Ramai yang menggemari pizza tapi rak ramai yang rajin membuatnya. Saya harap dengan adanya artikel Resepi Pizza Lengkap, Ringkas, Mudah dan Paling Sedap dapat mengubah pemikiran ramai surirumah bahawa pizza bukanlah makanan mewah dan pizza juga mudah disediakan. Sentiasa ingat dalam kepala, setiap makanan yang kita beli di pasaran, kita boleh nikmati dengan modal separuh dari harga yang dibeli sekiranya kita masak sendiri. Akan lebih jimat sekiranya kita buat dalam kuantiti banyak dan bekukan. Cara membuat frozen pizza akan saya terangkan dalam Tip Masakan Komersial
Biasanya alasan yang saya terima adalah, pizza memerlukan oven yang besar, mixer yang canggih, bahan yang mahal namun itu semua boleh diatasi. Sebenarnya kalau kita kreatif, dengan nyalaan bara api didepan rumah pun kita boleh membakar pizza. Malah banyak restoran yang cuba mengekalkan konsep membakar cara tradisional di restoran mereka. Mereka juga menguli dengan tangan ketika permulaan perniagaan dan apabila tak dapat menampung permintaan, barulah mixer digunakan. Dari segi bahan pula, hanya keju bahan yang paling mahal sedangkan bahan lain adalah pilihan kita sendiri. Oleh itu jika tak mahu keluarkan modal yang besar, jangan letak keju. 



Bahan-bahan untuk Roti Asas Pizza
1 kg Tepung Roti / Tepung Berprotin Tinggi
2 pkt Yis Segera Mauripan (11g/pkt)
10g Baking Powder
50g Gula Pasir
7g Garam
50g Susu Tepung
1bj Telur
80g Shortening
Bahan-bahan untuk Sos Pizza
200g Tomato Puri
3 cmb Gula Pasir
2 cmt Garam
½ cmt Lada Hitam Crushed
Secubit Mix Herbs

Bahan-bahan untuk Topping Pizza Pilih Mana-mana suka
Isi Ayam/daging
Sosej
Nenas
Cili Benggala
Pepperoni
Buah Zaitun
Bawang besar
Daun Rocket
Keju Mozarella



Cara Membuat Pizza Lengkap Ringkas, Mudah, Murah dan Paling Sedap
  1. Sediakan sos pizza dengan mencampurkan semua bahan dan kacau hingga semuanya sebati. Pastikan masam, manis dan masin seimbang. Walau disapukan nipis pada roti pun, sos ini tetap terasa.
  2. Bahan-bahan topping perlu di potong nipis cantik-cantik atau dadu sahaja kalau malas macam saya.
  3. Jika menggunakan isi ayam atau daging, potong dulu kecil-kecil kemudian gaulkan dengan sedikit sos piza. Goreng tanpa minyak dalam kuali atau bakar dalam oven hingga setengah masak. 
  4. Simpan bahan-bahan yang telah disediakan dalam peti ais sementara membuat doh roti pizza.
  5. Untuk membuat roti pizza, campurkan semua bahan kecuali shortening dan uli dalam mixer hingga menjadi doh lebih kurang 10 minit.
  6. Bila doh dah seketul, masukkan shortening dan uli lagi lebih kurang 15 minit hingga menjadi doh yang licin berkilat.
  7. Rehatkan doh 30 minit untuk ia kembang menjadi 2 kali ganda saiznya.
  8. Setelah direhatkan, tumbuk doh dan uli menggunakan tangan sebentar.
  9. Bahagikan doh kepada 4 bahagian sama besar, bulatkan dan rehatkan selama 10 minit.
  10. Ambil satu doh dan canai menggunakan penorak menjadi leper dengan diameter 14 inci. Taburkan tepung untuk memudahkan kerja seperti biasa.
  11. Sapukan sos pizza dan taburkan topping dan keju.
  12. Rehatkan selama 30 minit dahulu sebelum dibakar dalam oven bersuhu 180°C selama 12 minit.
  13. Hidangkan panas-panas ketika keju masih cair.



