Sebagai orang kampung, saya selalu didedahkan dengan masakan kampung seperti pisang masak lemak ni. Bagi sesetengah orang, pisang masak lemak ni biasa je. Kat mana-mana restoran pun boleh jumpa. Bezanya, pisang masak lemak ini dimasak dengan kulit-kulitnya sekali. Ramai orang yang tak sanggup makan makanan pelik begini. Macam dah tak ada makanan lain. Kulit pisangpun nak bedal jugak. Bagi saya, selagi sesuatu makanan itu halal dan tidak memudaratkan kita, saya akan rasa. Kalau sedap makan banyak, kalau tidak makan sikit. Pisang yang dimasak dengan kulit-kulitnya sekali ni memang istimewa bagi saya. Malah saya merasakan kulit pisang lebih sedap dari isinya. Mengapa? Sebab kulit pisang dapat menyerap rasa kuahnya dengan lebih baik berbanding isinya.

Sejak kecil, ibu saya memang menghidangkan pisang masak lemak bersama kulitnya sekali. Jadi masakan ini sudah terlalu biasa bagi saya. Sewaktu belajar dahulu, saya pernah memasak hidangan ini untuk housemate. Kami memang masak sendiri dirumah sewa untuk menjimatkan kos. Bila saya hidangkan kepada mereka, mereka merasakan kulit pisang ini memang istimewa dan lain dari yang lain. Kemudian, sewaktu pulang kekampung, salah seorang dari mereka memasak hidangan ini untuk keluarga mereka. Malangnya dia dimarahi ayahnya dan dia dianggap bodoh kerana masak pisang dengan kulit. Kasihan juga apabila mendengar kisahnya. Tak ada salahnya jika rasa dulu kelazatan pisang yang dimasak dengan cara ini. Tak kisah la jika dianggap pelik kerana melakukan sesuatu yang tak pernah dilakukan oleh orang lain. Dah ramai orang yang kini disanjung tinggi sedangkan suatu ketika dahulu perbuatannya dianggap gila.


Bahan-bahan untuk Pisang Muda Masak Lemak
5 bj Pisang Muda (300g)
1 bj Lada Merah
¼ bj Bawang Besar
1 ulas Bawang Putih
2 cmt Serbuk Kunyit
500 ml Santan dari 1 bj Kelapa
1 ekor Ikan Sepat Masin
2 cmt Garam


Cara Membuat Pisang Muda Masak Lemak
  1. Pisang disiat kulit luarnya yang nipis berwarna hijau tua. Biarkan kulit dalamnya yang berwarna hijau muda bersama isinya. Ambil kulit luar yang cantik sahaja. Tak perlu ambil semua kulit dari setiap biji.
  2. Potong isi pisang setebal ½ - 1 cm manakala kulitnya dibiarkan dalam saiz siatan tadi. Rendam kesemuanya sehingga habis semua pisang.
  3. Rebus pisang dan kulitnya tadi dalam air sehingga empuk. Kalau boleh sehingga isinya sedikit hancur. Gunakan air yang lain untuk merebus dan bukan air untuk merendam.
  4. Setelah embuk, tuskan pisang dan buangkan air rebusan tadi. Ketepikan/
  5. Lada merah, bawang besar dan bawang putih ditumbuk kasar. Ikan sepat masin dipotong kecil sedikit.
  6. Masukkan semua bahan iaitu bahan tumbuk, serbuk kunyit, ikan masin garam, santan dan pisang yang telah direbus dalam periuk dan masak dengan api yang besar. Kalau kuah terlalu pekat, boleh tambah air lagi.
  7. Kacaukan bahagian tepi periuk, santan yang mula mendidih tanpa henti supaya santan tidak pecah minyak. Apabila sudah betul-betul mendidih, barulah dikecilkan api.
  8. Biarkan ia merenih selama 10 hingga 15 minit lagi supaya kuahnya meresap dalam pisang baru dimatikan api dan dihidang.


Tip Masakan Komersial
  1. Paling sesuai menggunakan pisang yang masih sangat muda tetapi bukan putiknya. Sebaik sahaja isi pisang ini mempunyai saiz yang maksimum, ia telah sesuai dimasak. Jika terlalu muda, isinya sangat kecil dan tawar. Kulit je yang tebal. Jika terlalu tua walaupun belum masak, isi pisang ini keras. Direbus lama pun, kuahnya belum dapat meresap dalam pisang. Boleh gunakan hampir semua jenis pisang yang mudah empuk.
  2. Orang kita memang agak sukar untuk menerima perubahan. Mereka lebih senang membuat dan meniru apa yang orang lain lakukan terlebih dahulu. Jadi untuk hidangan di restoran, tak perlulah dimasukkan kulit pisang. Tak perlu ambil risiko. Perniagaan perlu diutamakan.
  3. Pisang Masak Lemak ini lebih istimewa jika dimasak bersama cendawan tekukur. Cendawan ini mempunyai bau dan rasa yang kuat jadi tak perlu letak banyak. Rendam dahulu cendawan ini jika ia telah kering. Kemudian perah sehingga kering dan tumbuk sedikit sahaja sebelum dimasukkan dalam masakan. Sekarang ni susah sungguh nak dapat cendawan tekukur ni. Cendawan ini banyak tumbuh atas batang getah yang dah mati. Bila batang getah pun boleh dijual dengan harga yang tinggi, tak ada tempat lagi untuk cendawan ni hidup.
  4. Ikan masin merupakan bahan yang memberikan rasa dalam masakan ini sama seperti ikan bilis. Saya paling suka menggunakan ikan kurau tetapi harganya sangat mahal. Jadi saya biasanya menggunakan ikan selar, gelama atau tenggiri.
  5. Entah kenapa saya lebih suka menggunakan lada merah berbanding cili api untuk pisang masak lemak ni. Rasa macam tak seronok je. heheheh