Menjelang majlis perkahwinan, banyak yang perlu dilakukan. Dikampung, kebanyakkannya dilakukan secara bergotong-royong seperti menyediakan juadah, mendirikan khemah, menyiapkan hantaran dan lain-lain. Biasanya sehari atau dua hari sebelum majlis, juadah-juadah ringan disediakan untuk gotong-royong seperti ini. Selalu juga disediakan pemanis mulut untuk yang menyegarkan diwaktu panas bekerja. Tak kira sama ada manisan panas atau sejuk, ia tetap menyegarkan. Antara yang popular adalah cendol, bubur dan pengat seperti pengat labu ini.


Bahan-bahan untuk Pengat Labu Ngantin
300g Labu Manis
½ L Santan Dari Sebiji Kelapa
2 helai Daun Pandan
50g Gula Melaka
50g Gula Pasir
2 cmb Sagu Biji Kecil
1 cmt Garam


Cara membuat Pengat Labu Ngantin
  1. Labu dibuang kulitnya dan didadu besar 2 cm. Gula melaka diracik. Daun pandan disiat, disimpul dan diikat. Sagu biji direndam.
  2. Rebus labu sehingga empuk tetapi dangan sehingga lembik. Tuskan airnya.
  3. Panaskan santan, masukkan gula, gula melaka, garam dan daun pandan. Biarkan mendidih perlahan.
  4. Masukkan labu yang telah direbus dan sagu biji.
  5. Biar mendidih sehingga sagu kembang.
  6. Seimbangkan lagi rasa garam dan gula jika perlu.
  7. Hidangkan dalam mangkuk puding sama ada panas atau sejuk.


Tip Masakan Berguna.
  1. Setiap orang selalu berbeza tahap kemanisan yang digemari. Ada yang hanya menggemari pengat dengan tahap kemanisan yang rendah. Anda boleh mengurang dan menambahkan gula. Boleh juga mennambahkan lebih air atau santan jika terlalu manis.
  2. Warna pengat bergantung kepada kuantiti gula melaka yang digunakan. Jika inginkan warna yang lebih gelap, lebihkan gula melaka tetapi kurangkan gula pasir. Boleh juga menggunakan gula merah yang mempunyai warna yang lebih gelap.
  3. Ketika kenduri, kuantiti labu yang digunakan memang banyak jadi adalah sukar merebus labu sekaligus bersama kuahnya kerana kuahnya perlu dikacau supaya tidak mendadih sedangkan labu tidak boleh dikacau selalu untuk mengelakkannya hancur. Jadi merebus labu secara berasingan lebih mudah dan terjaga kualitinya.
  4. Bahan untuk pengat biasanya bergantung kepada produk keluaran dikampung itu atau kepopularitian sesuatu bahan. Antara yang popular dijadikan pengat adalah, pisang, keledek, ubi kayu tapi belum pernah lagi saya rasa pengat keladi.