Tip Masakan Komersial
  1. Sos pizza yang saya tunjukkan diatas adalah yang paling ringkas, mudah dan murah. Mungkin ramai yang tak sangka sos pizza boleh dibuat seringkas tu. Ada seorang pengusaha pizza di jepun hanya menggunakan tomato puri sahaja tapi terkenal sebagai pizza asli itali.
  2. Kalau anda mengada-ngada nakkan sos pizza yang lebih unik berperisa, anda boleh tambahkan sedikit bawang besar, jintan manis dan serbuk pati ayam. Kalau susah sangat, gunakan sahaja resepi sos barbeku pelbagai guna saya.
  3. Saya menggunakan tomato puri untuk sos pizza kerana ia mudah dan murah. Anda boleh menggunakan tomato segar tetapi tomato segar sangat cair. Anda perlu buangkan kulitnya dahulu kemudian dikisar. Ia juga perlu dimasak untuk menjadikan ia lebih pekat. Sebab itulah saya lebih suka menggunakan tomato puri sahaja. Ada 2  jenis tomato puri dalam tin yang saya pernah guna. Pertama, tomato puri yang pekat dengan warna merah yang gelap dan yang kedua warnanya lebih cerah dan lebih cair. Jenis yang kedua ini lebih sesuai.
  4. Saya tak mahu fikir banyak-banyak mengenai topping pizza. Semuanya terpulang kepada anda. Taburlah apa sahaja yang ada di dapur. Suka hati kita la kan. Kalau ada lebih-lebih rendang atau ayam panggang semalam pun boleh letak. Bila pergi rumah kenduri, mintak ayam masak merah banyak-banyak. Boleh tabur atas pizza. Bahan-bahan topiing ini tidak tertakluk lagi pada masakan barat. Sekarang ni pizza tomyam, pizza sate, pizza tempura udang semua dah biasa dengar.
  5. Mungkin membuat roti adalah yang paling leceh sekali bila tak ada mixer. Pulak tu bukan boleh mixer biasa-biasa. Mesti yang kuat dan tahan lasak. Kalau anda ada mixer kecik pun boleh digunakan. Satukan doh dahulu kemudian bila perlu uli lama untuk jadikan ia elastik, bahagikan kepada dua atau 3 bahagian dan uli sedikit demi sedikit. Bila semua dah licin baru satukan dengan tangan. Bagaimanapun, setakat sekilo tepung tu, uli dengan tangan la.
  6. Tepung berprotin tinggi memerlukan kuantiti air yang berbeza bergantung kepada kualiti. Biasanya setiap 1 kg tepung, kita memerlukan 500g air. Saya menggunakan 600g air untuk mendapatkan doh yang lembut kerana roti pizza adalah leper. Tak perlu struktur yang kuat. Lagipun doh yang lembih lebih mudah diurus dan dicanai.
  7. Anda boleh membakar roti pizza dahulu sebelum diletakkan sos dan topping jika anda suka. Cara ini menjadikan roti pizza masak sepenuhnya dan lebih rangup. Bagaimanapun perlu teknik supaya roti pizza tidak menggelembung dan tidak rata. Jadi anda perlu meletakkan sesuatu berupa penutup yang menahan roti dari menggelembung tinggi tetapi tidak menekannya menjadi leper. Hahahah.. Paham tak? Dengan cara ini, roti pizza mempunyai tinggi yang sama serta rata permukaannya.
  8. Saya sukakan roti pizza yang tebal dan gebu. Jadi saya hanya buat 4 keping pizza sahaja bersaiz 14 inci. Memang besar pizza yang kita dapat dengan hanya 1kg tepung. Jika anda sukakan pizza yang nipis, boleh la bahagikan doh kepada 6 atau 7 bahagian. Kalau oven anda kecil, anda boleh buat pizza yang kecil bersaiz 6 hingga 8 inci. Timbang doh 100g setiap keping dan canaikan menjadi setebal 1 cm. Boleh dapat berbelas keping pizza. Kalau tak cukup dulang, boleh gunakan loyang atau tutup periuk.
  9. Untuk pizza sejukbeku / frozen, anda perlu membakar pizza dahulu lebih kurang 8 minit untuk mematikan yis dan kukuh strukturnya. Kemudian biarkan ia sejuk pada suhu bilik sebelum dibungkus dalam plastic sling. Kemudian barulah di sejukbekukan. Bagaimanapun saya cadangkan anda tabur keju mozarella selepas dibakar sejurus sebelum dibungkus dan disejukbekukan untuk mendapatkan rupa yang cantik apabila dipanaskan nanti.
  10. Akhir sekali, kalau anda malas juga nak membuat roti pizza, anda boleh gunakan roti sandwich yang banyak dijual di kedai runcit atau gunakan sahaja resepi tortilla classic wrap saya sebagai base. Apa yang anda boleh buat sendiri, cubalah buat sendiri. Bila dah habis usaha baru beli. Lakukan untuk keharmonian keluarga anda.