Kalau tak pahit, bukan peria namanya. Kalau tak suka pahit, masaklah petola, labu air atau labu siam. Sekarang ni pun, peria dah tak sepahit dulu. Suatu ketika dulu, jika terlalu pahit, selalunya saya rendamkan dalam air kapur atau air garam. Selalunya saya terus masak je kerana pahit adalah ciri-ciri unik peria. Anak saya pun tak ada masalah nak makan peria. Untuk mendapatkan seluruh khasiat peria, lebih baik kekalkan peria dalam keadaan asalnya.

Bahan-bahan untuk Peria Goreng Telur Hancur
300g Peria Katak
1 ulas Bawang Putih
½ bj Bawang Besar
3 ekor Ikan Bilis
1 bj Lada Merah
1 bj Telur
1 cmb Minyak Masak
Garam dan sedikit air.


Cara membuat Peria Goreng Telur Hancur
  1. Peria katak di belah dua kemudian dibuang bijinya. Hiris nipis setebal 1 cm dan bersihkan. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis. Ikan bilis disiat-siat dan cili juga dihiris.
  2. Panaskan minyak masak dengan api sederhana, dan tumiskan bawangbesar, bawang putih dan ikan bilis sehingga naik bau.
  3. Masukkan cili, peria dan perasakan dengan garam.
  4. Kacau gaul sehingga peria menjadi sedikit lembut. Tambahkan air jika perlu.
  5. Pecahkan telur dan kacau dengan pantas. Berhenti sebentar untuk membolehkan telur mengeras.
  6. Setelah telur mengeras, kacau lagi dengan pantas untuk menghancurkan telur.
  7. Perasakan lagi dengan garam jika perlu. Hidangkan bersama nasi putih.

Tip Masakan Berguna
  1. Masakan seperti ini, omputeh memanggilnya sebagai stir fry. Peria Goreng Telur Hancur seperti ini pula adalah hidangan biasa saya dikampung sewaktu kecil. Pada masa itu, bahan masakan memang terhad. Ada ikan bilis pun dah cukup baik.
  2. Kini terdapat berbagai sos dan perisa dipasaran. Banyak yang sesuai untuk masakan seperti ini seperti sos tiram, kiub ayam, sos hoisein, minyak bijan dan sebagainya. Gunakan bahan-bahan ini untuk masakan seperti ini tetapi jangan gunakan kesemuanya. Mungkin hari ini anda gunakan sos tiram. Kemudian lain kali jika masak peria lagi, anda gunakan kiub ayam pula. Dengan cara ini, masakan anda akan berbeza setiap kali memasak sayuran yang sama.
  3. Ada juga orang yang suka peria yang lebih lembut seperti ayah mertua saya. Mungkin gigi dah tak kuat sangat untuk menggigit. Anda boleh tambahkan air dan biarkan ia merenih selepas telur dihancurkan.
  4. Ada juga orang yang gagal membuat telur hancur kerana didalam kuali terdapat bahan-bahan lain yang mengganggu proses mengacau. Anda boleh membuat telur hancur terlebih dahulu dan ketepikan sebelum menumis.
  5. Bagi orang seperti saya, membuat telur hancur lebih awal akan terasa sangat lecehnya. Kita juga terpaksa menggunakan minyak yang lebih banyak. Jadi saya lebih suka menggunakan cara yang lebih cepat seperti resepi di atas tu. Cara itu juga membolehkan jadikan telur tidak terpisah dari peria.