Pizza mempunyai 3 bahagian utama iaitu roti, sos dan topping. Cuba anda ceritakan sedikit apa yang menariknya pada pizza. Apa bezanya pizza dengan burger? Kalau saya gunakan roti sandwich di sapukan sos dan disusun ayam, sayur dan keju diatasnya adakah hasilnya akan sama dengan pizza? Dibawah ini ada resepi pizza yang mudah iaitu resepi roti dan sosnya. Untuk toppingnya, terpulang kepada anda. Saya gunakan isi ayam dan sosej. Resepi roti pizza ini hanya menggunakan resepi roti yang asas sahaja kerana untuk pizza, saya lebih gemarkan roti yang sedikit keras. Resepi roti bun komersial lebih lembut. Jika disapu dengan sos sebelum dibakar dan ditindih dengan topping yang berat, rotinya akan mampat dan seolah-olah tidak masak. Bagaimanapun, dibawah ada sedikit tip masakan komersial dimana anda boleh menentukan bagaimana roti pizza yang anda suka dari resepi roti yang sama.


Memanglah lebih mudah kalau telefon je kedai pizza. Tak sampai setengah jam dah boleh makan. Tapi fikirkanlah kebaikkan dari sudut yang akan anda dapat. Contohnya dapat makan banyak, dapat melakukan aktiviti bersama keluarga, dapat menjimatkan perbelanjaan, dapat menentukan makanan yang terbaik untuk keluarga kita dan yang paling penting, keberkatan yang mengharmonikan seluruh hidup kita sekeluarga. Bak kata Makcik Kleenex, Sometimes it’s the simplest gestures that have the biggest impacts. (Rujuk disini)


Bahan-bahan untuk Resepi Pizza Asas
330g Tepung Roti
1 paket Yis Segera Mauripan
10g Susu Tepung
50g Gula Pasir
1 cmt Garam
1 bj Telur
40g Mentega
120g Air Sejuk

Bahan-bahan untuk Sos Mudah Pizza
100g Sos Tomato
50g Sos Cili
½ cmt Thyme Kering

Bahan-bahan untuk Topping Pizza
300g Isi Ayam
50g Tepung Ayam Goreng
Keju Mozarella
Sayur-sayuran


Cara membuat Roti Pizza Asas

  1. Masukkan garam didasar mangkuk uli dan tutupkan dengan tepung roti.
  2. Masukkan gula, susu tepung, yis, telur dan air. Uli perlahan sehingga menjadi seketul doh lebih kurang 5 minit.
  3. Masukkan mentega dan uli semula sampai licin dan berkilat. Dengan mixer yang kuat mungkin mengambil masa hanya 5 minit.
  4. Seterusnya, uli sebentar menggunakan tangan untuk membentuk sebiji doh yang besar.
  5. Masukkan dalam mangkuk dan tutupkan selama 30 – 40 minit untuk ia mengembang.
  6. Setelah kembang, tumbuk dan uli semula doh.
  7. Bahagikan kepada 3 bahagian sama besar. Lebih kurang 200g.
  8. Rehatkan lagi dalam bekas bertutup selama 30 minit.
  9. Canai doh menjadu bulat selebar 9 inci dan letakkan diatas dulang pembakar yang telah di lenserkan dengan minyak masak.
  10. Sapukan sos pizza dan taburkan keju dengan rata.
  11. Taburkan isi ayam dan susun topping yang lain seperti sosej, sayuran dan lain-lain.
  12. Rehatkan 15 minit lagi kemudian bakar selama 10 – 15 minit dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu.
  13. Potong dan hidangkan sewaktu panas.


Cara membuat sos pizza dan topping.

  1. Campurkan sos cili, sos tomato dan thyme. Gaul rata dan ketepikan.
  2. Kisar isi ayam sehingg lumat menggunakan pengisar bijirin.
  3. Masukkan isi ayam dalam kuali dan campurkan dengan tepung ayam goreng.
  4. Gaul rata sehingga tak nampak lagi tepung barulah dibuka api.
  5. Goreng ayam tanpa minyak sambil dihancur-hancurkan menggunakan sudip.
  6. Setelah ayam kering, angkat dan ketepikan.
  7. Bahan-bahan lain seperti sayuran, sosej dan sebagainya dipotong nipis manakala keju diparut.


Untuk Tip Masakan Komersial, saya akan sambung pada bahagian 2. Jangan lupa mengikutinya kerana ia sangat penting terutama dalam menyediakan roti serta idea-idea perniagaan pizza pasar malam. Juga akan dikongsikan cara menetapkan harga, faktor-faktor yang mempengaruhi harga pizza dan bagaimana menjadikan perniagaan pizza pasar malam lebih mudah.