Selepas berkahwin baru saya mengenali periuk kera ini. Itupun kerana hidangan ini memang popular dikalangan keluarga suami. Merata-rata Malaysia saya dah pergi tapi belum menjumpai periuk kera di tempat lain. Bagi yang biasa dengan periuk kera seperti ini, sila hantarkan komen dibawah dengan menyatakan lokasi hidangan ini ditemui. Lebih terperinci lebih baik.
Periuk kera adalah pulut yang dimasak mengggunakan kaedah mengukus didalam bekas yang diperbuat dari periuk kera iaitu sejenis tumbuhan meliar yang banyak terdapat di negara kita. Ada juga yang memanggilnya sebagai lemang periuk kera kerana ia dibuat dari pada pulut seperti lemang. Ada juga yang memanggilnya sebagai ketupat periuk kera kerana ia juga menyamai ketupat palas. Saya lebih senang memanggilnya sebagai periuk kera sahaja. 

Resepi  periuk kera adalah sama dengan resepi masakan daripada beras pulut yang lain. Hanya menggunakan beras pulut, santan dan garam. Kemudian ia dikukus sehingga masak. Jadi, saya rasa tak perlulah saya menerangkan secara terperinci mengenai kaedah membuat periuk kera.


Bahan-bahan untuk Periuk Kera
1 kg Beras Pulut
2 L Santan
Garam secukup rasa
Kelongsong Periuk Kera secukupnya



Cara membuat Periuk Kera
  1. Rendam beras pulut semalaman dalam air kemudian cuci dan tuskan.
  2. Ambil sebahagian santan dan perasakan dengan garam.
  3. Masukkan beras pulut kedalam kelongsong periuk kera sehingga separuh penuh.
  4. Tuangkan santan yang telah diperasakan sehingga sedikit melebihi paras beras pulut.
  5. Sematkan dengan lidi, pencungkil gigi atau stapler.
  6. Susun didalam pengukus dan kukuskan selama ½ jam hingga 45 minit. Tambah masa mengukus jika perlu.
  7. Hidangkan bersama serunding, rendang dan sebagainya.


Tip Masakan Berguna
  1. Bukan semua jenis periuk kera boleh digunakan untuk hidangan ini. Biasanya periuk kera yang digunakan adalah periuk kera yang bulat dan besar. Bentuknya seperti tempayan yang bulat dimana bawahnya bulat, tengahnya besar dan mulutnya kecil.
  2. Periuk kera banyak didapati ditempat-tempat yang berair seperti di tepi paya. Ia hidup secara meliar dalam semak dan belukar. Setakat ini, belum ada yang mengusahakan tanaman periuk kera dan dijual secara komersial. Jika anda dapati ditempat anda banyak ditumbuhi tanaman ini, sila nyatakan dalam kotak komen dibawah. Nyatakan juga sama ada hidangan periuk kera ini biasa dimasak disana.
  3. Periuk kera yang dipetik, perlu dibersihkan terlebih dahulu dan dibuang penutupnya jika perlu. Jemur sebentar supaya ia menjadi layu dan tak mudah koyak. Periuk kera juga boleh dikeringkan supaya tahan lebih lama lebih kurang seminggu tetapi jangan dijemur sehingga sangat kering. Ia hanya perlu dikeringkan supaya ia tidak busuk dan mereput. Rendamkan didalam air sebelum digunakan supaya ia kembang kembali.
  4. Perasakan santan sedikit demi sedikit untuk mengurangkan pembaziran. Jika santan tak mencukupi, barulah diperasakan lagi sejurus sebelum digunakan. Resepi diatas hanyalah anggaran kerana masakan ini tidak memerlukan resepi khusus.
  5. Boleh juga mengukus periuk kera tanpa ditutup. Ini supaya anda dapat isi yang lebih banyak dan satu periuk kera. Biasanya jika kelongsong periuk kera anda terlalu kecil atau sedikit. Kaedah ini ada ditunjukkan dalam gambar terakhir yang dihantar kepada saya melalui facebook. Terima kasih kepada penghantar.
  6. Oleh kerana tiada resepi yang khusus, semuanya bergantung kepada citarasa anda. Jika mahukan yang lebih lemak, gunakan santan yang lebih pekat. 1 liter santan daripada sebiji kelapa lebih memadai untuk saya. Bagi saya itu sudah cukup lemak. Anda juga boleh menambahkan sedikit gula untuk periuk kera yang sedikit manis.
  7. Hidangan periuk kera memang berbeza daripada lemang atau ketupat palas terutama untuk rasanya walaupun bahan yang digunakan sama. Kelongsong periuk kera yang berwarna hijau dan merah itu memberikan rasa yang istimewa dan lain dari yang lain. Tak tahu bagaimana ingin saya ceritakan. Harap anda dapat merasainya sendiri dan ceritakan melalui kotak komen dibawah.
  8. Suatu ketika dahulu, pokok periuk kera banyak didapati di kampung suami saya. Kalau rajin masuk ke hutan, setiap hari boleh makan. Kini, banyak hutan dah diteroka. Paya pun dah kering. Nak rasa setahun sekali di hari raya pun susah. Harap-harap lain kali jika saya masuk ke hutan bermandi-manda di air terjun Hutan Lipur Taka Melor, dapatlah menemui pokok ini lagi.