Dalam masakan cina, mereka memang suka jenis yang bungkus-bungkus ni. Selalunya kita lihat hidangan yang dibungkus dengan kulit wantan, kulit popia, atau berbagai-bagai lagi bahan yang boleh dimakan. Mungkin anda pernah merasai makanan yang dibungkus dari kertas beras. Kertas beras juga boleh dimakan. Bagaimanapun, untuk resepi ini, ia menggunakan kertas yang tak boleh dimakan seperti parchment paper atau wax paper. Tak banyak kelebihan membungkus makanan menggunakan kertas seperti ini. Nanti kita cerita dalam tip masakan komersial dibawah. Kita tengok dulu resepi Paper Wrapped Chicken.

Sokonglah usahawan wanita Malaysia dengan produk handmade buatan Malaysia khusus untuk wanita. Klik disini


Bahan-bahan untuk Paper Wrapped Chicken
200g Dada Ayam Tanpa Tulang.
1 cmb Kicap Cair
1 cmt Cuka
1 cmt Minyak Bijan
Garam dan Lada Sulah
3 cm Halia Muda
1 btg Leek
2 bj Cendawan Shitake
6-8 keping Kertas Minyak 6in x 6in
1 bj Telur.
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam.


Cara membuat Paper Wrapped Chicken
  1. Dada ayam dibersihkan, dibuang semua lemak dan kulit. Dadu sebesar ½ inci – 1 inci.
  2. Perapkan dada ayam dengan kicap cair, cuka, minyak bijan, garam dan lada sulah dalam peti ais selama 1 jam.
  3. Sementara itu, rendam cendawan shitake sampai kembang kemudian hiris nipis. Leek dan halia juga dihiris nipis.
  4. Bentang sehelai kertas minyak dan sapukan satu lapisan telur yang nipis menggunakan berus pastri.
  5. Letakkan sedikit cendawan shitake, leek dan halia muda. Kemudian diatasnya, letakkan 1 cmb ayam yang telah diperap.
  6. Lipatkan dan gulung kertas seperti popia. Siapkan sehingga habis.
  7. Panaskan minyak masak dengan api sederhana dan gorengkan selama 3 hingga 4 minit. 
  8. Tuskan minyak dengan meletakkan paper wrapped chicken secara berdiri.
  9. Hidangkan tanpa membuka bungkusannya.


Tip Masakan Komersial
  1. Ayam perlu dipotong kecil agar mudah dibungkus. Selain itu, perapan akan mudah menyerap serta memberikan rasa yang lebih baik.
  2. Biasanya perapan untuk ayam tidak banyak berbeza berbanding hidangan-hidangan cina yang lain. Sos-sos dan rempah biasa semuanya sesuai digunakan. Cubalah dengan sos tiram, hoisen, teriyaki dan lain-lain.
  3. Telur yang disapu pada kertas berfungsi sebagai sealer untuk mengelakkan minyak masuk kedalam bungkusan. Selain itu ia juga menjadi pelekat agar bungkusan tidak terbuka. Jadi pastikan ayam dibungkus dengan baik.
  4. Bungkusan kertas bertindak sebagai sealer. Hasilnya jus-jus serta perapan ayam akan kekal dan rasanya dapat dipertahankan. Biasanya apabila ayam digoreng, jusnya akan keluar menyebabkan ayam menjadi kering dan keras.
  5. Ayam boleh dibungkus dengan berbagai cara asalkan minyak tidak dapat masuk kedalam. Kaedah yang popular adalah kaedah yang saya tunjukkan diatas. Satu lagi ialah dengan cara menggulung ayam didalam kertas kemudian kedua-dua hujungnya dipintal seperti gula-gula.
  6. Paper wrapped chicken dihidang bersama bungkusannya. Untuk memakannya, tetamu perlu membuka bungkusannya dahulu. Terpulanglah sama ada menggunakan tangan atau chopstick.
  7. Paper wrapped chicken boleh juga dibakar didalam oven atau microwave. Tetapi tak boleh dipanggang diatas bara atau dikukus kerana ia boleh merosakkan bungkusan. Cara yang paling popular adalah dengan menggoreng dalam minyak yang banyak kerana ia lebih cepat dan ini cara yang baik untuk menikmati ayam goreng dengan jusnya dikekalkan.