemaran ramai jadi cara yang paing mudah ialah dengan mengubahsuai hidangan yang memang sudah popular menjadi suatu hidangan yang baru. Kalau boleh biarlah hidangan itu mudah disediakan atau mungkin hanya perlu digabungkan sahaja atau digunakan konsepnya sahaja.
  2. Chapati berasal dari masakan India. Atas dasar itu, saya gabungkan mayonis dengan rempah kari kerana konsep asalnya adalah gabungan masakan barat dan india. Bagaimanapun hidangan ini sangat sesuai dengan sos-sos lain seperti sos cili, sos black pepper, sos bbq, sos veloute, sos hollandaise dan sebagainya.
  3. Selain sosej, anda boleh menggunakan segala jenis hidangan segera berasaskan protin seperti pop corn chicken, salami, daging burger dan sebagainya. Pendek kata, apa sahaja yang sesuai ditabur pada piza, kebanyakkannya sesuai untuk chapati roll.
  4. Untuk hidangan yang mudah dipelbagaikan ini, saya mencadangkan anda untuk menghadkan penggunaan sayur-sayuran untuk dipelbagaikan dengan hidangan yang lain. Jangan gunakan segala jenis sayur-sayuran untuk semua jenis hidangan. Contohnya, untuk chapati roll sosej anda menggunakan salad dan tomato, dan untuk chapati roll ayam pula mungkin anda boleh gunakan kobis dan cili benggala. Untuk chapati roll daging pula mungkin anda boleh gunakan timun dan lettuce. Dengan cara ini, kepelbagaian hidangan anda akan lebih ketara.
  5. Kreativiti dalam melipat chapati juga dapat membantu membezakan hidangan-hidangan anda. Jika anda lihat di restoran-restoran makanan segera, mereka menggunakan konsep yang sama untuk mempelbagaikan menu menggunakan produk sedia ada. Ada yang menggunakan english muffin menjadi seperti burger, tortilla digulung dengan ayam. Kepingan ayam goreng dijadikan burger. Keju diletakkan dibahagian atas burger berbanding didalam, seperti kebiasaannya dan sebagainya.
  6. Hidangan seperti ini sesuai dijual dipasaraya dan tempat-tampat tumpuan orang ramai terutamanya untuk usahawan yang malas sangat nak memasak. Semua nak pakai yang segera je macam usahawan mi bandung Muar yang saya kenal tu. Tempatkan kiosk dibeberapa lokasi dan gajikan seorang pekerja untuk setiap lokasi. Sesiapapun boleh menyediakan hidangan seperti ini jadi tak perlu risau dengan kemahiran pekerja. Tugas anda hanya memantau setiap kiosk terutama bahan-bahan yang diperlukan, menyediakan chapati segera banyak-banyak dan jangan lupa untuk kira duit yang masuk!