Semua orang tahu, pau adalah makanan kegemaran masyarakat cina. Kebanyakkan restoran cina ada menjual pau berbagai inti. Pau segera dan sejuk beku  juga banyak di pasaran. Tapi Pau Hakka susah sikit kita nak jumpa kecuali kalau kita rajin masuk restoran cina yang menyediakan kuih-kuih tradisional cina. Hakka adalah satu kaum dari bangsa cina. Pau kacang merah hakka memang berbeza dari segi rupa dan teksturnya seperti gambar yang saya sertakan. Pau ini ada sedikit garing, dan tidak terlalu gebu. Tidak seperti pau yang biasa kita makan, pau masyarakat cina mempunyai inti yang lebih banyak berbanding dohnya. Doh pau hanya berfungsi sebagai kulit pelindung dan seolah-olah mereka makan inti dan bukan dohnya. Untuk Pau Kacang Merah Hakka dalam resepi ini, saya terpaksa mengurangkan separuh intinya demi kesihatan. Itupun dah sangat manis rasanya.


Bahan-bahan untuk Pau Kacang Merah Hakka
1kg Tepung Gandum Pelbagai Guna
1 paket Yis Segera Mauripan (11g)
2 ½ cmt Baking Powder
200g Shortening (Lelemak Sayuran)
150g Gula Pasir
500g Air
750g Inti Kacang Merah


Cara membuat Pau Kacang Merah Hakka
  1. Campurkan dan gaul tepung gandum, yis, baking powder dan gula pasir dalam mangkuk adunan mixer.
  2. Masukkan air sekaligus dan uli sehingga semuanya bersatu menjadi doh lebih kurang 1 minit.
  3. Masukkan shortening dan uli lagi 15 hingga 20 minit sehingga mendapat doh yang sangat lembik, licin dan berkilat.
  4. Gunakan tangan pula untuk menguli dan membentuk satu bebola yang licin dan besar.
  5. Biarkan ia naik untuk kali pertama dalam mangkuk yang bertutup 1 atau 2 jam.
  6. Sementara itu, bulat-bulatkan inti kacang merah kepada 50 bebola yang sama saiz lebih kurang 15g. Ketepikan
  7. Setelah doh naik, uli lagi sekali beberapa saat. Gunakan sedikit tepung jika doh masih melekat ditangan.
  8. Bahagikan doh kepada 50 bahagian sama saiz seberat lebih kurang 40g. Bulat-bulatkan.
  9. Setelah semua doh dibulatkan, ambil doh yang pertama sekali anda bulatkan tadi dan masukkan inti bebola kacang merah didalamnya.
  10. Bulatkan dahulu doh yang sudah mempunyai inti kemudian leperkan menjadi setebal 1 hingga 1 ½ cm.
  11. Letakkan diatas dulang. Jangan lupa, sapukan tepung yang banyak di bahagian bawah doh untuk mengelakkan ia melekat pada dulang, jika perlu.
  12. Teruskan memasukkan inti kedalam doh mengikut urutan yang betul dan susun dalam dulang dengan jarak 1 inci setiap doh.
  13. Biarkan ia mengembang untuk kali kedua ditempat yang tertutup dan tidak berangin.
  14. Panaskan kuali leper atau non-stick pan dengan api sederhana kecil.
  15. Setelah kuali panas, goreng pau hakka tanpa minyak di kedua-dua permukaan sehingga keperangan. Proses memasak mengambil masa kira-kira 10 minit.
  16. Hidangkan panas-panas bersama teh atau kopi. Sesuai untuk minum petang.


Tip Masakan Komersial.
  1. Kali ini saya menggunakan sedikit baking powder untuk membantu pau mengembang sewaktu dimasak. Apabila dimasak tanpa minyak seperti ini, sedikit sukar untuk pau naik berbanding dikukus atau digoreng dengan minyak banyak.
  2. Doh yang terhasil dari resepi diatas memang sangat lembik kerana penggunaan lelemak yang banyak. Bagaimanapun lelemak ini juga akan menyebabkan doh tidak melekat ditangan dan mudah diurus. Jika doh masih sangat lembik dan melekat selepas dikembangkan kali pertama, bolehlah ditabur sedikit tepung sewaktu mengulinya.
  3. Inti perlu dimasukkan mengikut urutan agar pau dapat masa yang hampir seimbang untuk naik untuk semua doh. Ini sebenarnya dapat menjimatkan masa. Begitu juga apabila ingin menggoreng. Goreng dahulu pau yang pertama siap dimasukkan inti. Pau yang pertama ini sudah cukup kembang sementara menunggu anda menyiapkan keseluruhan doh. Untuk 50 biji pau mungkin mengambil masa ½ hingga 1 jam jika dibuat berseorangan.
  4. Selepas pau dikembangkan kali kedua, sewaktu mahu menggoreng, agak sukar untuk mengangkat doh ke atas kuali. Bagaimanapun, inti kacang merah yang padat dan berat akan memudahkan kerja. Hanya gunakan peralatan seperti scrapper untuk mengekalkan bentuknya.
  5. Anda boleh menggunakan apa sahaja inti yang anda gemari. Semua inti yang sesuai untuk pau kukus, juga sesuai untuk pau hakka. Kalau tak letak inti pun boleh. Cicah je dengan kuah kari.
  6. Tak perlulah masak bahagian tepi pau. Jadi anda perlu gunakan api yang sederhana kecil supaya ada cukup masa dan haba untuk memasakkan bahagian tepi sebelum permukaan atas dan bawahnya hangus. Permukaan atas dan bawahnya rangup, tepinya lembut, dalamnya gebu dan intinya cair. Memang sedap!
  7. Saja je saya buat resepi dalam skala besar. 50 biji memang tak abis makan. Untuk berniaga memang tak de hal nak jual. Bagi surirumah, anda boleh jadikan ia pau hakka sejukbeku. Hanya perlu goreng sebentar sahaja untuk mengekalkan bentuk dan mematikan yis. Susun dalam bekas kedap udara, lapis plastik jika takut melekat dan bekukan. Bila nak hidang, hanya perlu goreng seperti biasa. Campak dalam sandwich maker pun boleh!
P/s Hati-hati sewaktu makan pau hakka. Luarnya dah sejuk, intinya masih panas. Boleh melecur kalau gelojoh.